SAYA meneliti satu iklan kerja yang kawan saya berikan dalam group WhatsApp baru-baru ini. – Diperlukan seorang runner yang juga menjadi penjaga stor dan ada kenderaan sendiri. Bekerja dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Gaji RM1,300!
Dalam hati saya nak makan apa ini gaji kecil macam itu? Tapi disuruh buat dua kerja.
“Siapa ada kawan-kawan atau anak kawan-kawan atau saudara mara habaq kat aku,” kata kawan saya itu dalam group tersebut.
Saya balas – “ Tak naklah. Gaji sikit. Suruh buat macam-macam. Up sikitlah gaji. Ingat ini zaman 70-an. Barang semua murah?”
Kata kawan saya itu, banyak syarikat baru hendak bernafas semula untuk pulih selepas menjalani tempoh PKP yang lama. Kalau beri gaji tinggi macam mana syarikat nak hidup?
Menurutnya lagi, bersyukurlah kalau ada kerja pada waktu ini walaupun gaji sedikit. Ramai menganggur.
Saya bergurau – “Kalau tak nak keluar duit lebih, buat sendirilah semua kerja itu. Lagi jimat banyak. Tak payah bayar gaji pekerja.”
Perbualan berhenti setakat itu. Tapi bukan bermakna kami ‘sentap’. Beberapa hari selepas itu, dia menghubungi saya dan kami minum di Seksyen 9, Shah Alam. Kami berborak macam biasa. Saya kira dia sudah lupa cerita pasal gaji RM1,300 itu.
Tapi dia mengingatkan saya semula tentang itu dan katanya dia sudah naikkan gaji tersebut kepada RM1,500.
“ Masih sedikitlah. Dah kaya pun ‘kedekut pahit’ hang ini,” kata saya dan kami ketawa.
Iyalah, kalau kita hendak beli tiga barang – beras, minyak masak dan telur di pasar raya, bawa RM50 pun tak cukup. Gaji RM1,300, agak-agaklah macam mana mahu hidup? Sedangkan kena bayar sewa bilik atau rumah, bil utiliti, duit makan dan minyak motor. Lainlah duduk dengan ibu bapa.
Dan baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan memberitahu, kerajaan dijangka melaksanakan gaji minimum baru selewat-lewatnya hujung tahun ini. Bagaimanapun, jumlahnya masih belum ditetapkan dan perlu mendapat persetujuan jemaah menteri.
Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet Tahun 2020.
Saravanan mengakui, Malaysia sebenarnya agak terlambat memutuskan tentang penetapan gaji minimum itu kerana kena menjalankan kajian terlebih dahulu dan beliau berharap ia akan dapat dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.
Sebelum itu pula, Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, situasi sekarang bukan masa sesuai untuk meningkatkan kos menjalankan perniagaan dan cadangan pelaksanaan gaji minimum baharu iaitu RM1,500 akan menjejaskan pemulihan ekonomi.
Menurutnya, majoriti perniagaan Malaysia tidak bersedia dan tidak dapat melaksanakan cadangan gaji minimum baharu itu kerana mereka belum mencapai kestabilan ekoran kejutan ekonomi akibat Covid-19 dan kesan buruk banjir besar.
Iyalah, kalau kita minta pendapat MEF, sampai bila pun gaji minimum pekerja tak boleh naik. Memanjang saja cakap masa tak sesuai. Sebelum pandemik Covid-19 pun ada saja alasan lain.
Kerja kena keras, rajin dan berdedikasi tapi bab bayar gaji, ikut keadaan semasa pula. Cubalah hidup dengan gaji RM1,200 itu. Barulah boleh sembang. Kalau gaji naik, tentu pekerja lebih bersemangat untuk bekerja.
Hakikatnya keadaan semasa sekarang ini menyaksikan peningkatan harga barangan yang bukan sedikit. Kos sara hidup naik sudah lama. Ini bukannya isu baru dan dibuat-buat. Tetapi itulah, gaji kebanyakannya masih di takuk lama.
Kalau tak boleh naikkan gaji, selesaikanlah isu kenaikan harga barang, kawallah harga rumah dan janganlah membenarkan sebarang caj perkhidmatan yang tak perlu seperti RM1 bagi pengeluaran wang di mesin ATM misalnya.
Negara ini ada macam-macam pakar dan penganalisis, termasuk ekonomi. Tetapi bila cakap pasal kos sara hidup dan gaji orang bawahan memanjang cakap pasal rugi dan pemulihan. Banyak negara sudah jadi negara berpendapatan tinggi, kita ini mahu naik gaji minimum seratus dua pun terkial-kial buat kajian.
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.