Endemik, endemik juga... bila harga PCR nak turun? - Utusan Malaysia

Endemik, endemik juga… bila harga PCR nak turun?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA sudah nak masuk fasa endemik Covid-19. Ramai yang kata, nanti Covid ini dah jadi macam kena demam campak, denggi atau selesema biasalah. Asalkan jaga prosedur operasi standard (SOP), virus ini boleh dielakkan.
Yang bagusnya, kita tak perlu lagi nak berkurung dalam rumah. Bebas merentas negeri dan negara. Betul, hidup perlu diteruskan. Macam mana nak hidup kalau asyik berkurung?
Ansuran rumah, kereta, yuran pengajian anak, pinjaman peribadi dan bil utiliti kena bayar walau pandemik terus mengganas. Ini hakikat paling perit.
Tetapi itulah dalam kita bercakap pasal fasa endemik, seronok bercerita pasal pembukaan sempadan negara misalnya, sebenarnya tidak ramai sangat pun yang begitu teruja dan gembira dengan berita ini.
Sebabnya, bukan semua kita ada urusan di luar negara atau mampu bercuti di luar negara. Ada yang nak pergi Port Dickson pun tak lepas kerana kekangan kewangan. Jangan ceritalah pasal hendak ke Thailand, Singapura apatah lagi ke London!
Yang diharapkan oleh rakyat yang masih terdedah dan berperang dengan Covid-19 ketika ini adalah bagaimana sesuatu dasar dan tindakan kerajaan itu dapat meringankan beban kos sara hidup mereka.
Yang ingin saya tekankan di sini adalah mengenai harga ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) dan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase (RT-PCR) di klinik swasta dan hospital yang sepatutnya sudah boleh diturunkan sedikit demi sedikit.
Memang kita ada kit kendiri yang boleh dibeli dengan harga serendah RM5 dan betul ia sangat membantu tetapi dalam keadaan tertentu akhirnya ramai yang terpaksa juga membuat RTK dan PCR di klinik untuk pengesahan Covid-19 terutamanya bagi yang bekerja.
Ujian kendiri juga ada yang tidak tepat. Ada saja kes bila ujian kendiri dilakukan banyak kali tetap negatif. Tetapi bila terus bergejala, tidak yakin maka pergi buat RTK atau PCR untuk mendapat kepastian di klinik, rupanya positif pula!
Dan ini yang kita risaukan, keputusan tidak tepat kit kendiri yang mungkin dilakukan dengan cara yang salah , telah membuatkan ramai orang pula berjangkit kerana yang melakukan ujian itu sudah berjalan ke sana sini.
Harga ujian RTK di klinik sekurang-kurangnya RM60. Kalau setiap minggu kena buat ujian yang diminta majikan kerana bergejala seperti demam dan kontak rapat, sudah berapa banyak kos harus dikeluarkan dalam sebulan?
PCR pula jangan ceritalah. Satu ujian itu kosnya boleh jadi seminggu punya duit makan atau lebih daripada itu.
Kalau satu keluarga terpaksa melakukan PCR, jika ahli keluarga itu ada empat orang dan harga PCR RM180 seorang sudah berapa? Ini harga boleh bayar ansuran bulanan kereta!
Semalam saya mengumpul maklumat dengan menghubungi beberapa klinik swasta untuk bertanyakan harga PCR – di Shah Alam ada klinik menawarkan RM180, di Bangi pula RM150, di Ampang RM190 dan di Bangsar, RM280! Harga berbeza-beza.
Sampai bila harga cekik darah ini akan berterusan? Kenapa ia berbeza-beza mengikut klinik? Benda sama saja. Sepatutnya pihak berwajib mengambil tahu tentang hal ini.
Bukan semua orang bergaji besar. Ada yang gaji pun RM1,200 sebulan. Kalau selalu kena buat ujian RTK dan PCR di klinik, mana mereka nak cari duit?
Sebab itu, ada juga yang terpaksa mengetepikan wang gaji untuk ujian Covid pula. Sebab risau, jika ada simptom, buntu hendak cari duit untuk melakukan ujian RTK dan PCR kelak.
Kita hairan kenapa harga PCR terlalu mahal dan tidak mesra rakyat sedangkan wabak ini tidak memilih orang bergaji rendah atau bertaraf ‘kayangan’? Yang bergaji besar jangan pertikailah kenapa saya membangkitkan hal ini. Ya betul, buat sajalah ujian itu untuk keselamatan diri dan keluarga tetapi untuk yang bergaji rendah dapatkah mereka melalui keadaan ini dengan mudah?
Memang ada yang boleh menuntut semula duit bayaran PCR atau RTK kepada majikan tetapi selalunya tuntutan itu tidak dapat masa itu juga. Ia mengambil masa sebulan atau mungkin lebih daripada itu untuk sesetengah syarikat.
Dan yang paling tak bernasib baik tentulah yang tidak dapat menuntut wang itu semula daripada majikan. Sudahlah gaji kecil, majikan kedekut pula.
Di hospital pun sebelum seseorang pesakit masuk wad walaupun tidak ada kena mengena dengan Covid, dia perlu membuat ujian pengesanan Covid-19 terlebih dahulu. Begitu juga penjaganya jika pesakit itu kanak-kanak. Ini tidak termasuk dalam kebanyakan perlindungan insurans perubatan. Kalau begini, yang sakit boleh bertambah sakit dengan kos tambahan ini.
Diharapkan kerajaan jangan terlepas pandang harga ujian Covid-19 di klinik dan hospital ini kerana ia amat menyusahkan rakyat. Kesusahan dan kemiskinan sepatutnya menjadi kesedihan kepada kita semua bukan menjadi satu gaya hidup pula.
Saya rasa isu ini sama pentingnya dengan pembukaan sempadan negara. Ini soal kebajikan keluarga Malaysia. Rakyat mahu hidup yang berkualiti tanpa bebanan kos yang tidak masuk akal.
Betullah, endemik, endemik juga. Harga PCR tak akan kekal sama macam fasa pandemik.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya