‘Siapa yang tukarkan lampu tadi?’ - Utusan Malaysia

‘Siapa yang tukarkan lampu tadi?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jefri termenung. Dia seakan tidak percaya dengan berita yang baru diterimanya sebentar tadi. Memang dia tidak sangka abang Rahmat yang sering disapanya setiap hari meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung. Walaupun dia dan abang Rahmat tidaklah serapat mana, namun disebabkan jarak kediaman mereka tidak jauh, maka selalulah mereka terserempak dan saling bertanya khabar.
Namun dia tidak menduga arwah yang dilihat periang dan aktif rupa-rupanya mempunyai sejarah sakit jantung. Pemergian abang Rahmat cukup meninggalkan kesan buat Jefri kerana selama ini arwah banyak membantunya dalam menyelenggara kediamannya kerana arwah seorang kontraktor kecil-kecilan, jadi bila ada kerosakan apa-apa di rumahnya memang arwahlah orang yang dihubungi untuk membantunya.
Lagipun seluruh ahli keluarganya mengenali arwah. Dia bukan sahaja ringan tulang malah sentiasa membantu tidak kira masa, hubungilah sahaja bila-bila masa, pasti arwah akan sampai.
Memang Jefri terasa kehilangan arwah. Sempat juga dia mengirimkan doa buat arwah sebaik sahaja mendapat khabar tersebut sebentar tadi.
Walau bagaimanapun Jefri masih berasa ralat kerana dapat tahu perkara tersebut selepas dua hari kematian arwah. Kalau tidak pasti dia akan datang ziarah untuk beri penghormatan terakhir kepada arwah.
Malam itu sebaik sahaja selesai menyiapkan tugasannya Jefri bergegas meninggalkan pejabat. Dia toleh jam di tangan, sudah hampir jam 12 malam. Terus dia menuju ke arah kereta dan memecut pulang ke rumah.
Memang sejak akhir-akhir ini dia kerap pulang lewat kerana banyak kerja yang perlu dibereskan. Bertugas di syarikat pengiklanan memang cabaran buatnya kerana masa bekerja memang tidak boleh dijangka. Semuanya bergantung daripada tempahan pelanggan. Kerana itulah dia cuba menyiapkan tugasnya dengan segera agar tidak melanggar tarikh ditetapkan.
Suasana malam itu cukup sunyi. Kenderaan di jalan raya juga lengang. Jefri memecut kereta dengan tenang.
Sudah beberapa hari kebelakangan ini dia pulang lewat sehinggakan sebaik sahaja sampai di rumah isteri dan anaknya sudah nyenyak tidur. Dia hanya sempat berjumpa mereka pada keesokan paginya ketika sarapan bersama.
Sebaik sampai di rumah dia tersenyum. Dilihat isterinya masih khusyuk menonton televisyen. Sempat dia menyapa dan bertanya tentang anaknya.
“Eisya dah lama ke masuk tidur?” tanya Jefri kepada isterimya.
Isterinya mengangguk perlahan. Matanya masih terpaku ke arah Jefri yang sedang menanggalkan stoking di muka pintu.
“Dah lama bang. Pukul 10 tadi lagi dia dah masuk tidur. Letih sangat dia bermain dengan anak jiran siang tadi agaknya,” kata isterinya Fatin sambil melangkah menuju ke dapur.
“Abang nak minum ke? Kalau nak saya buatkan air,” tanya Fatin lagi.
“Boleh juga,” kata Jefri sambil menjengah ke dalam bilik anak perempuannya.
Selesai mandi Jefri menukar baju dan kembali ke ruang tamu. Entah kenapa dia rasa malam itu lain benar daripada kebiasaan. Seperti ada yang tidak kena, namun dia tidak tahu dari mana puncanya. Isterinya yang perasan dengan tingkah laku suaminya terus bertanya.
“Kenapa ini bang? Saya tengok gelisah semacam saja. Ada apa-apa yang tidak kena?” tanya isterinya sambil membawa secawan kopi panas ke arah Jefri.
Jefri tersenyum kelat. Tidak tahu bagaimana dia ingin memulakan cerita. Namun dia tahu itu sekadar perasaannya sahaja. Fikirnya mungkin disebabkan terlalu letih menyiapkan tugas seharian di pejabat siang tadi.
“Tak ada apa-apalah. Mungkin letih sahaja. Tapi baru lepas mandi dan dapat kopi secawan ini hilanglah stress kot,” kata Jefri sambil menyambut cawan yang dihulur oleh isterinya.
Fikiran Jefri kosong. Rancangan televisyen di hadapannya ketika itu langsung tidak menarik perhatiannya.
Dia cuba mencari topik perbualan untuk berbual seketika dengan isterinya, tetapi fikirannya buntu. Langsung tiada idea. Jefri mengeluh sendirian.
“Eh, bang, lupa saya nak beritahu abang tadi.” kata isterinya tiba-tiba.
Jefri lantas menoleh ke arah isterinya dengan seribu pertanyaan.
“Pasal apa itu?” tanyanya kembali.
Isterinya sekadar tersenyum sebelum meneruskan kata-kata.
“Alah, tak adalah apa yang penting pun, cuma nak beritahu lampu bilik air belakang dengan lampu bilik tidur Eisya terbakar,” kata isterinya sambil matanya khusyuk melihat kaca TV di hadapannya.
Jefri tarik nafas lega. Dia fikir ada hal penting yang ingin disampaikan kepadanya ketika itu. Nasib baiklah hanya perkara remeh.
“Tak apalah, nanti kita tukarlah. Malam-malam macam ini susah nak buka. Esok sajalah kita buat,” kata Jefri sambil menghirup kopi di cawan yang dipegangnya.
Isterinya memandang Jefri dengan penuh kehairanan. Dia berasa pelik dengan sikap suaminya. Niatnya cuma untuk memberitahu sahaja dan tidak bermaksud ingin menyuruh Jefri menukarkannya.
“Laaa…saya ini sekadar nak beritahu pada abang saja. Bukan saya nak suruh abang tukarkan pun. Benda pun dah settle,” kata isterinya perlahan. Jefri tersenyum kelat.
Dia tahu isterinya tidak bermaksud menyuruhnya melakukan kerja tersebut. Sebelum ini pun dia akan panggil abang Rahmat untuk menguruskannya.
Tiba-tiba dia tersentak. Baru dia terperasan yang dia lupa untuk memberitahu isterinya tentang kejadian yang menimpa abang Rahmat.
“Itulah, saya pun tak tahu macam mana nak uruskan esok ni. Kasihan kat abang Rahmat,” kata Jefri sambil memicit-micit kepalanya.
Dia tidak tahu bagaimana ingin meneruskan kata-kata. Dia takut kalau-kalau isterinya terkejut dengan berita yang bakal disampaikan kerana setahunya isterinya juga baik dengan arwah abang Rahmat.
“Laa.. nak kasihan pada abang Rahmat kenapa pula? Dah memang itu kerja dia. Kita bukannya minta tolong free dengan dia. Selalu kita sedekah lebih pada dia. Dia pun bagus, kerja pun tak pernah berkira,” kata isterinya lagi panjang lebar.
“Iya, saya tahu itu…” kata Jefri sambil mengeluh perlahan.
“Sudahlah bang. Tak payah pening-pening nak fikir. Saya cuma beritahu abang pasal lampu, tapi semua dah settle dibaiki pun,” kata isterinya sambil membawa cawan kosong ke dapur. Jefri terpinga-pinga kehairanan.
“Err, awak suruh siapa yang tukar?” tanya Jefri lagi.
Isterinya mengerutkan dahi kehairanan.
“Laa, abang ini dah kenapa? Dah tentulah saya panggil abang Rahmat minta tukarkan tadi.Dia datang dalam pukul 11 tadi, tapi upahnya saya belum bayar lagi sebab tiada duit kecil, dia kata esok malam dia datang ambil,” kata isterinya sambil mengelap meja kecil di hadapannya.
Serta merta Jefri tersedak. Tersembur sedikit air kopi dari mulutnya. Dia memandang isterinya dengan pelbagai persoalan.
“Err, tadi abang Rahmat datang betulkan lampu di rumah kita ini?” tanya Jefri inginkan kepastian. Isterinya mengangguk tanpa memandang wajahnya.
“Habis itu siapa lagi yang boleh datang bantu tak tentu masa ni bang oi…Abang Rahmat itu seorang sajalah yang sanggup,” kata isterinya lagi.
Ketika itu Jefri rasa kaki tangannya serta merta bertukar menjadi sejuk. Dia kaget. Tidak tahu bagaimana dia ingin menjelaskan perkara sebenar kepada isterinya ketika itu. Lidahnya kelu.
Dia tahu isterinya tidak menipu, kerana sesungguhnya dia percaya Fatin masih tidak tahu tentang perkara sebenar yang terjadi.
Ketika itu fikirannya merewang jauh. Di benaknya tersimpan sejuta persoalan.
Siapakah ‘abang Rahmat’ yang datang menukar lampu di rumahnya tadi, dan benarkah dia ingin datang semula malam esok untuk mengambil upah kerjanya?
Serta merta tubuh Jefri pucat dan menggigil. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya