Beri pilihan kerana berisiko – Dr. Amir Farid - Utusan Malaysia

Beri pilihan kerana berisiko – Dr. Amir Farid

DR. AMIR FARID ISAHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

BARU-baru ini Utusan Malaysia melaporkan dianggarkan lebih 2 juta penerima vaksin primer Sinovac di negara ini, status vaksinnya akan bertukar putih dan berdepan sekatan tertentu jika masih belum mendapatkan dos penggalak sebelum 1 Mac. Bagaimanapun, tarikh itu dilanjutkan 31 Mac. Tindakan mewajibkan pelalian tambahan itu didorong oleh peningkatan drastik kes Covid-19, selain kemunculan pelbagai varian baharu.
Soalnya, timbul aduan dan rungutan menyatakan ada kesan sampingan pengambilan dos penggalak, dan ia adalah laporan berautoriti iaitu jurnal perubatan, akhbar arus perdana selain keluhan rakyat dalam media sosial. Maka, tak hairanlah ramai bersikap untuk ‘tunggu dan lihat’.
Ada yang risaukan keselamatan dan kesan advers akibat vaksin pada masa sama, ada kebimbangan tidak dapat bekerja kerana disekat tanpa status vaksin lengkap. Jadi, apa yang rakyat perlu buat selain dihantui kerisauan? Didorong persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia, FAHMI FAIZ dan MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN menemu bual pengamal perubatan yang juga penganalisis kesihatan awam, DR. AMIR FARID ISAHAK.

Mingguan Malaysia: Kenapa masih ada yang tak yakin terhadap vaksin? Adakah kumpulan yang tak percaya vaksin ini berpandangan virus Covid-19 itu tidak wujud?
Amir Farid: Kumpulan yang menolak vaksin ini, sebenarnya bukan datang dari satu kumpulan saja. Mereka ada banyak. Kumpulan pertama adalah yang memang antivaksin, mereka tolak semua jenis vaksin dari dulu, sejak anak mereka lahir enggan beri suntikan Hepatitis, sampai sekarang manakala ada kumpulan lain, termasuk pakar perubatan serta doktor yang masih bertugas, mereka ini pro vaksin, malah di hospital dan klinik memang mereka yang galakkan suntikan vaksin. Cuma mereka ini pro vaksin yang selamat dan berkesan. Tetapi mereka antivaksin yang tak selamat atau tak berkesan.

Kumpulan kedua ini, mereka percaya atau tidak Covid-19 ini wujud?
Ya, mesti percaya Covid-19 ini wujud. Kalau tiada Covid-19, mengapa pula ada banyak kematian akibatnya?

Jika percaya Covid-19 ini memang wujud, mengapa tolak vaksin untuk Covid? Ada kaedah lain untuk mencegah kalau tak gunakan vaksin?
Pertama, saya masih setuju mereka yang berumur dan berkomobiditi, memang patut ambil vaksin. Saya setuju, sebab pandangan ini berdasarkan bukti. Tetapi, oleh sebab cerita tentang keselamatan vaksin ini, malah kes-kes yang melibatkan kematian, maka ini timbulkan tanda tanya.

KESELAMATAN VAKSIN
Apa maksud keselamatan vaksin? Vaksin sekarang tak selamatkah?
Saya kongsikan sedikit pengalaman terlebih dahulu. Pada Mei tahun lepas, saya menghantar mesej kepada pesakit dan keluarga saya, gesa mereka ambil suntikan vaksin Covid-19. Saya gesa sebab waktu itu, kes naik terlalu mendadak malah kita ketika itu masih berpandu fakta yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu evidence based medicine.
Jadi, bukti yang diberikan kepada kita sewaktu awal kes Covid-19 naik dulu, iaitu sejak Disember 2020 sehingga awal 2021 adalah vaksin jenis Pfizer, tahap keberkesanannya mencecah 95 peratus, bermaksud berkesan mencegah jangkitan Covid-19.
Malah bukti waktu itu menyatakan vaksin Pfizer 100 peratus berkesan mencegah komplikasi penyakit serius atau kematian, jika terkena Covid-19. Itulah fakta yang diberikan kepada kita. Jadi tak munasabah jika kami pengamal perubatan tak galakkan orang ramai ambil suntikan, sebab bukankah cukup cantik keberkesanannya? Kebetulan pula pada pertengahan tahun lepas, kes naik mendadak, hospital penuh sampai pesakit terpaksa dirawat di lot parkir hospital.

Kemudian apa berlaku?
Tetapi, tak lama kemudian kita mendapat maklumat rasmi bahawa sebenarnya keberkesanan vaksin Pfizer itu mula menurun. Misalnya di Israel, pakar di sana menyatakan secara jelas, keberkesanannya cuma 35 peratus dan bukan 95 peratus selepas enam bulan. Kemudian timbul pula laporan yang dibuat Pfizer, selepas kajian yang dibuat secara berperingkat, menyatakan kajian Pfizer sendiri sudah menunjukkan kematian individu yang ambil vaksin mereka, lebih daripada individu yang ambil placebo. Itu Pfizer sendiri punya kajian. Malah, ada whistle blower syarikat itu dedahkan, ada kes-kes kesan sampingan yang tidak direkodkan. Semua ini direkodkan dalam jurnal perubatan yang berautoriti, iaitu British Medical Journal (The BMJ), bertajuk BMJ Investigation: Researcher blows the whistle on data integrity issues in Pfizer’s vaccine trial.

Apa rumusan dari jurnal itu?
Seorang pengarah perubatan bernama Brook Jackson yang bekerja bagi sebuah kontraktor penyelidikan Pfizer, iaitu Ventavia Research Group memberitahu The BMJ bahawa Pfizer memalsukan data, merahsiakan proses percubaan klinikal (unblinding), menggunakan juruvaksin yang tidak terlatih, dan lambat membuat susulan terhadap kejadian buruk yang dilaporkan dalam percubaan fasa ketiga Pfizer yang penting.
Malah dalam jurnal itu juga, dilaporkan kakitangan yang menjalankan pemeriksaan kawalan kualiti terkejut apabila terlalu banyak masalah yang mereka temui berkaitan vaksin Pfizer. Selepas berulang kali memberitahu Ventavia tentang masalah ini, Brook Jackson menghantar aduan melalui e-mel kepada Food and Drug Administration Amerika Syarikat (FDA). Kesannya, Ventavia memecatnya.
Maknanya, satu jurnal yang termahsyur di dunia, menyatakan keberkesanan Pfizer menurun secara drastik, malah kajian Pfizer sendiri pun tunjukkan kematian akibat ambil vaksin lebih tinggi berbanding tak divaksin. Ketiga, dari segi kesan sampingan, Pfizer tak telus, ada kesan yang tidak direkodkan.

Adakah semua vaksin tak selamat?
Semua vaksin ada risiko masing-masing, namun berdasarkan laporan yang kita terima sama ada melalui pesakit yang datang ke klinik atau hospital, mahupun melalui laporan media atau jurnal, dari segi kesan sampingan, nampaknya Sinovac yang paling kurang kesan risiko. Dalam soal keselamatan, nampaknya Sinovac lebih rendah risiko berbanding Astra Zaneca, malah jauh lebih rendah risiko berbanding Pfizer. Tetapi, dari segi keberkesanan, Pfizer lebih berkesan dari Astra Zaneca, dan lebih berkesan berbanding Sinovac.

TAK VAKSIN MUNGKIN MATI
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, KKM berkata individu tanpa mengira usia yang tidak divaksin, berisiko dijangkiti Covid-19 dengan simptom serius termasuk kematian. Komen?
Itu memang kenyataan yang betul tetapi hanya bagi mereka yang berumur 18 tahun ke atas. Sebab kita lihat kepada carta yang diberikan KKM, fakta itu memang tepat. Jadi apabila ada data yang menyeluruh, maka kita tak boleh nafikan. Tapi, harus jelas bahawa data itu cuma me­nunjukkan keberkesanan vaksin. Namun, ia langsung tak sentuh soal bahaya vaksin. Bila cakap soal bahaya vaksin, ada contoh misalnya orang muda yang disuntik Pfizer, tahap bahaya kepada diri mereka meningkat secara mendadak.

Apa buktinya?
Banyak fakta jelas menyatakan hal ini, seperti fakta dan data di Amerika Syarikat (AS) dan banyak negara lain. Orang muda yang disuntik Pfizer ini, paling cenderung disusuli penyakit miokirditis, iaitu keradangan otot jantung yang kebiasaannya disebabkan oleh virus.
Utusan Malaysia sendiri pernah laporkan pada 30 Jun tahun lalu, bahawa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) memantau perkembangan kesan sampingan suntikan vaksin jenis Pfizer yang dikatakan mengundang risiko miokarditis dan perikarditis, sebab insiden miokarditis dan perikarditis dalam kalangan remaja lelaki agak tinggi selepas suntikan Pfizer.
Malah di New Zealand pada 30 Ogos tahun lalu, BBC melaporkan ada kes kematian seorang wanita akibat miokarditis, dikaitkan dengan vaksin Pfizer. Selain itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS dalam laporan bertajuk Clinical considerations: Myocarditis and pericarditis after receipt of mRNA Covid-19 vaccines among adolescents and young adults, jelas menyebut bahawa sejak April 2021, berlaku peningkatan kes miokarditis dan perikarditis di AS selepas vaksinasi Pfizer-BioNTech dan Moderna, terutamanya pada remaja dan dewasa.

