Sudah menjadi kebiasaanku pulang ke ibu kota pada waktu malam. Namun seringkali ibu menegah kerana menurutnya tidak elok memandu seorang diri takut kalau berlaku perkara yang tidak diingini ketika dalam perjalanan.
Namun aku tidak pernah memikirkan itu semua. Bagi aku kalau memandu pada waktu malam itu suasananya lebih tenang tanpa perlu bersesak di atas jalan raya, dan yang lebih utama persekitaran sunyi dan nyaman.
Memang begitulah rutin bila setiap kali aku pulang bercuti di kampung. Hari Ahad malam barulah aku bertolak pulang ke rumah sewa memandangkan isnin aku sudah mula bekerja.
“Mak, ayah, Jamil balik dulu iya,” kataku kepada mereka sambil meletakkan beg sandang di muka pintu.
“Ishh, engkau ini, berapa kali mak pesan jangan balik malam-malam buta macam ini, dah pukul 11 malam,” bebel emak sambil berjalan menuju ke arahku.
Aku hanya tersengih seperti kerang busuk. Aku sudah faham benar dengan perangai emak. Memang begitulah bebelnya setiap kali aku ingin bertolak pulang pada waktu malam.
“Alah, tak payah risaulah mak. Di jalan raya itu penuh kereta lalu lalang lagi. Dua jam nanti Jamil sampailah ke KL,” kataku sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.
Ayah tidak membalas kata-kataku. Sesekali dia membetulkan kopiah yang terletak kemas di kepalanya.
“Bawa kereta elok-elok. Jangan laju-laju,” pesan ayah sebaik sahaja aku selesai bersalam dengannya. Aku hanya anggukkan kepala. Emak masih lagi memujuk supaya aku balik keesokkan paginya.
“Tak boleh mak. Jamil kena balik malam ni juga, banyak kerja di office yang tergendala mak. Esok pagi-pagi lagi dah ada meeting, takut tak sempat,” kataku menerangkan dengan jelas.
Ayah dan emak menghantarku sampai ke halaman rumah. Setelah mengucapkan selamat tinggal aku terus hidupkan enjin kereta dan memecut pergi.
Dalam hati terasa sedih meninggalkan mereka berdua apatah lagi kedua adikku sudah menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi.
Sambil memandu aku melayan lagu-lagu yang berkumandang di corong radio. Sesekali aku menyanyi dan bersiul mengikut rentak lagu yang didendangkan. Aku lihat sekeliling jalan raya yang lengang ketika itu. Aku fikir mungkin tidak banyak kenderaan yang keluar ketika itu memandangkan hujan lebat petang tadi. Jalan raya juga masih basah dan banyak air yang bertakung.
Jam di papan pemuka kenderaan telah menunjukkan hampir 12 tengah malam. Sesekali aku menggeliat untuk melegakan badan yang agak lesu. Mataku terbaca papan tanda di bahu jalan raya. Aku tarik nafas lega.
“Dah sampai Karak pun,” bisik hati kecilku. Rasanya tidak lama lagi sampailah aku ke Kuala Lumpur.
Tetapi entah kenapa hatiku terasa berdebar-debar. Seakan ada sesuatu tidak kena. Sungguh aku berasa tidak selesa.
Ketika itu juga aku teringat cerita rakan-rakanku sebelum ini yang mana mereka mengatakan agar berhati-hati kalau melalui jalan raya Karak di waktu malam kerana kawasannya agak ‘keras’, kata mereka lagi sudah ramai pemandu ‘terkena’ ketika melalui jalan ini.
“Ceh, kenapalah aku boleh terfikir cerita karut mereka waktu ini. Hampeh betul! bisikku dalam hati.
Natijahnya aku memang tidak percaya dengan cerita-cerita karut sebegini. Beberapa kali juga aku menyangkal dakwaan mereka. Kataku zaman moden ini mana ada hantu, malah hantu pun sudah takut dengan manusia. Itulah hujah yang sering ku guna pakai apabila mereka membuka cerita hantu, sehinggakan salah seorang rakanku Abdul mendoakan agar aku terserempak satu hari nanti.
“Kau cakap besar eh, aku doa satu hari nanti kau terserempaklah dengan hantu di Karak itu. Biar kau terkencing dalam seluar,” kata Sudin tertawa. Aku hanya tersenyum mengejek.
“Aku dah bertahun-tahun balik malam-malam ikut jalan Karak tu, usahkan hantu, kucing pun tak pernah melintas di jalan itu,” kataku sambil tertawa.
Rakan-rakan lain hanya tertawa dengan jawapanku. Mereka tahu aku bukannya percaya dengan cerita-cerita mistik sebegitu. Lagipun mereka sedia maklum kalau lawan berhujah dengan aku pun mereka takkan menang kerana aku sudah punya jawapan.
Aku memandu dengan tenang. Sesekali bila tiba di laluan lurus aku tekan minyak untuk memecut. Ketika tiba di satu selekoh aku terus memasang lampu tinggi. Dan ketika itulah dalam samar cahaya lampu aku terlihat ada satu objek di hadapanku. Walaupun tidak berapa jelas namun aku pasti ia sosok seseorang sedang berjalan kaki.
Aku perlahankan kenderaan untuk melihat siapakah gerangan manusia yang sedang berjalan pada lewat malam itu. Hatiku berperang sama ada ingin berhenti atau meneruskan perjalanan.
Sebaik aku menghampirinya, aku dapat melihat dengan jelas. Seorang wanita separuh umur berbaju kurung putih dan berkain batik sedang menjinjing sebuah beg plastik.
“Ceh, orang rupanya,” bisikku dalam hati. Terus aku turunkan tingkap dan bertanya.
“Mak cik nak ke mana malam-malam ni?” tanyaku sambil memperlahankan radio di kenderaanku.
Wanita tua separuh abad itu berhenti dan tersenyum memandangku.
“Nak ke depan ini saja,” jawabnya pendek.Lantas aku mempelawanya untuk menaiki keretaku. Dia mengangguk sambil membuka pintu di belakang.
“Maaflah iya nak, menyusahkan saja,” katanya sebaik sahaja dia melabuhkan tubuh di kerusi belakang kenderaan. Aku tersenyum sambil menolak gear di tangan.
“Tak apalah makcik, sekurang-kurangnya saya ada juga teman ini. Mak cik nak balik ke rumah ke?” tanyaku memulakan perbualan.
Dia tidak menjawab pertanyaanku. Namun dia menghulurkan tangan dan jarinya lurus menunjuk ke arah jalan raya di hadapan.
Terus aku perlahankan kenderaan. Aku faham maksudnya. Mungkin dia ingin aku berhentikan kenderaan di situ. Sebaik kereta berhenti, aku lantas perhati sekeliling.
Gelap. Hanya hutan rimba dan semak samun sahaja yang kelihatan di sekeliling. Aku tinjau-tinjau juga kalau-kalau ada cahaya lampu dari rumah berdekatan, namun persekitaran gelap gelita.
“Err, kenapa mak cik nak berhenti di sini? Saya tak nampak satu rumah,” tanyaku sambil memandang ke arahnya yang ketika itu sedang melangkah keluar dari kereta.
Dia tidak menjawab pertanyaanku, namun sebaik sahaja menutup pintu kenderaan terus dia menghala ke pintu penumpang di depan. Serta merta aku turunkan tingkap.
“Terima kasih ye nak,” katanya sambil memalingkan muka ke arah jalan raya yang terbentang luas di hadapan. Namun aku perasan suaranya agak berbeza berbanding ketika dia menaiki keretaku tadi.
“Sebenarnya, mak cik datang sini untuk cuci darah anak mak cik yang meninggal kemalangan minggu lepas. Hah, di sinilah tempatnya,” katanya dengan suara garau dan menyeramkan.
Serta merta aku kelu dan tergamam. Tubuhku tiba-tiba berpeluh dan menggeletar. Aku paksa melawan ketakutan ketika itu. Tidak tahu apa yang perlu ku lakukan ketika itu.
“Tak baik kita biarkan darah orang mati kering begitu sahaja. Nanti dijilat Pontianak pula,” sambungnya lagi dengan hilaian perlahan yang menyeramkan.
Berbekalkan sedikit kekuatan, Jamil lantas melaungkan azan dengan sekuat hatinya. Suaranya bergema memecah kesunyian malam ketika itu.
“Allahhuakhbar… Alahuakhbar…,” laungnya
Jamil tidak mampu lagi untuk berada di situ. Lantas dipecutnya kereta meninggalkan kawasan tersebut.
Ketika itulah dia menjengah cermin sisi untuk melihat wanita tua tersebut, namun kelibatnya sudah tiada lagi. – Mingguan Malaysia
‘Tak baik biarkan darah kering di situ’
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 27 Februari 2022, 2:55 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
‘Dah lama aku di luar, bukalah pintu!’
26 September 2021, 3:00 pm
Siapa dengan Zilan tadi?
14 Mac 2021, 2:00 pm
Penunggu lombong tinggal
1 November 2020, 6:00 pm