Fahami akibat sebar bahan lucah - Utusan Malaysia

Fahami akibat sebar bahan lucah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI ALAM siber kita boleh melayari pelbagai jenis maklumat sama ada bahan ilmiah, peristiwa-peristiwa semasa dunia, hiburan dan juga bahan yang mengandungi unsur-unsur yang tidak baik termasuk lucah (pornografi) dan sensitif yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Oleh kerana ia amat mudah diakses oleh sesiapa tanpa mengira latar belakang dan umur maka adalah sukar untuk menyekat mana-mana orang melayari perkara-perkara sebegini.
Justeru, undang-undang digubal oleh Parlimen untuk sedikit sebanyak mengekang pengguna daripada menyalahgunakan bahan ini secara melampau.
Selalunya kita menerima penyebaran maklumat ini melalui peranti komputer dan telefon pintar tanpa diundang.
Kebelakangan ini banyak terdapat video dan audio berunsur lucah disebarkan melalui laman media sosial, blog atau sesawang untuk tujuan dipertonton kepada orang ramai dan ada yang menerimanya melalui aplikasi seperti Telegram, WhatsApp dan sebagainya.
Pengguna perlu tahu apakah undang-undang yang boleh menyekat individu atau mana-mana kumpulan daripada menyebarkan video yang berunsur lucah ini agar mereka sedar bahawa tindakan sebegitu merupakan satu kesalahan dan boleh dihukum mengikut undang-undang.
Di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 ada memperuntukkan dua jenis kesalahan iaitu:
1. Kesalahan di bawah Seksyen 211
Larangan terhadap pemberian kandungan jelek.
(1) Tiada pemberi perkhid­matan aplikasi kandungan atau orang lain yang meng­gunakan perkhidmatan aplikasi kandungan boleh memberikan kandungan (content) sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelek sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.
(2) Seseorang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
2. Kesalahan di bawah Seksyen 233
 Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.
(1) Seseorang yang – (a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar – (i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta dan (ii) memulakan penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelek sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; atau
(b) Memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik, melakukan suatu kesalahan.
(2) Seseorang yang secara sedar – (a) dengan menggunakan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi memberikan apa-apa komunikasi lucah bagi maksud komersial kepada mana-mana orang; atau
(b) Membenarkan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi di bawah kawalan orang itu untuk digunakan bagi suatu aktiviti yang diperihalkan dalam perenggan (a), melakukan suatu kesalahan.
(3) Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Di bawah Akta Kesalahan Seksual Pada Kanak kanak 2017 juga ada menyebut tentang penjualan pornografi kepada kanak kanak.
Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Beban pembuktian terhadap pengguna Seksyen 114A Akta Keterangan 1950
Seksyen 114A boleh diguna pakai dalam kes jenayah dan juga sivil, mengandaikan bahawa pemilik, pengendali, hos, editor, pelanggan sesebuah rangkaian atau laman web, atau pemilik komputer atau peralatan mudah alih dianggap bertanggungjawab menyiarkan atau mengulang siarkan isi kandungan yang terdapat pada rangkaian, laman web atau peralatan terbabit.
Pada 2018 Mahkamah Tinggi Madras membuat satu keputusan bahawa pengguna dengan berkongsi maklumat dan memajukan mesej kepada pihak lain bermaksud pengguna itu bersetuju dengan maklumat yang dia sebarkan dan harus juga bertanggung jawab ke atas perbuatannya. S Ve Shekhar lawan The Inspector of Police Cyber Mahkamah Tinggi Madras 2018 ini adalah sebagai contoh kes.
Maka semua pihak haruslah berhati-hati dalam tindakan mereka berkongsi maklumat. Penyebaran maklumat kepada pengguna lain melalui internet, aplikasi atau media sosial haruslah dibuat secara bertanggungjawab dan berhati-hati.
Penyebaran maklumat yang mengandungi bahan lucah jangan dipandang ringan kerana ia mengundang hukuman berat di sisi undang-undang. Berfikir dulu sebelum menyebarkannya di laman sosial walaupun tujuannya hanya untuk suka-suka.

DATO SYED AZIMAL AMIR SYED ABU BAKAR  ialah Pengamal Undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN