Keluhan para pekebun tidak sewajarnya diketepikan begitu sahaja. Mereka ada hak bersuara dan melahirkan rasa bimbang dengan perkembangan semasa yang menjejaskan pendapatan mereka. Suara mereka mula dilaporkan oleh media :
“Peningkatan harga baja subur (Sawit) kira-kira 40 peratus dan racun sentry pula meningkat 100 peratus. Bukan harga baja sawit saja yang naik tetapi baja durian pun naik, tahun lalu RM90 satu karung, sekarang harganya RM180”.
Ini sebahagian rungutan petani yang tidak berpuas hati dengan kenaikan harga baja sekarang ini. Ramai petani, pekebun dan peladang negara ini mengakui berdepan masalah memenuhi permintaan kerana harga baja meningkat, pengeluaran hasil sederhana dan masalah pemulihan balik pembajaan tanah. Sebenarnya, ada tiga cabaran amalan pertanian masa kini iaitu, perubahan iklim, kekurangan makanan dan kesihatan.
Ada berpandangan masalah tanah bukan sahaja terhad tetapi kena diusahakan. Satu kajian khusus bagi memastikan tanah dalam keadaan bersedia untuk membantu mempertingkat hasil pertanian perlu dibuat. Kita tidak perlu mengimport kajian berkaitan diusahakan oleh pengkaji tanah dari negara luar kerana kajian itu berasaskan kesesuaian tanah dan iklim di negara kita. Kajian di Jepun misalnya tidak sesuai di negara ini dengan struktur tanah dan iklim berbeza. Seharusnya kajian penganalisis tempatan yang sepatutnya diberi keutamaan dan dikongsi bagi tujuan mempertingkat keupayaan hasil keluaran pertanian dan perladangan di negara ini.
Syarikat tempatan, Misalnya, Tan Lan Agri Venture Sdn. Bhd. yang beroperasi di Jalan Degong, Kampar, Perak adalah di antara syarikat yang begitu serius membuat penyelidikan berkaitan isu kelesuan tanah dan bagaimana untuk mempertingkat kualiti tanah itu sendiri. Berslogan ‘Tanah gembira, Tumbuhan gembira dan Kita Gembira’ dilihat satu-satunya syarikat yang ada di dalam negara memberi perhatian serius kepada usaha pemulihan semula tanah demi untuk menghasilkan prestasi tanaman yang baik, subur dan sihat bagi menjamin hasil menggembirakan bagi petani, pekebun dan peladang.
Isu kekurangan hasil pertanian bukan isu baru. Isu ini sentiasa diperkatakan dari semasa ke semasa oleh petani dan pekebun agar diberi perhatian oleh pihak berwajib. Ada dalam kalangan pekebun yang terpaksa mengimport bekalan dari luar negara untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan.
Perkara ini diakui seorang pekebun kelapa yang terbabit dengan penanaman kelapa sejak lima tahun lalu. Katanya, pada setiap bulan, kebun kelapa seluas 8.9 hektar diusahakannya di Tumpat, Kelantan mampu mengeluarkan hasil sehingga 20,000 biji kelapa sahaja.
“Namun jumlah itu hanya diperuntukkan untuk memenuhi pasaran di negeri ini saja kerana ia tidak mencukupi. Saya terpaksa dapatkan bekalan daripada pembekal kelapa dari Indonesia. Permintaan kelapa meningkat terutama pada musim perayaan untuk membuat dodol, serunding dan sebagainya,” katanya.
Sebenarnya kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja import makanan bukan dalam jumlah sedikit. Misalnya, pada 2020, kerajaan terpaksa berbelanja sebanyak RM55.4 bilion. Itu nilai makanan diimport Malaysia berbanding RM45.3 bilion pada 2015 iaitu peningkatan sebanyak 22.3 peratus.
Kebergantungan terhadap import adalah untuk beberapa makanan antaranya makanan ternakan, sayur-sayuran dan buah- buahan. Malaysia masih perlu mengimport komoditi makanan seperti makanan haiwan, baja dan sayur-sayuran beriklim sederhana.
Dalam abad 21 dan era globalisasi, kelestarian atau kemampanan sesuatu syarikat perniagaan terutamanya di peringkat global bukan sahaja ditentukan oleh keuntungan kewangan semata-mata, tetapi dinilai melalui rekod organisasi tersebut dari segi kaedah pengendalian dan pengurusan alam sekitar.
Kedua isu ini penting pada masa ini dan akan menjadi semakin penting di masa akan datang. Justeru, untuk bersaing di peringkat global, perniagaan Malaysia tidak boleh memandang ringan terhadap perkembangan ini. Pembekal keluaran dari industri pertanian dan perladangan perlulah lebih prihatin terhadap faktor kemanusiaan dan persekitaran dalam mengendalikan urusan perniagaan mereka.
Penggunaan baja dan tanah adalah sebahagian daripada elemen penting yang sewajarnya diberi perhatian. Pembajaan tanah mengandungi unsur pemakanan tumbuhan yang dibekalkan secara langsung kepada tanah bagi pertumbuhan tanaman. Setiap bahan yang mengandungi unsur pemakanan tumbuhan dan dibekalkan kepada tanah contohnya nitrogen, fosforus dan kalium adalah dikelaskan sebagai baja tumbuhan.
Sementara itu, bahan-bahan yang digunakan secara tidak langsung untuk memperbaiki struktur dan tekstur tanah, meningkatkan daya kelembapan tanah dan daya pegangan air tanah serta mengawal keasidan tanah adalah dianggap sebagai bahan perapi tanah (soil conditioner). Kesemua bahan ini adalah penting dalam mempertingkatkan kesuburan tanah bagi menampung keperluan pertumbuhan tanaman dariperingkat awal penanaman sehingga kepada penuaian hasil.
Seterusnya dicadangkan agar petani, pekebun dan peladang mencari strategi terbaik untuk menjadi lebih kompetitif melalui amalan mesra alam. Strategi ini bukan sahaja mampu mengurangkan kritikan terhadap tanah dan hutan diterokai, ia menjadi strategi mesra sebagai wadah untuk memastikan produk pertanian ini dilihat lebih mampan dan mesra alam.
Malaysia telah kehabisan kawasan yang sesuai untuk pembesaran ladang pertanian. Memandangkan hampir semua kawasan yang sesuai di Semenanjung Malaysia dan Sabah telah ditanam dengan sawit dan pada masa ini, peningkatan keluasan ladang sawit akan berlaku di Sarawak.
Nampaknya kita berdepan dengan masalah rumit pada masa akan datang. Maka kajian yang dibuat untuk memastikan tanah berada dalam keadaan yang baik bagi mengelakkan kelesuan tanah dan bagaimana untuk mempertingkat kualiti tanah itu sendiri perlu diteruskan.
Sementara itu, hasil kajian perlu dikongsi dengan pemain industri tanah secara komersial, termasuk pekebun dan peladang ini. Tanyalah Tan Lan Agri Venture Sdn. Bhd. yang beroperasi di Kampar, Perak untuk dikongsi hasil kajian mereka.
Amran Zakaria ialah Penganalisis prestasi produk pertanian dan perladangan Malaysia.