Bahasa Melayu: Malaysia cerminan budaya perpaduan globalisasi

Bahasa Melayu: Malaysia cerminan budaya perpaduan globalisasi

HUBUNGAN etnik dan perpaduan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Ismail Sabri Yaakob (tengah) merupakan teras pembinaan negara bangsa. - IHSAN keluargamalaysia.gov.my
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“BAHASA Melayu akan digunakan bagi setiap urusan rasmi kerajaan termasuk lawatan kerja di luar negara bagi memperkasa bahasa kebangsaan. Peralatan canggih dan moden ketika ini, tidak timbul isu lewat pengalihan bahasa dalam penyampaian bagi urusan rasmi.”

 Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Peribahasa ini adalah gambaran amat tepat ditujukan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  atas keseriusan beliau mendaulatkan bahasa kebangsaan. Kesungguhan terbit dari hati itulah terpancar pula kepada tindakan Perdana Menteri bagi memastikan semua pihak khususnya kerajaan di bawah pentadbiran beliau benar-benar memperkasa Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia.

Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri yang terus mengangkat dan menjulang bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Kejayaan kerajaan dalam menguruskan kepelbagaian agama, bahasa, budaya, pekerjaan, penempatan dan lain-lain lagi menjadi elemen penting dalam pembinaan negara bangsa. 

Hubungan etnik dan perpaduan Keluarga Malaysia yang harmonis merupakan teras pembinaan negara bangsa. Sesebuah negara semakin pesat membangun, penggunaan bahasa juga semakin meluas khususnya  sebagai bahasa ilmu. Perkembangan inovasi dalam pelbagai bidang telah membawa bahasa Melayu berkembang seiring kemajuan yang dibawa masuk oleh negara-negara maju lain.

Perjuangan tokoh-tokoh pendidikan dalam memperkasa bahasa Melayu sehingga tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuktikan  mendaulatkan bahasa Melayu adalah untuk penyatuan, perpaduan dan pembentukan jati diri sebagai benteng semangat patriotisme kepada seluruh rakyat yang terdiri daripada pelbagai keturunan bangsa. 

Meneliti keberkesanan strategi yang relevan, DBP melancarkan Pelan Strategik DBP 2021-2025, tahun lalu. Bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi  dibangunkan bagi mengindustri dan melestarikan bahasa dan persuratan Melayu. Pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa ilmu terus seiring agar masyarakat akan lebih jelas dan berkeyakinan kepada bahasa ini dapat dipertingkatkan.  

WASIAT RAJA MELAYU

Merujuk kepada Wasiat Raja-raja Melayu yang dibuat semasa merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957 juga mengandungi perkara yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus diangkat sebagai bahasa rasmi untuk pendidikan dan mentadbir negara. Pengiktirafan yang diberikan kepada nilai bahasa Melayu pasti mengungkap keistimewaan tersendiri yang menyebabkan wujud keupayaan dalam menjunjung kredibiliti bahasa Melayu sebagai bahasa teras bagi pembentukan perpaduan kaum di Malaysia. 

Dari segi konsep, nilai bahasa Melayu yang menginjak teras perpaduan bangsa di Malaysia dapat dikaitkan sebagai bahasa utama yang berfungsi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perantaraan serta berupaya menjadi nadi penyatuan pelbagai kaum di negara ini (Adenan Ayob, 2009).

Sebelum itu, khalayak media Malaysia mengambil perhatian berkaitan pendirian seorang kakak kepada selebriti terkenal Neelofa, iaitu Noor Nabila yang berkongsi kepada media bahawa dia berasa sedih serta terkilan apabila mendapati anak-anak Melayu tidak fasih berbahasa Melayu. Noor Nabila yang terkesan dengan keadaan ini akan memastikan anaknya, Jebat Jayden akan dapat menguasai bahasa ibunda ini khususnya menguasai dialek Kelantan.

Demikian segelintir antara kita yang tidak segan-segan untuk menjelmakan citra jati diri bangsa melalui bahasa. Ketegasan Noor Nabila ini sewajarnya dipuji dan dicontohi oleh semua khususnya ibu bapa muda pada hari ini. 

Iltizam semua Keluarga Malaysia terhadap kebanggaan bahasa kebangsaan akan meletakkan bahasa ini mendapat perhatian masyarakat global. Kemurnian hati serta kesantunan bahasa yang kita miliki akan memperkukuh perpaduan keluarga sejahtera yang terdiri daripada pelbagai keturunan bangsa. Keunikan dalam kepelbagaian inilah kunci utama cerminan perpaduan globalisasi dapat ditonjolkan. 

Tidak hanya Keluarga Malaysia tetapi seluruh warga asing yang berada di Malaysia akan turut mempromosikan keunikan negara yang diikat dengan semangat kebangsaan yang kukuh melalui bahasa kebangsaannya.

Kami juga tertarik dengan petikan kata-kata Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan bahawa kepentingan peranan DBP perlu wujud dalam keadaan dihormati dan dijadikan benteng peradaban negara kerana seperti kata Perdana Menteri pertama,  Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra: “Negara tanpa bahasa kebangsaan ibarat jasad tanpa roh.” – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN