Setiap kali menguruskan jenazah, pasti saya akan teringat pengalaman kira-kira lapan tahun lalu yang mana ketika saya menguruskan satu jenazah lelaki yang benar-benar meninggalkan kesan dan pengajaran buat saya.
Jenazah tersebut berusia lingkungan 60-an. Namun apa yang menghairankan mayat tersebut tidak sama macam mayat yang pernah saya uruskan sebelum ini kerana boleh dikatakan hampir keseluruhan tubuh si mati ada kesan luka yang saya tidak tahu dari mana datangnya. Lukanya pula cukup banyak seolah dihiris dengan pisau.
Ceritanya bermula apabila salah seorang anak Allahyarham datang ke rumah saya dan memberitahu yang ayahnya sudah meninggal dunia.
“Ayah saya baru meninggal dunia ustaz, jadi saya nak minta ustaz tolong uruskan,” katanya perlahan.
Saya tergamam seketika. Terkejut dengan perkhabaran yang baru saya terima ketika itu kerana saya cukup mengenali arwah, bahkan rasanya baru-baru ini saya ada terserempak dengannya di kedai runcit ketika membeli barang keperluan harian. Waktu itu sempat juga kami bertegur sapa.
“Baiklah, sekejap lagi saya sampai,” jawab saya kepada anak arwah. Setelah bersiap saya terus menuju ke rumah arwah dan sebaik sampai saya lihat sudah ada beberapa penduduk kampung dan saudara mara arwah di halaman rumah.
Menurut anak sulungnya arwah meninggal dunia ketika dalam tidur. Keluarga arwah pun pelik dengan kematiannya yang mengejut kerana sebelum ini arwah memang tidak mempunyai penyakit kronik. Namun doktor yang memeriksa arwah memberitahu ia mungkin berpunca daripada serangan jantung. Saya teliti mayat arwah. Saya lihat keadaannya elok dan tiada cacat cela, namun sebaik sahaja saya selak kain yang menutupi tubuhnya, saya terkejut. Nampak badannya penuh dengan kesan luka, ibarat dihiris dengan benda tajam.
Subhanallah, hampir lebih 10 tahun saya uruskan jenazah, inilah kali pertama saya bertemu dengan mayat yang sedemikian rupa. Tergamam saya seketika.
Lukanya bukan sedikit, malah ada di dada, perut, kaki dan pergelangan tangan. Ringan sahaja mulut saya ingin bertanya kepada anak dan isteri arwah, namun saya takut kalau soalan saya itu disalahertikan.
“Sebenarnya kalau ustaz nak tahu ketika ayah meninggal luka-luka ini semua tiada, Tetapi luka ni muncul tiba-tiba. Itu yang kami pelik,” kata anak arwah berbisik kepada saya. Saya hanya angguk kepala tanda faham. Saya fikir anak arwah mungkin tahu apa yang saya fikirkan ketika itu. Lantas tanpa banyak soal saya mulakan kerja-kerja untuk uruskan mayat tersebut.
Selepas dimandikan saya minta pertolongan dengan beberapa rakan di situ untuk bersihkan luka arwah, saya tidak mahu luka itu mencacatkan kain kafan yang dipakai nanti. Selain itu, saya juga perasan dengan perubahan muka dan tubuh arwah selepas dimandikan. Nampak muka dan tubuhnya bengkak dan lebam-lebam seperti orang baru lepas bertumbuk dan bergaduh.
Keadaan itu menimbulkan tanda tanya kepada saya. Namun saya tidak bertanya lagi. Saya uruskan mayat arwah sebaik mungkin sehinggalah selesai dikebumikan.
Ketika perjalanan pulang dari tanah perkuburan anak sulung arwah menggamit saya. Lantas kami jalan beriringan. Ketika itulah anak arwah buka cerita.
“Sebenarnya saya pun pening dan keliru dengan apa yang jadi kepada arwah ayah ustaz,” katanya memulakan perbualan. Mungkin semua ini adalah balasan yang Allah SWT nak tunjukkan atas setiap perbuatannya di masa lampau. Saya hanya terdiam dan anggukkan kepala. Walaupun saya tidak rapat dengan arwah, tetapi saya cukup mengenalinya. Sebelum ini memang ramai orang mengadu kepada saya tentang sikap arwah. Dia bukan sahaja suka mencari gaduh dengan orang yang tidak ‘sekepala’ dengannya, malah sering mencabar sesiapa sahaja yang membangkang setiap kata-katanya.
Satu lagi arwah memang tak boleh tengok perempuan berdahi licin. Semua nak digodanya, tak kiralah perempuan itu anak dara atau isteri orang, kalau tak ada yang cuba jual mahal dia akan gunakan cara halus iaitu gunakan sihir. Semua cerita ini pernah disampaikan ke telinga saya, namun saya tidak pernah ambil peduli kerana tiada bukti, malah takut pula kalau saya dicop suka jaga tepi kain orang.
Ramai penduduk kampung bercerita kononnya arwah amalkan ajaran sesat. Kata mereka arwah ada menyimpan ‘belaan’. Kerana itulah dia sentiasa dapat apa yang dimahukan. Kononnya apabila arwah berkenan dengan isteri seseorang, maka dia akan rosakkan kelelakian suami wanita tersebut, kemudian barulah dia ‘masuk jarum’ sehinggakan ada pasangan yang bercerai-berai.
Apa yang saya dengar sudah ramai menjadi mangsanya. Tetapi tidak seorang pun yang berani buka mulut kerana takut malu. Lagipun perkara sebegini perlukan bukti, dan risau pula kalau arwah gunakan ‘belaannya’ nanti untuk balas dendam.
Cerita tentang arwah amalkan ilmu sesat dan salah ini memang sudah menjadi buah mulut orang kampung. Saya masih ingat lagi cerita Pak Long Jenal yang kononnya pernah ‘terkena; dengan belaan arwah.
Kata Pak Long Jenal pada suatu malam itu dia sedang berehat di anjung rumahnya. Sedang dia membelek-belek akhbar, tiba-tiba dia terkejut kerana disapa angin kuat yang melintas di mukanya. Sebaik dia angkat kepala tiba-tiba dia tergamam kerana ternampak satu lembaga menyerupai arwah berdiri di hadapannya.
Sangkanya arwah yang datang terus ditegurnya, namun sosok tersebut tidak menjawab malah merenungnya dengan pandangan menakutkan. Matanya merah menyala dan rambutnya kusut masai. Belum sempat Pak Long Jenal bertanya lagi tiba-tiba lembaga tersebut terus mengilai kuat dan terbang menuju ke hutan sawit berdekatan. Hampir nak luluh jantung Pak Long Mail ketika itu. Terus dia masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu.
“Kalau ustaz nak tahu beberapa hari sebelum ayah meninggal ada sesuatu yang berlaku dalam biliknya. Waktu itu tengah malam. Saya dengar seolah dia bergaduh dengan seseorang. Waktu itu memang saya kecut perut kerana setahu saya memang kami berdua sahaja yang ada di rumah kerana emak dan adik bongsu pergi ke Kuala Lumpur menziarah rumah adik perempuan kami,” kata anak sulungnya, Amar.
Kata Amar lagi bunyi pergaduhan tersebut cukup dahsyat sehinggakan dia bertindak masuk ke bilik ayahnya. Namun apa yang mengejutkan dia tidak nampak sesiapa di situ selain ayahnya yang sedang tersandar di bucu katil. Apabila dia tanya ayahnya dengan siapa dia bergaduh, ayahnya tidak menjawab malah menyuruh dia keluar kerana itu adalah urusannya.
Amar jadi pelik namun dia tidak membantah mahupun menyoal ayahnya dengan lebih lanjut.
Katanya, bunyi pergaduhan itu berlarutan beberapa jam. Yang jelas dia dengar, suara ayahnya yang memekik dan memaki hamun, namun dia tidak tahu kepada siapa ayahnya tujukan.
Melalui cerita Amar saya dapat simpulkan apa yanga berlaku kepada mayat arwah tadi. Pendapat saya mungkin ‘belaannya’ berjaya membalas dendam walaupun ketika arwah sudah tidak bernyawa. Namun jika benarlah apa yang difikirkannya itu maka bagaimana pula dengan belaannya? Siapa yang akan mewarisinya. Saya terdiam mencari jawapan. – MINGGUAN MALAYSIA
Apabila ‘belaan’ membalas dendam
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 20 Februari 2022, 2:40 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Dari mana datangnya mata air ini?
29 Oktober 2023, 4:43 pm
Esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku…
1 Oktober 2023, 5:19 pm
Siapa yang kayuh basikal itu?
17 September 2023, 4:51 pm