MEMBAWA binatang peliharaan menaiki kenderaan Grab memang tidak dibenarkan, tetapi ia bergantung juga kepada budi bicara pemandu. Untuk saya yang sukakan haiwan, memang susah nak menolak sekiranya ada penumpang mahu membawa binatang peliharaan mereka.
Ia berlaku kepada saya tidak lama dulu. Saya mendapat pesanan di Hentian Kajang. Dua wanita Filipina berdiri menunggu kereta saya di satu kedai. Salah seorangnya berusia dalam 40-an bertanya sama ada saya membenarkan dia membawa anjing di dalam kereta.
Tergamam sekejap saya. Membayangkan anjing besar, saya mahu membatalkan pesanan. Tapi mulut saya bertanya juga – “Besar atau kecil?” Buatnya besar macam Rottweiler atau Golden Retriever, memang taklah saya izinkan.
“Kecil saja. Jenis Chihuahua,” kata wanita dewasa ini. Ah…comelnya dia, hati saya berkata. Saya benarkan dengan syarat, anjing tersebut mesti diletakkan di dalam kotak dan pastikan air liur tidak meleleh jatuh. Si perempuan muda kemudian pergi ke satu tempat. Namun dia mengusung sebuah beg kertas yang agak besar saiznya.
“Kakak, tak ada kotak. Beg kertas boleh?” tanyanya. Saya memandang beg kertas tersebut. Di dalamnya seekor anjing jenis Chihuahua dengan mata bulat memandang saya.
Alah comelnya kau, bisik hati saya lagi. Cair hati saya tengok anjing comel ini. Teringat kucing saya, Dora dan Yaki.
“Okay, dengan syarat you peluk dia dan jangan sesekali beri dia keluar dari dalam beg itu. Saya tak nak bulu dan air liur dia jatuh,” kata saya dengan tegas. Maka naiklah dua wanita ini. Rupanya yang dewasa itu ibu kepada yang muda. Kami bersembang dengan agak rancak kerana si ibu petah berbahasa Melayu lantaran sudah lama bekerja di Malaysia dalam bidang perhotelan.
“Sebenarnya anjing ini kawan saya punya. Dia terpaksa balik ke Filipina dan tinggalkan anjingnya dengan boyfriendnya.
“Tapi si boyfriend itu tak reti menjaganya, jadi anjing ini terabai. Sebab itu, kawan saya minta saya menjaganya. Kebetulan memang kami sukakan binatang,” katanya ramah.
Sewaktu memandu menghala ke Sentul, sesekali saya mengerling ke cermin belakang. Mahu tahu anjing kecil itu duduk diam di dalam beg kertas atau tidak. Jelas di cermin si anak merangkul beg tersebut rapat ke dadanya. Kepala anjing sahaja terkeluar dan masih di dalam kotak. Si anjing itu pula memang jenis baik agaknya. Langsung tak menyalak atau meronta-ronta. Diam tak berkutik!
Ada banyak cerita yang dibualkan terutama kisah pekerjaannya selama hampir 20 tahun di Malaysia. Dia seronok kerana mudah mendapat kerja sehingga mampu hidup selesa di sini.
Setibanya di destinasi mereka, si ibu dan anak berulang kali mengucapkan terima kasih kerana saya tidak membatalkan pesanan disebabkan si Chihuahua itu. Diberikan saya tips yang agak lumayan juga atas jasa baik saya itu.
Saya tersengih. Masakan saya dapat menolak bila melihat pandangan mata si Chihuahua yang bulat itu. Comel sungguh! – MINGGUAN MALAYSIA
Cair hati tengok Chihuahua
- Oleh SHIKIN HASSAN
- 13 Februari 2022, 11:12 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Balasan dapat di dunia, carilah rezeki halal
3 April 2022, 11:01 am
Dia menyanyi pula dah …
6 Mac 2022, 12:00 pm
Badan besar, duduk belakanglah!
20 Februari 2022, 10:50 am