Saya mengambil penumpang di salah sebuah pusat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Selangor. Seorang lelaki naik, destinasinya menuju ke Kajang. Daripada penampilannya saya mengagak dia salah seorang kakitangan AADK. Terus otak saya berfikir dengan pantas, mesti banyak cerita menarik yang boleh dikongsi.
Selepas berbasa-basi sebagai syarat memulakan perbualan, saya pun mula bersembang sambil bertanyakan adakah dia bekerja di AADK.
Bila dia mengiyakan, tersenyum lebar saya. Wah, mesti boleh kongsi banyak pengalaman ni, desis hati saya. Tak sia-sia saya ‘ringan mulut’, akhirnya saya mendengar sebuah cerita sedih seorang ibu dan anaknya, seorang penagih.
Kata penumpang ini yang saya letakkan nama sebagai R saja, AADK ini punya seribu macam cerita pilu tentang penagih dan ahli keluarga mereka.
“Ada satu cerita ini yang saya ingat sampai sekarang bila seorang ibu datang dari jauh meminta AADK mengambil anaknya yang ketagih dadah.
“Makcik itu datang dari Kuang ke pejabat AADK naik teksi. Dia tak tahan anak lelakinya yang dah umur 40-an terlibat dengan najis dadah sampai sanggup menjual harta maknya.
“Makcik ini kerja menjual kuih muih dan goreng pisang menyara keluarga. Dia ibu tunggal. Tak pasti berapa orang anak yang dia ada tapi salah seorang itu, si penagih tegar ini.
“Satu hari makcik itu pergi ke Kelantan dan berpesan pada anaknya ini, nak buat apa pun buatlah asalkan jangan sesekali jual barang meniaganya.
“Balik dari Kelantan, makcik ini sedih sangat sebab si anak itu rupanya dah menjual tong gas, satu-satunya yang dia ada untuk meniaga.
“Kecewa sangat makcik ini dengan anak dia, teruslah dia datang ke AADK minta tolong tangkap anaknya sebab tak tahan lagi dah dengan perangainya.
“Menangis-nangis makcik ini bercerita sebab itulah punca pendapatan dia. Sudahlah pendapatan tak banyak mana, tong gas pula hilang. Macam mana dia nak meniaga? Duit pun tak ada,” cerita R.panjang lebar.
Kata R, ketika makcik tersedu-sedan menangis, ramai kakitangan lain ikut sebak dan meleleh air mata sekali.
“Kami kasihahn sangat dengan makcik itu, sudahnya kami pakat sorang sikit, kumpul duit dan sedekah padanya agar dia dapat kembali berniaga.
“Kami panggilkan Grab dan bayarkan sekali tambangnya balik ke rumah. Kasihan sangat sebab makcik itu dah tua tapi masih gigih bekerja menyara keluarga,” kata penumpang ini.
Saya yang mendengar kisah itu, ikut sebak sekali. Bergenang air mata tapi malu pula untuk mengesatnya, bimbang penumpang nampak.
Namun sebelum penumpang itu turun, terngiang-ngiang pesanannya yang masih saya ingat;
“Pesanlah pada ahli keluarga dan sahabat handai, janganlah sesekali terlibat dengan najis dadah sebab nak berpatah belakang itu bukan mudah”. – Mingguan Malaysia