DOS PENGGALAK
Apa reaksi berhubung laporan orang Melayu paling ramai belum ambil dos penggalak?
Saya rasa, faktornya adalah cerita-cerita yang menular dalam media sosial. Ia mengakibatkan orang jadi takut. Memang tak dinafikan, banyak cerita media sosial ini mengarut, sampai buat kita yang doktor ini tergelak saja bila baca.

Bukankah sekarang pelbagai varian muncul? Jadi jika tak ambil dos penggalak, tidakkah itu akan merisikokan keselamatan dan kesihatan awam kerana keberkesanan vaksin dos pertama dan kedua yang berkurangan?
Saya setuju keperluan dos penggalak. Tapi seperti yang saya jelaskan tadi, kita wajar bandingkan keberkesanan dos penggalak dengan kesan bahayanya. Untuk dos penggalak, jika tiada kesan sampingan, maka tiada masalah kerajaan mahu wajibkan. Tapi, melalui laporan-laporan yang tidak formal yang kita terima, ada bahayanya seperti kecederaan dan kematian selepas menerima dos itu.
Sedangkan KKM punya cerita, seolah-olah tiada masalah langsung. Tapi kita tahu itu cerita tak betul, sebab hampir semua doktor yang ada klinik dan ada pesakit datang selepas terima dos penggalak, rata-rata terima laporan sebegitu. Kemudian ada badan bebas yang kumpulkan maklumat dan laporan dari pesakit, termasuk Pusat Aduan Terkesan Vaksin (PATV) dan sebagainya.
Jadi bagi saya, saya percaya kesan sampingan itu banyak dan walaupun saya setuju dos penggalak berkesan untuk mereka yang berisiko tinggi, tapi saya masih percaya kita perlu diberi pilihan sebab risikonya tinggi, walaupun kerajaan kata sebaliknya.

Kerajaan seakan-akan tersepit, di satu sudut Covid-19 menunjukkan peningkatan, tapi di sudut lain pula dos penggalak didakwa bahaya. Jadi, apa yang kerajaan patut buat?
Cara terbaik untuk mengimbangi keberkesanan dengan risiko suntikan vaksin penggalak, adalah dengan cara membiarkan mereka yang berisiko rendah dan minima akibat jangkitan Covid-19, supaya menjalankan kehidupan seperti biasa tanpa divaksin dos penggalak, dan biarkan mereka dapat imuniti secara semulajadi. Sebab kumpulan ini risikonya rendah. Sambil itu, kerajaan harus beri tumpuan menjaga kumpulan dalam kategori bahaya terutama yang berusia. Caranya, jika terpaksa vaksin, maka suntiklah vaksin. Tapi mereka haruslah diberi peluang buat pilihan secara informed consent. Maknanya dia tahu semua fakta yang telus, dan boleh pilih untuk ambil vaksin dan sedia menerima risikonya setelah diberikan penjelasan yang jujur oleh KKM.

Setuju dengan langkah kerajaan mewajibkan dos penggalak?
Saya tegaskan di sini, walaupun saya setuju vaksin ke atas golongan berisiko tinggi, tapi saya tidak setuju jika ia dipaksa. Ini terutama melihatkan kepada varian Omicron yang tak seteruk Delta.

Macam mana pula komen terhadap tindakan kerajaan yang bakal lupuskan status lengkap vaksin jika tak ambil dos penggalak?
Macam saya cakap, sebab saya tak setuju kerajaan paksa rakyat ambil dos penggalak, maka sudah tentu saya tak setuju mereka syaratkan rakyat ambil dos penggalak atau jika tak, sijil vaksin dilupuskan. Tapi saya setuju mereka galakkan rakyat ambil, dengan syarat KKM telus menjelaskan fakta sebenar kesan sampingan dos itu terutama dari jenis Pfizer.

KEPENTINGAN DOS PENGGALAK
Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan 22 Februari menyebut, individu yang menerima vaksin dos penggalak paling terlindung dan dilihat kurang kes dijangkiti melibatkan kategori tiga, empat dan lima. Bukankah ini fakta jelas menunjukkan kepentingan dos penggalak?
Setuju, malah mengikut fakta, ini kenyataan yang tepat. Namun, kita tak boleh lupakan soal keselamatan vaksin, sedangkan kenyataan itu cuma menjelaskan soal keberkesanannya terhadap Covid-19. Soalnya, bagaimana pula dari aspek keselamatan vaksin itu? Sebagai seorang doktor, etika pertama kita adalah first, do no harm. Kedua, buat masa ini, menurut data KKM, memang kenyataan itu betul. Namun kena jaga-jaga, sebab data dari luar negara telah menunjukkan vaksin dan booster mungkin meningkatkan jangkitan, bukan mengurangkan.

Apa buktinya?
Buktinya ada banyak. Antaranya, laporan dalam jurnal perubatan berautoriti, iaitu The Lancet berjudul Transmission of SARS-Cov-2 delta variant among vaccinated healthcare workers, Vietnam. Laporan itu jelas menyatakan, petugas kesihatan yang lengkap divaksin sepenuhnya, masih boleh menularkan virus antara satu sama lain.
Selain itu, ada laporan lain oleh CDC berjudul Outbreak of SARS-CoV-2 infections, including Covid-19 vaccine breakthrough infections, associated with large public gatherings. Laporan itu jelas menyatakan ada satu kajian kes di Massachusetts, AS yang mana pada Julai 2021, ada pesta di Barnstable County disertai ramai warga Massachusetts. Akibatnya, 469 kes Covid-19 dilaporkan. Yang pelik, laporan itu menyatakan bahawa daripada jumlah itu, 346 orang, iaitu 74 peratus yang diserang Covid-19 ialah individu yang telah mendapat dua dos lengkap vaksin. Sudah dua dos lengkap pun, masih boleh kena Covid-19?

KONSPIRASI SAMPAH
KKM pada 23 Februari menyatakan, 93 peratus kesan advers susulan imunisasi (AEFI) tidak serius. Jadi, mengapa ada pihak membesar-besarkan cerita?
Memang ada benarnya, jika dilihat dari segi peratusan. Tapi pernahkah kita persoalkan dari segi angka sebenar? Sebab banyak badan bebas yang buat analisis pasal kesan advers menerima dapatan berbeza, misalnya ada NGO bernama Impak. Mereka kaji tentang kesan advers.
Menurut mereka, hanya enam peratus daripada semua yang kena kesan buruk akibat vaksin melaporkan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Yang lain-lain kena kesan sampingan, mereka laporkan sesama kawan dalam kumpulan WhatsApp, dalam telegram, dalam media sosial sebagainya.

Menteri Kesihatan baru-baru ini meminta rakyat tidak membaca dan terpedaya dengan teori konspirasi yang digelar konspirasi sampah yang menakutkan orang ramai dari ambil vaksin. Apa reaksi berhubung perkara ini?
Saya tak hairan dengan kenyataan itu, sebab adakala maklumat di luar sana memang mengarut dan keterlaluan. Jadi saya tak hairan jika beliau dan orang lain berkata begitu, sebab memang banyak maklumat yang salah dan tak tepat di luar sana, khususnya dalam media sosial. Namun, sebagai seorang menteri, beliau sewajarnya lebih berhemah dalam setiap kenyataan. Sebab sebelum ini pun beliau pernah keluar kenyataan, akan susahkan kumpulan yang enggan divaksin. Jadi, ini kenyataan yang tidak mesra rakyat.

Macam mana rakyat mahu bezakan fakta dengan teori konspirasi yang mengarut?
Kadang-kadang, kita tak boleh salahkan orang awam sebab kurang maklumat dan ilmu dalam hal yang kompleks sebegini. Sebab itu ramai cuba buat kesimpulan sendiri. Maka, sebaiknya sila bertanya kepada doktor atau pengamal perubatan berautoriti untuk dapatkan penjelasan sebenar.

VAKSIN KANAK-KANAK
Komen terhadap 14.5 peratus kanak-kanak telah disuntik vaksin?
Saya tak setuju, kanak-kanak umur 5 hingga 11 divaksin, tetapi saya tidak membantah jika ada ibu bapa yang mahukan anak mereka disuntik. Saya harap, mereka buat keputusan itu setelah meneliti semua fakta. Maksudnya, perlu pertimbangkan fakta antara faedah vaksin, dengan soal keselamatan vaksin itu sendiri. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya