Dia menyanyi pula dah ... - Utusan Malaysia

Dia menyanyi pula dah …

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tergelak saya sebaik saja menurunkan seorang penumpang lelaki ke destinasi di kawasan Wangsa Maju, baru-baru ini.
Kelakar sungguh dia. Saya rasa bagaikan mendengar satu konsert pelbagai genre dengan lontaran suara pelbagai nada.
Ceritanya begini. Saya mengambil seorang penumpang di kawasan Ampang. Tertera nama sebagai Din di aplikasi Grab.
Mengenakan topi dengan pelitup muka berwarna hitam, saya agak orangnya masih muda dalam usia awal 30-an.
Sebaik saja duduk di kerusi belakang, selepas berbasa-basi, dia meminta saya menguatkan radio. Kebetulan saya memasang radio siaran tempatan ketika itu, lagu Siti Nurhaliza, Purnama Merindu sedang dimainkan.
Tiba-tiba saya mendengar lantunan suaranya mengalunkan lirik, “ purnama mengambang cuma berteman Bintang berkerlipan dan juga awan. Siapa tahu rindu yang mencengkam di hatikuuu…”
Dia menyanyi sampai habis lagu. Saya yang mendengar lontaran vokalnya, melopong kejap. Mujur pakai pelitup muka. Kalau tidak memang nampak sangat mulut saya ternganga!
Sebabnya, dia nyanyi dengan penuh perasaan, bukan perlahan tapi macam dalam pusat karaoke. Sebaik saja lagu habis, saya menegurnya – “Wah… encik suka menyanyi ya?”
“Ha ah, memang hobi saya. Dulu sebelum musim Covid-19, setiap minggu ke pusat karaoke dengan kawan-kawan. Sekarang menyanyi di rumah sajalah,” balas Din.
Saya tanya – “Tak sertai mana-mana pertandingan ke?”
“Banyak juga saya masuk dulu, tapi banyak kali peringkat saringan pun dah tak lepas,” jawab Din berterus terang.
Tiba-tiba di radio keluar pula lagu Terra Rosa, Bunga Angkasa.
“Saya suka lagu ini. Sedap!” kata Din. Sebaik saja penyanyi Terra Rosa, Ali mengalunkan lagu bernada tinggi itu, serentak itu juga Din menyanyi.
Aduh! Dia buat konsert pula! Bersungguh-sungguh. Tak malu langsung dengan saya ini!
Saya biarkan saja sambil menahan ketawa. Masalahnya suara dia, aduhai…nak kata tak sedap langsung itu, macam menghina pula. Tapi itulah perkataan paling tepat, tak sedap langsung.
Mujurlah perjalanan tak jauh mana. Kalau dia pergi ke Shah Alam, mahu saya pula yang terjun kereta.
Tapi sebagai pemandu yang baik budi bahasa, waktu dia turun, saya katakan padanya,
“Sedap suara encik. Rugi orang tak pilih encik masuk pertandingan.”
“Itulah…nanti saya nak cuba lagi. Set karaoke di rumah memang hari-hari guna,” balas Din.
“Aduh Din, kalaulah kau tahu suara kau buat pecah gegendang telinga aku, memang kau menangis tepi bucu katil lah Din…” bisik saya dalam hati sambil tergelak-gelak.
Apa pun, terhibur betul saya pada hari itu! – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya