Kenaikan gaji ikut produktiviti? - Utusan Malaysia

Kenaikan gaji ikut produktiviti?

PELAKSANAAN gaji minimum perlu dibuat secara berperingkat bagi mengurangkan bebanan kepada mana-mana pihak. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBANYAKAN negara di dunia menjadikan isu pengagihan pendapatan sebagai antara perkara pokok dalam agenda penggubalan dasar awam. Pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuklah Malaysia dalam masa dua tahun ini cukup memberi kesan kepada jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin.
Golongan yang sebelum ini dikategorikan sebagai M40 telah terperangkap di dalam kategori B40 sedangkan sebilangan golongan T20 terus melebarkan kekayaan. Kos sara hidup yang semakin meningkat merumitkan lagi keadaan.
Gaji minimum antara pilihan yang boleh digunakan sebagai mekanisme untuk mengurangkan jurang agihan pendapatan dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah.
Sejak sekian lamanya, isu kenaikan gaji minimum kekal sebagai sebuah dasar yang kontroversi dan membangkitkan perdebatan terutamanya dalam kalangan majikan, kerajaan dan juga pekerja.
Bagi pihak majikan, kenaikan gaji minimum tatkala kebanyakan perniagaan berada pada fasa pemulihan dek pandemik Covid-19 dan bencana banjir adalah suatu perkara yang perlu dielakkan kerana ia akan mengetatkan margin keuntungan dan menggalakkan lebih banyak pemberhentian pekerja.
Di pihak pekerja pula, kenaikan gaji minimum amat dituntut kerana kos sara hidup semakin meningkat dan jumlah gaji minimum sedia ada pada hari ini tidak lagi relevan.
Pakar-pakar ekonomi di dalam negara pula memberikan pendapat berbeza mengenai isu ini. Ada berpendapat kenaikan gaji minimum akan meningkatkan harga barangan kerana majikan akan memindahkan peningkatan kos buruh kepada pengguna. Ada juga berpendapat terdapat keperluan untuk menaikkan gaji minimum kerana pekerja juga pengguna yang akhirnya akan merancakkan semula ekonomi negara.
Hasil kajian yang dijalankan di beberapa negara pula mendapati kenaikan gaji minimum akan menyebabkan pemberhentian pekerja dan pengurangan jam bekerja dan ada juga kajian mendapati terdapat sedikit atau tiada kesan ketara pada kedua-dua elemen tersebut.
Di Ireland, kenaikan gaji minimum tidak membawa kepada masalah pembuangan pekerja secara umumnya dan ia hanya memberi kesan terhadap pengurangan jumlah tempoh bekerja.
Ketika ini, terdapat majikan yang telah menawarkan gaji minimum sebanyak RM1,500 walaupun perkara tersebut belum diperundangkan oleh kerajaan kerana memikirkan perihal motivasi pekerja dan kesan positif pelaburan yang dilakukan sekiranya mereka berbuat sedemikian.
Kenaikan gaji minimum pekerja juga akan meningkatkan simpanan KWSP pekerja dan daya tahan kewangan mereka selepas bersara. Perkara ini penting kerana negara akan beralih ke fasa penduduk yang semakin tua tidak lama lagi. Namun, apa yang lebih utama kenaikan gaji minimum ini boleh meredakan kesengsaraan yang ditanggung oleh pekerja bergaji rendah.
Negara seperti Argentina, Turkey, Brazil, Korea Selatan, Australia, Indonesia, Paraguay dan banyak lagi turut meningkatkan gaji minimum pekerja pada tahun ini.
Di Australia, kenaikan gaji minimum dilaksanakan pada tahun 2021. Bagaimanapun, sektor-sektor ekonomi yang terkesan teruk dek Covid-19 seperti sektor penerbangan, pelancongan dan sektor acara diberikan kelewatan pelaksanaan kenaikan gaji minimum.
Di Cambodia pula, kenaikan gaji minimum hanyalah terpakai pada beberapa industri terpilih seperti pakaian, tekstil, dan kasut kerana industri-industri ini menyumbang sebanyak 80 peratus jumlah eksport negara mereka.
Di sana, gaji minimum yang diterima berdasarkan kepada tahap produktiviti pekerja. Pekerja yang sangat produktif akan diberikan gaji melebihi gaji minimum dan pekerja yang kurang produktif akan diberikan gaji setakat gaji minimum.
Seperti yang dinyatakan tadi, terdapat sebilangan majikan yang belum bersedia untuk menaikkan gaji minimum pekerja. Sekiranya kenaikan gaji minimum diperkenalkan oleh kerajaan tidak lama lagi, kajian yang menyeluruh dan segera perlu dijalankan bagi mengenalpasti sektor dan jenis perniagaan apa yang perlu dibantu secara tersasar oleh kerajaan bagi mendepani isu kenaikan gaji minimum ini.
Kenaikan gaji minimum juga harus disertakan dengan dasar yang berkesan untuk memberi insentif kepada firma untuk melabur dalam inovasi dan meningkatkan rantaian nilai.
Kerajaan juga perlu bersungguh-sungguh untuk mengawal harga barangan sebelum, semasa, dan selepas kenaikan gaji minimum diperkenalkan tidak lama lagi.
Selain itu, kerajaan juga perlu meningkatkan usaha untuk menguar-uarkan bentuk insentif yang diberikan kepada para peniaga kerana masih terdapat sebilangan mereka yang kurang cakna berkaitan program-program bantuan yang diberikan oleh kerajaan.
Kadar gaji minimum yang baharu itu nanti perlu diseragamkan tanpa membezakan pekerja di bandar dan luar bandar kerana pada ketika ini, penduduk di luar bandar turut mengalami kesan inflasi yang ketara.
Mungkin juga boleh difikirkan mengenai pekerja asing yang turut sama mengecapi manfaat kenaikan gaji minimum. Kebanyakan mereka kurang membelanjakan wang pendapatan mereka di dalam negara kerana kebiasannya wang tersebut dihantar ke kampung mereka di luar negara.
Isu majikan akan mengambil pekerja asing lebih ramai berbanding pekerja tempatan kerana gaji yang dibayar lebih murah boleh diatasi dengan cara menetapkan kuota maksimum yang dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing.
Paling tidak pun, dicadangkan agar pekerja asing diberikan baucar yang nilainya sama dengan kenaikan gaji minimum bagi memastikan wang yang mereka dapat dibelanjakan di dalam negara.

PENULIS ialah Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya