‘BN jenama, calon produknya’ - Utusan Malaysia

‘BN jenama, calon produknya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

LABEL ‘kluster mahkamah’ terhadap UMNO sering dilakukan pemimpin Perikatan Nasional (PN) khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai taktik mempengaruhi sokongan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Selain menjawab soal itu kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan JUANI MUNIR ABU BAKAR, Presiden UMNO, DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI turut mengulas tawaran baharu Barisan Nasional (BN) untuk rakyat Johor termasuklah generasi Felda. Berikut penjelasan beliau.

YAKIN MENANG

Alhamdulillah kita yakin menang di Johor, 12 Mac ini. Namun, kita tidak harus terlalu yakin kerana tiada kerusi ditandingi kurang daripada tiga parti dan terdapat beberapa kerusi terpaksa hadapi tujuh penjuru. Tentunya kami (BN) mempunyai beberapa kawasan tumpuan yang harus kami bekerja kuat setelah parti-parti komponen kita lakukan pertukaran kerusi.

Contohnya, Parit Yaani di mana dulu ditandingi MCA dan kini atas permintaan UMNO Bahagian Sri Gading terutamanya ketua bahagian yang mahukan kerusi itu diberikan kepada UMNO. MCA pula bertukar ke kerusi lain.

CMT NILAI CALON

Pemilihan calon dibuat secara teliti dan sememangnya satu lumrah bukan sahaja calon BN tetapi calon parti lawan juga tentunya ada masalah pilih calon.

BN ada CMT iaitu Crisis Management Team untuk selesaikan masalah awalan kerana kami telah teliti bukan sahaja latar belakang calon tetapi kebolehmenangan serta potensi menang calon berdasarkan pada PDM (Pusat Daerah Mengundi).

Ia mengikut prestasi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Kita juga ambil kira pengundi baharu yang pertama kali khususnya berumur 18 ke 21 tahun dan pengundi yang didaftarkan secara automatik. Pengiraan itu menjadi pertimbangan untuk BN pilih calon.

‘KLUSTER MAHKAMAH’?

Apa pun istilah digunakan adalah dicipta mereka sendiri. Ini merupakan taktik politik yang digunakan pihak terbabit. Kepada kita, BN adalah branding (jenama) dan calon-calon adalah produk.

Maka kombinasi antara jenama dan produk dalam perkara ini adalah calon. Maka pengundi di Johor diyakini sangat matang yang menolak isu seperti ini kerana mereka mempunyai pengalaman janji-janji palsu diberikan oleh PH. Dan selepas PN ambil alih, kita dapati rakyat Johor khususnya pengundi berpendapat PN sebuah kerajaan yang gagal.

Tetapi dalam tempoh singkat, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berjaya melakukan transformasi bukan sahaja sistem kerajaan Johor tetapi sistem penyampaian yang memperlihatkan wujud keberkesanan cukup baik untuk rakyat. Rakyat mahu kesinambungan diberikan kepada Hasni sebagai poster boy kita.

Pada waktu sama daripada rasa kekecewaan dua kerajaan lalu (PH dan PN), rakyat mahukan kerajaan yang stabil. Kerajaan stabil ini hanya boleh ditawarkan oleh BN. Maka trend pengundian bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu tetapi orang Cina juga berubah. Begitu juga peratusan pengundi India kini cenderung kepada BN.

TAWARAN BAHARU

Dalam manifesto kita menggariskan lima ikhtiar yang menjadi hidangan untuk kita tawarkan kepada pengundi dan rakyat Johor. Kita akan memperincikan isi kandungan dalam manifesto ini (hari ini 1 Mac) yang saya fikir ini akan menjadi game changer untuk Johor.

Saya amat yakin jika dilaksanakan, Johor akan menjulang nama sebagai negeri yang ulung di Malaysia, bukan sahaja pertumbuhan ekonomi tetapi juga menggamit pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik.

Di samping dapat memberi peluang pekerjaan dan juga tidak melupakan tawaran untuk generasi muda di seluruh Johor dengan beberapa skema keusahawanan serta beberapa latihan teknikal dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.

HIDANGAN MANIS PENEROKA FELDA

BN turut menawarkan untuk generasi kedua Felda terutama dalam penyediaan rumah. Serta melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor, menteri besar telah memasukkan perkara ini dalam ikhtiar yang akan dibentangkan nanti.

Kita yakin (sokongan Felda kepada BN) kerana kononnya Perdana Menteri kelapan (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang menyelesaikan masalah hutang peneroka. Sedangkan ia telah menjadi satu tindakan yang dilakukan oleh kerajaan BN tetapi tidak dilaksanakan kerana kita kekurangan kerusi untuk membentuk kerajaan.

Namun, apa dilakukan pengurusan Felda sekarang ini adalah atas komitmen kerajaan negeri khususnya Felda di Johor selain program nasional untuk peneroka. Tetapi pada waktu sama khususnya Felda di Johor ini ada skim khas yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Ini dipahatkan dalam ikhtiar manifesto yang dibentangkan.

JANJI BN

Apa telah dibincangkan untuk tempoh lima tahun kerajaan BN kelak merupakan program jangka pendek yang akan dilaksanakan. Selepas lima tahun, program jangka panjang akan dilaksanakan. Tentunya kita mengharapkan kerajaan Putrajaya akan didominasi oleh BN. Dengan ini ada keselarasan program Johor dan Pusat.

MARA KE D-DAY

Apa yang dipanggil D Minus 13 (kempen berbaki 13 hari lagi) iaitu D-Day kita adalah pada 12 Mac dan selepas penamaan calon (26 Februari), tentu kita bukan hanya menggerakkan tetapi terus memperkasa dan meluncurkan semua jentera pilihan raya.

Kita amat yakin struktur yang cukup kuat untuk jentera BN di Johor. Ia melibatkan jentera negeri dari seluruh negara. Malah Sabah menurunkan anggota jentera mereka dengan satu jumlah cukup besar di zon selatan kerana banyak pengundi datang dari Sabah dan Sarawak.

Saya mahu semua jentera mengetepikan sebarang perbezaan pendapat jika ada dan mengatur strategi supaya jentera diatur dengan baik. Kita tahu dahulu pengundi putih dalam kalangan ahli UMNO tidak keluar untuk mengundi calon-calon kita. Mungkin ketika itu terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan serta lemparan pelbagai. Tetapi situasi itu berubah kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya