Kerenah birokrasi berpisah tiada... - Utusan Malaysia

Kerenah birokrasi berpisah tiada…

Dr. Wan Norashikin Wan Noordin (kanan) menziarahi Selamah Hamid yang lumpuh di Sungai Manik, Pasir Salak, Perak baru-baru ini. – MINGGUAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BETAPA susahnya kami nak minta bantuan dengan kerajaan. Selepas satu demi satu dokumen yang mereka nak. Jumpa penghulu, macam-macam kami dah pergi. Cakap sajalah apa saja yang kami tak cuba untuk mendapatkan bantuan ini. Kenapa susah sangat nak bagi? Kami bukannya nak guna duit itu sewenang-wenangnya.”
Itu kata-kata yang saya petik daripada video yang dibuat oleh Diwiyana Mohammed yang meluahkan rasa kecewanya di media sosial baru-baru ini kerana buntu dan terdesak setelah permohonan mendapatkan bantuan untuk ibunya seorang OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lambat diambil tindakan.
Difahamkan, ibunya sebelum ini mendapat bantuan bulanan sebanyak RM300 dari JKM semasa dia tinggal di Kuala Lumpur. Kemudian dia berpindah ke Perak, dan membuat permohonan baru pada Januari tahun lalu di negeri itu dan dalam video itu dia berkata, selepas susah payah mendapatkan tanda tangan orang yang diperlukan, borangnya hilang di JKM dan dia mengemukakan permohonan yang baru bulan lalu.
Setelah videonya tular, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin menziarahi keluarga itu. Pengarah JKM negeri, Nor Tipah Majin pun datang. Menjelaskan kelewatan itu, Nor Tipah berkata, dalam semakan JKM daerah, borang permohonan bantuan memang ada, namun disebabkan dari segi pertukaran atau pun berpindah sistem menyebabkan ada kekangan.

JKM dalam kenyataan medianya juga memberitahu, bantuan ditamatkan sebelum ini kerana pengadu tidak ditemui semasa proses kaji semula kes . Proses kaji semula itu dilaksanakan kepada semua penerima bantuan dalam tempoh 12 bulan selepas menerima bantuan bagi tujuan menilai semula kelayakan penerima.

Pada saya apalah sangat kekangan setakat berpindah dari KL ke Perak. Kita pun lama dah hidup dalam zaman teknologi maklumat. Banyak urusan boleh diakses melalui komputer dan dibuat secara online.
Sebab itu, sebelum ini saya ada menulis mengenai perkhidmatan awam dengan kerenah birokrasi berpisah tiada tetapi penjawat awam komen marah-marah tidak boleh terima teguran. Inilah salah satu contohnya. Bila tular cepat pula bertindak.Sepatutnya JKM perlu menjadi jabatan yang paling cekap dalam kerajaan. Sebabnya, jabatan inilah yang menguruskan aduan dan kesusahan rakyat. Jabatan ini amat penting. Banggalah dan bertuahlah anda dipilih menjalankan kerja yang amat murni dan besar pahalanya ini.
Dan apabila orang susah datang meminta bantuan, janganlah meminta macam-macam dokumen. Kalau tidak percaya atau takutkan scammer, pergi sajalah ke rumah pemohon. Turun padanglah. Lihat dengan mata sendiri. Layak atau tidak. Tak perlulah mereka kena datang selalu ke pejabat JKM. Ada yang datang dari jauh. Sudahlah susah, dirumitkan lagi mereka ini.
Diharapkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat boleh melihat semula prosedur pemberian bantuan kepada golongan ini. Janganlah terlalu ‘cerewet’ dan mereka terpaksa melalui banyak kerenah birokrasi. Mengisi banyak borang dan kena mendapatkan banyak tanda tangan segala wakil rakyatlah, tok penghulu, imam atau tok siak. Kadang-kadang kita merasa ‘sesak dada’ melihat rungutan orang susah sebegini terpaksa ditularkan dalam media sosial yang puncanya adalah kerenah birokrasi yang sebenarnya boleh diselesaikan dalam masa beberapa jam sahaja tetapi mengambil masa sehingga berbulan atau makan tahun.
Sampai bila perkhidmatan awam mahu duduk di takuk purba kala lagi? Saya percaya, ini bukan kelembapan pekerja tetapi sistem dan prosedur dibuat oleh pihak atasan yang menjadi kekangan untuk mereka jadi cekap dan cepat. Pekerja biasalah mengikut saja prosedur dan perintah serta tidak berani bertindak mengikut budi bicara atau pertimbangan kemanusiaan sebab mungkin elemen itu tiada dalam `job spec’ mereka.
Dan janganlah lagi memberi alasan pandemik Covid-19 membuatkan urusan seperti ini tertangguh dek kerana sebelum ini bekerja dari rumah yang menyebabkan segala kelewatan dan urusan orang ramai tidak dapat dibuat dengan cepat selain ikut SOP. Kita kena hidup dalam Covid-19 ini mungkin dalam tempoh yang lama. Kena fikir macam mana boleh memberikan perkhidmatan yang cekap ketika pandemik ini lebih-lebih lagi dalam menangani isu-isu rakyat.
Agaknya, kuasa tular di media sosial akan mengambil alih pengisian borang dan tanda tangan untuk meminta bantuan. Kalau inilah yang terus berlaku, ia  mencerminkan kegagalan agensi yang menguruskannya. Berubahlah!

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya