GLC pemangkin ekonomi negara

GLC pemangkin ekonomi negara

ISMAIL Sabri Yaakob bersama Menteri Kanan Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali (dua dari kiri) dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tiga dari kanan) selepas merasmikan Aspirasi GLC Demi Rakyat dan Negara sempena Hari Terbuka GLC 2022 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini, – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikatpelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) merupakan pemangkin utama ekonomi negara dan berperanan penting dalam pembangunan sosioekonomi negara. Segala-galanya bermula dengan penubuhan entiti seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja pada 1951, seterusnya Petronas pada 1974. Pada 2004, satu inisiatif dilaksanakan untuk menstruktur semula mandat, tadbir urus, keupayaan dan keberkesanan lembaga pengarah dalam menjana GLC yang berprestasi tinggi, 20 GLC dan lima GLIC.

Program ini antara lain menyaksikan keberhasilannya termasuklah peningkatan permodalan pasaran bagi 20 GLC tersebut sebanyak 2.9 kali kepada RM386 bilion, peningkatan hasil bersih sebanyak RM26.2 bilion setahun serta peningkatan jumlah pulangan pemegang saham kepada 11.1 peratus setahun.

Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri YaaKob telah memastikan kesinambungan kejayaan GLC dan GLIC serta hasil yang dicipta ini dipulangkan kembali untuk kesejahteraan rakyat.

Berikut adalah wawancara dengan Perdana Menteri tentang penyusunan semula fungsi serta peranan GLC dan GLIC pascapandemik yang bertujuan memperkasakan seluruh Keluarga Malaysia dalam memulih dan membangunkan ekonomi negara.

UTUSAN: Bagaimana GLC/GLIC dapat mengukuhkan lagi peranan mereka dalam memberikan impak yang optimum bagi memastikan kesejahteraan berterusan dan inklusif kepada Keluarga Malaysia?
ISMAIL SABRI: Pertama sekali, saya ingin menerangkan bahawa konsep GLC/GLIC ini, di mana kerajaan memainkan peranan aktif dalam aset-aset strategik negara – memang lazim digunapakai oleh banyak negara maju dan membangun. Bagi Malaysia, konsep GLC/GLIC penting bagi memastikan pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan dengan teratur. GLC dan pemegang saham yang menguasainya, GLIC merupakan komponen penting dalam struktur ekonomi negara.

Beberapa dekad lalu, walaupun penswastaan giat dilakukan, GLC masih kekal sebagai penyedia perkhidmatan utama dan strategik termasuk bekalan elektrik, telekomunikasi, perkhidmatan pos, sistem penerbangan, lapangan terbang, pengangkutan awam, air dan pembetungan, perbankan dan perkhidmatan kewangan. GLC merangkumi kira-kira RM445 bilion dalam permodalan pasaran atau kira-kira 25 peratus dalam permodalan pasaran Bursa Malaysia.

Kedua, walaupun kita pernah melaksanakan Program Prestasi Tinggi GLC pada 2004–2014 yang merangkumi antara lainnya, penjelasan mandat GLC dalam konteks pembangunan negara dan meningkatkan tadbir urus korporat GLC, mereka perlu sentiasa tangkas terutama dari segi penambahbaikan yang berterusan dan pengukuhan peranan GLC/GLIC agar kekal berdaya saing.

Ini penting dalam konteks norma baharu pasca Covid-19 serta landskap perniagaan global yang sentiasa berubah, bagi memastikan GLC/GLIC boleh memberikan impak yang optimum dalam pembangunan sosioekonomi negara. Contohnya, dari segi melaksanakan dasar kerajaan untuk membina keupayaan dalam sektor-sektor industri penting seperti semikonduktor yang akan menjadi penyumbang utama kepada industri berteraskan 4IR dan teknologi baharu. Melalui rangkaian global masing-masing, GLC juga berperanan membantu negara menarik pelaburan dalam sektor-sektor tertentu seperti industri berteraskan pembangunan mampan.

Ketiga, bagi GLC/GLIC, kita tidak mahukan hanya output, tetapi juga outcome atau keberhasilan bukan sahaja dari segi prestasi kewangan tetapi juga dari segi impak positif berterusan kepada ekosistem perniagaan, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta masyarakat secara menyeluruh. Manfaat pertumbuhan ekonomi perlu diagihkan secara saksama bagi memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif untuk seluruh Keluarga Malaysia.

Bagaimana kerajaan akan memastikan keberhasilan inisiatif-inisiatif di bawah GLC/GLIC ini terutama untuk merapatkan jurang dalam sektor sosioekonomi pasca-Covid-19?
Pandemik Covid-19 telah melebarkan jurang di antara mereka yang berkemampuan dan tidak berkemampuan sama ada dalam sektor perniagaan, contohnya syarikat-syarikat kecil dan mikro, mahupun dari segi kemampuan golongan B40 berbanding yang lain.

Dalam menggubal Bajet 2022, saya banyak menyarankan Kementerian Kewangan agar penekanan diberi kepada usaha merapatkan jurang kemampuan, kekayaan dan digital yang telah menjadi lebih ketara akibat pandemik.

Contohnya, dalam Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion melalui inisiatif Jalinan GLC: Memperkasa PKS, bagi membantu usahawan PMKS melalui program seperti khidmat nasihat dan sokongan kewangan.

Selain itu, GLC/GLIC juga diberi beberapa objektif jelas atau petunjuk prestasi utama (KPI) termasuk untuk mempercepatkan bayaran kepada vendor masing-masing selewat-lewatnya 14 hari dari tarikh pengesahan invois.

Bajet 2022 juga mengunjurkan pelaburan bernilai sekurang-kurangnya RM30 bilion oleh syarikat GLC dalam bidang tenaga boleh diperbaharui serta pemodenan rangkaian bekalan atau infrastruktur 5G.

Ini bakal merancakkan PKS yang berkecimpung dalam bidang-bidang ini. Menerusi usaha-usaha ini, kita juga mengutamakan pemerkasaan bumiputera di mana Bajet 2022 jelas menekankan bahawa 40 peratus perolehan tempatan melalui GLC/GLIC perlu dikhususkan untuk usahawan bumiputera.

Ada yang berpendapat GLC/GLIC banyak yang mempunyai objektif komersial dan tidak cukup ‘rapat’ kepada rakyat. Apa komen Datuk Seri?
Ini merupakan satu pendapat yang tidak tepat. Hakikatnya, selama berpuluh tahun, GLC/GLIC banyak melaksanakan langkah-langkah yang memanfaatkan rakyat secara langsung.

Secara keseluruhan, GLC/GLIC menggaji kira-kira 500,000 tenaga kerja negara. Melalui inisiatif Jamin Kerja yang saya lancarkan pada 19 Februari lalu, kerajaan juga ada program Malaysian Short-Term Employment Programme (MySTEP), di mana GLC/GLIC menyediakan peluang pekerjaan secara kontrak terutama kepada graduan atau siswazah sehingga 12 bulan untuk memberi mereka peluang menimba pengalaman bekerja dan mendapat pendedahan kepada sektor-sektor dan industri tertentu. Pada 2021, melalui MySTEP, kerajaan berjaya menempatkan 21,541 termasuk siswazah di GLC/GLIC berbanding sasaran sebanyak 15,000. Ramai dalam kalangan mereka yang diserap sebagai pekerja tetap selepas berakhirnya penempatan MySTEP ini. Pada tahun ini, MySTEP menyasarkan penempatan sebanyak 30,000 pekerjaan di GLC/GLIC. Ini akan menyumbang kepada sasaran keseluruhan kerajaan untuk mencipta 600,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia, yang juga akan menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran ke tahap kurang daripada empat peratus menjelang hujung tahun ini.

Apa pula saranan kepada GLC/GLIC dari segi tanggungjawab sosial mereka?
GLC/GLIC telah menubuhkan Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN) pada 2013.

Objektif utamanya adalah untuk menyelaraskan usaha bantuan sosial dan pembinaan semula, terutama untuk komuniti yang terjejas akibat bencana alam atau apa-apa malapetaka. Ia kini diurus bersama oleh Yayasan Hasanah dan Yayasan TM.

Sumbangan oleh pelbagai GLC dan GLIC diselaraskan dengan usahasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar sumber dapat dioptimumkan untuk memanfaatkan lebih ramai yang memerlukan bantuan, terutama sejak 2020 apabila pandemik Covid-19 bermula.

Buat masa ini, saya difahamkan bahawa GDRN juga masih aktif dalam menyelaraskan sokongan GLC dan GLIC untuk membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Kebajikan Malaysia bagi krisis banjir luar biasa sejak Disember 2021.

Kalau boleh, kita mahukan penyelarasan dan kerjasama yang berterusan melalui platform GDRN kerana inilah teras konsep Keluarga Malaysia. Memandang ke hadapan, saya fikir GDRN boleh menjadi sebuah rangkaian yang bukan sahaja bersifat responsif, tetapi juga menjadi lebih proaktif dalam menyediakan bantuan kepada Keluarga Malaysia yang memerlukan.

Dari segi keberhasilan, ini semua akan mengurangkan pertindihan usaha- usaha yang dilaksanakan oleh GLC/GLIC secara persendirian dan meningkatkan kecekapan dalam menggunapakai peruntukan sumber. Apabila ada sebuah platform yang menyelaraskan usaha-usaha ini, kita juga boleh mengumpul data untuk memastikan tiada Keluarga Malaysia yang tertinggal dari segi menerima bantuan dan membina kehidupan yang bermakna. Secara tidak langsung, ini juga akan mewujudkan ketelusan untuk program-program yang dijalankan oleh GLC/GLIC, di samping memastikan keberkesanan dalam hasil usaha impak sosial.

Pada 11 Mac 2022, Datuk Seri melancarkan Hari Terbuka GLC untuk memberi peluang kepada Keluarga Malaysia mendekati dan mengenali GLC dan GLIC. Bagaimana GLC dan GLIC dapat menyumbang kepada usaha memulih dan memangkin ekonomi negara?
Pada pendapat saya, usaha GLC dan GLIC pada tahun ini perlu berdasarkan tiga (fokus utama Bajet 2022 iaitu Keluarga Malaysia, Perniagaan dan Ekonomi. Bagi fokus pertama, GLC dan GLIC perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam memulih kehidupan Keluarga Malaysia secara menyeluruh, merangkumi mata pencarian, pekerjaan dan penambahbaikan kesihatan awam. GLC amat komited menyediakan 30,000 peluang pekerjaan melalui inisiatif Jamin Kerja pada tahun ini.

Melalui penampilan baharu GDRN, GLC dan GLIC akan menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan dan juga kesihatan awam, terutamanya bagi golongan tumpuan dan yang memerlukan.

Fokus kedua ialah mengembalikan keupayaan dan daya saing perniagaan menerusi pelbagai inisiatif seperti pembiayaan perniagaan dan sokongan kepada PMKS melalui ekosistem GLC dan GLIC, termasuk peniaga dan syarikat bumiputera. Ini termasuk apa yang saya kongsikan tadi inisiatif Jalinan GLC: Memperkasa PKS bernilai RM5 bilion bagi membantu usahawan PMKS. Selain itu, GLC juga menyokong PMKS. Dengan sempadan negara yang akan dibuka pada 1 April ini, saya yakin ia akan merancakkan ekonomi, sekali gus membantu bukan sahaja GLC dan GLIC tetapi juga syarikat-syarikat berkaitannya berkembang.

Fokus ketiga yang harus diberikan keutamaan oleh GLC dan GLIC ialah usaha pemulihan ekonomi supaya kembali mampan dan merapatkan kembali jurang ekonomi menerusi pemerkasaan komuniti, projek berteraskan konsep lestari, projek pembangunan untuk pemulihan serta projek ketersambungan digital. Menerusi fokus-fokus ini, usaha-usaha GLC dan GLIC akan menyokong aspirasi kerajaan dalam memulih dan membangunkan semula ekonomi secara holistik dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Apa aspirasi Datuk Seri bagi hala tuju GLC/GLIC untuk pemulihan dan pertumbuhan ekonomi bagi menyumbang kepada kemakmuran rakyat dan negara?
Pada 2021, kerajaan melalui Kementerian Kewangan memperkenalkan sebuah inisiatif yang bertujuan mengukuhkan semula peranan serta memperbaharui keupayaan GLC dan GLIC, terutama dalam landskap pengoperasian yang telah berubah dengan begitu cepat sekali susulan pandemik Covid-19. Program penyusunan semula fungsi dan peranan GLC/GLIC yang semakin giat diusahakan sejak September 2021. Insya-Allah ia dapat memangkin perubahan melalui pembinaan semula ekonomi negara secara berperingkat agar manfaat sosioekonomi dapat dikecapi oleh semua ahli Keluarga Malaysia secara inklusif. Inisiatif ini antara lainnya menyasarkan penyusunan semula entiti dalam ekosistem GLC/GLIC bagi mengoptimumkan sumber fiskal kerajaan, menambah baik sistem tadbir urus, meningkatkan hasil sasaran, menjana pertumbuhan baharu melalui sektor-sektor strategik dan memangkin pelaburan di dalam industri kelestarian. Satu keperluan yang semakin mendesak ekoran impak Covid-19 ialah penyusunan semula sistem keselamatan sosial. Selain itu, kerajaan juga telah memulakan projek-projek tertentu seperti mewujudkan satu ekosistem bersepadu bagi meneroka industri- industri yang berteraskan digital, serta teknologi 4IR dan 5G.

Khazanah Nasional juga sudah menubuhkan Dana Impaknya bernilai RM6 bilion untuk tempoh lima tahun akan datang. Di antara tujuan dana tersebut termasuklah mengekalkan daya saing Malaysia di persada global, membangunkan ketahanan iklim, memastikan keselamatan makanan dan sumber tenaga, memastikan adanya peluang pekerjaan, memastikan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti kepada semua serta memupuk masyarakat berteraskan digital dan teknologi. Insya-Allah, dengan semangat usaha sama di antara kerajaan, GLC/GLIC dan pihak swasta serta NGO, saya yakin kita mampu menangani impak pandemik dan membina semula sebuah negara yang lebih makmur untuk kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya