PM sudah lama promosi TVET - Utusan Malaysia

PM sudah lama promosi TVET

KERAJAAN dalam Bajet 2022 turut memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion bagi memperkasa TVET.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN ada yang memandang sinis pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 3 Februari lalu untuk menubuhkan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC).

Ini bermakna GITC yang diterajui pihak industri akan terlibat secara langsung dalam pembangunan modal insan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara, khususnya berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja.

Pembangunan modal insan itu melibatkan 12 hab termasuk automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan.

Pembaharuan ini akan menyediakan graduan yang menepati keperluan industri, meningkatkan kualiti institusi TVET, memperkukuh penawaran program berorientasikan industri dan memperhebat keterlibatan aktif industri.

Ramai berpendapat inisiatif terbaharu dibuat Perdana Menteri untuk menjadikan TVET sebagai pilihan pertama kerjaya sudah pasti kurang berjaya seperti rakan-rakan sejawatan beliau sebelum ini.

Tanggapan itu mungkin meleset jika dilihat kesungguhan Ismail Sabri mempromosi TVET sejak dahulu lagi. Buktinya, pelbagai strategi dan inisiatif dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk tujuan itu. Kerajaan dalam Bajet 2022 turut memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion bagi memperkasa TVET.

Perkara itu diakui sendiri oleh Naib Canselor Universiti Antarabangsa UNITAR, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar ketika dihubungi Utusan Malaysia, kelmarin.

Ketika Ismail Sabri menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dari 2015 hingga 2018, beliau menjelajah bersama Sahol Hamid ke seluruh negara mempromosikan TVET melalui program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB).

SASARAN

JPB diilhamkan Sahol Hamid pada 2010 ketika menjadi Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan banyak menjalankan program dengan kolej, universiti dan maktab di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam portfolio Ismail Sabri.

Setelah menjadi Perdana Menteri, beliau mahu program itu dipergiatkan dan JPB dijenamakan semula sebagai Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM). JPB dikelolakan oleh Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) yang kini dikenali Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin).

Sahol Hamid yang juga Pengerusi JPKM menjelaskan, pihaknya meletakkan sasaran untuk menjelajah ke hampir 50 tempat di seluruh negara pada tahun ini.

“Baru-baru ini, Perdana Menteri sendiri panggil saya supaya program ini dijalankan secepat mungkin dan dilipatgandakan usaha dengan sasaran 60,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai aliran TVET,” ujarnya.

Ketika program jelajah sebelum ini, ungkapan yang selalu disebut Ismail Sabri, perlu diubah persepsi TVET merupakan pilihan kelas kedua dan Malaysia harus mencontohi negara luar seperti Jerman yang berjaya menjadikan TVET pilihan utama penuntut di sana.

Sahol Hamid yang turut berkhidmat sebagai profesor tamu dalam bidang kejuruteraan awam di University of Stuttgart, Jerman mengakui negara itu lebih maju dalam TVET berpunca daripada sikap rakyatnya yang tidak memandang rendah kepada aliran pendidikan berkenaan.

“Orang kita berfikiran cetek apabila menyatakan TVET tidak bagus dan untuk orang gagal. Kita kena ubah persepsi orang kita yang lebih megah dengan pangkat (kerjaya diperoleh hasil kelulusan akademik tinggi),” katanya.

WAJIB

Menurut data laman web Salaryexplorer.com, pada 2022, purata gaji bidang TVET seperti elektrik dan elektronik di Jerman adalah sehingga 61,200 euro setahun yang bersamaan RM292,788 setahun atau RM24,399 sebulan.

Beliau berkata, tumpuan Perdana Menteri untuk membangunkan TVET memang tepat pada masa kerana terdapat pelbagai tanda kurang menggalakkan sekarang, seolah-olah pelajar tidak lagi berminat menyertai aliran TVET sehingga pendawaian elektrik pun diserahkan kepada pekerja dari Bangladesh.

Sahol Hamid turut meluahkan kesedihan melihat ramai anak Melayu kini lebih suka bekerja dalam perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing).

Dalam pada itu, Sahol Hamid melahirkan keyakinan Ismail Sabri boleh melakukan lebih banyak perubahan jika diberi lebih masa dan tidak mustahil Malaysia boleh menjadi setara Jerman.

“Jika usaha yang kita buat sekarang ini diteruskan dan kalau kita ada Perdana Menteri yang prihatin seperti Datuk Seri Ismail Sabri yang sangat pentingkan masa depan anak-anak muda ini yang kebanyakannya anak Melayu, insya-Allah,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan merealisasi cadangannya sebelum ini supaya diwajibkan lepasan SPM yang tidak melanjutkan pengajian dalam bidang akademik agar menyambung pembelajaran dalam aliran TVET.

“Cadangan ini saya buat pada 2016 dan Perdana Menteri tahu pasal ini tetapi mungkin ambil masa untuk dilaksanakan kerana ia perlu disahkan dari segi undang-undang dan harus melibatkan Parlimen dan lain-lain,” ujarnya.

Sahol Hamid sendiri adalah bukti lulusan TVET seperti beliau yang pakar dalam pengurusan banjir dan kejuruteraan persekitaran mampu memberi sumbangan besar di peringkat global.

Ketika dilantik sebagai warga asing pertama menjadi Naib Canselor BS Abdur University di Chennai, akhbar The New Indian Express pada 2017 menyiarkan kisah hidupnya yang penuh warna-warni dalam artikel bertajuk The Godfather who became a VC.

Beliau yang berusia 70 tahun, lebih tua daripada Ismail Sabri tetapi kelihatan muda, pernah hidup miskin sebagai gelandangan dan terlibat dengan kumpulan gengster tetapi akhirnya berjaya dalam pelajaran dan kerjaya.

Semoga usaha bersungguh-sungguh Pak Long Mail ini akan melahirkan lebih ramai tokoh sehebat Sahol Hamid.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya