Usaha saya sangat kecil - Abang Viva - Utusan Malaysia

Usaha saya sangat kecil – Abang Viva

BOT getah diikat di atas bumbung kereta Perodua Viva milik Azwan Omar semasa dia ke lokasi banjir, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABANG Viva atau nama sebenarnya AZWAN OMAR mula mencuri tumpuan ramai apabila dia dianggap sebagai wira banjir kerana usaha murninya membantu mangsa banjir bermula di Puchong disusuli Taman Sri Muda, Shah Alam di Selangor dan Temerloh, Pahang, baru-baru ini.

Anak bongsu daripada empat beradik itu bergerak solo memandu Perodua Viva dengan membawa bot getah yang diletakkan di atas bumbung keretanya, menuju lokasi banjir berbekal wang RM50 diberikan oleh ibunya. RM20 bagi mengisi minyak bot dan baki RM30 untuk makanan buat mengalas perut.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, AMRAN MULUP dan jurugambar RASUL AZLI SAMAD bersama Azwan, 29, di rumahnya di Taman Pengkalan Indah, Alor Gajah, Melaka bagi menyingkap kembali pahit dan manis sepanjang dia membantu menyelamatkan mangsa banjir.

UTUSAN: Bagaimana timbul idea membantu menyelamatkan mangsa banjir?
AZWAN: Sebenarnya saya belum pernah menyelamatkan mana-mana mangsa banjir sebelum ini. Ia datang secara spontan apabila mak dan ayah minta saya tolong kakak kedua, Fauziah yang tinggal di Puchong apabila rumahnya dinaiki air. Saya tidak berlengah dan membawa bot getah diikat di atas bumbung kereta bersama enjin bot lapan kuasa kuda jenis Mercury. Saya bertolak dari rumah pukul 12 tengah malam, 18 Disember.

Kebetulan mak bagi RM50 buat belanja. Waktu tu saya belum dapat gaji. Gaji keluar Isnin (20 Disember). Saya tak peduli, walaupun duit tak banyak, saya nekad nak bantu kakak.

Apa jadi waktu tiba di Puchong?
Saya sampai di Kampung Sri Aman, Puchong pukul 3 pagi. Saya dapat tahu kakak telah dipindahkan lebih awal ke pusat pemindahan sementara (PPS). Alang-alang saya dah sampai, lebih baik saya bantu mangsa banjir di situ. Saya turunkan bot getah, terus bantu mangsa banjir yang masih terperangkap. Alhamdulillah, saya dapat menyelamatkan ramai mangsa.

Bagaimana tergerak hati beralih ke Taman Sri Muda?
Sebaik sahaja selesai misi di Puchong, saya dapat maklumat ramai mangsa terperangkap di sana melalui grup WhatsApp dan Facebook. Tanpa berlengah, saya terus bergerak ke sana dalam keadaan tidak cukup tidur dan masih kepenatan. Itu semua saya tak peduli kerana apa yang penting, saya perlu bantu mangsa di Taman Sri Muda.

Sebaik sahaja dapat tahu lokasi dari Facebook, saya terus bergegas ke sana dan menolong mana-mana mangsa yang saya temui dan membawa mereka ke tempat selamat.

Bila netizen tularkan usaha anda selamatkan mangsa dalam media sosial?
Ada seorang lelaki, rasanya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu mangsa banjir di Puchong mengambil gambar saya sedang mengikat bot getah di atas bumbung kereta. Saya ceritakan yang saya datang dari Alor Gajah berseorangan dan turun ke Puchong. Tak sangka tujuan asal nak selamatkan kakak, saya dapat selamatkan mangsa banjir lain. Saya juga perasan seorang lelaki mengambil gambar saya sewaktu bergerak dari Kampung Sri Aman menuju Taman Sri Muda.

Mulanya saya pun tak tahu foto saya bersama kereta bawa bot getah ditularkan oleh netizen. Ketika saya menurunkan bot getah dan memasang enjin di Taman Sri Muda, ada orang tegur saya dan ucapkan terima kasih kerana tolong mangsa di Puchong. Saya rasa pelik, macam mana orang itu boleh tahu saya ada tolong mangsa di Puchong.

Mulanya saya tidak ambil peduli tetapi sewaktu menolong mangsa lain yang terperangkap, ramai pula menegur. Barulah saya tahu foto saya sudah ditularkan.

Reaksi anda?
Saya sendiri terkejut. Sepanjang dua hari di Taman Sri Muda, ramai menyapa saya. Malah netizen menggelar saya sebagai Abang Viva dan nama itu lekat, dipanggil oleh mana-mana orang yang saya temui termasuk mangsa banjir yang saya tolong.

Saya bantu dari awal pagi hingga malam, juga lewat pagi. Saya sekadar tidur di dalam bot dan mengalas perut dengan makanan diberikan NGO-NGO yang turut membantu mangsa banjir. Saya banyak menghabiskan masa di dalam bot.

Perasaan anda apabila mendapat tumpuan ramai?
Sejak saya meletakkan nombor telefon bimbit di akaun Facebook milik saya, banyak mesej menerusi WhatsApp diterima. Banyak mesej saya tidak balas kerana tidak sempat baca, sibuk bantu mangsa banjir.

Yang menghubungi saya pun ramai. Ada yang sempat saya jawab sewaktu tengah berehat. Saya rasa lain macam bila ramai orang ucap tahniah. Ada yang puji atas usaha yang saya lakukan. Malah ada sanjung saya hingga menggelar saya sebagai wira tidak didendang.

Sebenarnya kata-kata semangat daripada mereka inilah yang menguatkan azam saya untuk menolong seberapa ramai mangsa yang boleh. Saya menolong secara ikhlas dan tidak minta habuan daripada mana-mana pihak. Saya juga tidak minta usaha saya ini ditularkan di media sosial. Apapun saya ucap terima kasih kepada mereka kerana menyokong usaha saya.

Apa perasaan apabila digelar dengan bermacam-macam panggilan seperti Abang Viva, Wira Banjir?
Saya tidak kisah apa juga panggilan diberikan, asalkan nama-nama itu membuatkan orang ramai gembira. Saya tidak minta disanjung terlalu tinggi kerana usaha saya ini adalah kecil sangat. Kudrat yang ada itulah yang termampu saya tolong. Saya juga tidak minta segala usaha saya ini mesti ada balasan. Itu semua saya tidak kisah.

Apa yang saya lakukan cukup menggembirakan kedua-dua orang tua saya. Mereka selalu nasihatkan jangan minta balasan atas pertolongan diberikan.

Berapa ramai mangsa yang anda selamatkan di Taman Sri Muda?
Saya pun tidak kira berapa ramai mangsa yang diselamatkan tetapi mangsa yang saya paling ingat ialah seorang wanita dan bayinya. Kalau tidak silap dia baru tiga hari bersalin. Dia ketika itu berada di atas rumah dua tingkat. Waktu itu cukup mencabar terutama semasa wanita tersebut dibawa masuk ke dalam bot melalui atap rumah.

Saya ambil masa yang lama juga, lihat dan periksa keadaan atap kerana mungkin licin tetapi alhamdulillah, mangsa dan bayinya dapat dibawa ke tempat selamat.

Saya melihat suasana di sini amat menyedihkan kerana ada mangsa yang terperangkap di atas bumbung, amat memilukan. Melihat mangsa-mangsa ini sebenarnya menguatkan semangat saya meredah kegelapan malam menggunakan lampu suluh pergi dari rumah ke rumah, mencari kalau-kalau ada penduduk yang perlu diselamatkan.

Dari malam hingga lewat pagi saya bergerak terus menyelamatkan mangsa. Ucapan terima kasih daripada mereka sudah cukup buat saya sebenarnya. Saya tidak minta dibalas.

Boleh cerita pengalaman di Temerloh pula?
Selepas tiga hari di Shah Alam, saya balik ke Melaka pada Selasa (21 Disember). Dua hari selepas itu, saya berangkat ke Temerloh. Saya dapat mesej dan melalui lokasi yang diberikan, saya bergegas ke sana.

Laluan utama melalui Karak ditutup, begitu juga laluan di Triang. Saya ikut jalan lama ke Karak melalui Jelebu, Negeri Sembilan. Akhirnya saya sampai di tempat yang dituju dan lebih kurang 10 hari ada di sana.

Difahamkan ada pihak tidak bertanggungjawab mengunakan gambar Azwan di media sosial meminta sumbangan?
Memang benar. Saya sendiri terkejut, ada individu gunakan gambar saya menolong mangsa di Puchong dan Shah Alam menyertakan akaun bank meminta sumbangan.

Saya terpaksa muat naik satu kenyataan menafikan mengenai perkara tersebut.

Setiap sumbangan yang saya terima saya gunakan untuk beli makanan, selimut, minuman dan sebagainya. Setiap barangan yang saya beli dan serahkan kepada mangsa banjir, saya muatkan gambar dalam Facebook.

Saya tidak mahu orang ramai curiga dan salah anggap atas usaha saya khususnya mereka yang menyumbang untuk menolong mangsa banjir.

Baru-baru ini Melaka pula dilanda banjir, Azwan turun bantu mangsa banjir?
Saya bantu mangsa banjir di Taman Merdeka tetapi saya tidak dapat gunakan bot getah kerana kawasan itu air tidak tinggi dan tidak sesuai menggunakan bot. Kebetulan kenderaan berat seperti lori dan kenderaan pacuan empat roda boleh melalui kawasan tersebut.

Saya hanya standby jika berlaku kenaikan air secara mendadak.

Bagaimana pula di Lubok China?
Situasi air banjir yang deras di sana memang tidak sesuai untuk bot getah saya, kerana itu saya tidak pergi ke sana. Amat bahaya jika bot saya mengharungi air yang sangat deras.

Apa pengalaman menarik sepanjang menolong mangsa banjir?
Sebenarnya tidak ada apa yang menarik sewaktu menolong mangsa banjir. Yang ada cuma perasaan sedih dan pilu melihat keadaan mangsa bergadai nyawa menyelamatkan diri, duduk di atas bumbung ketika rumah ditenggelami air. Sedih melihat situasi itu khususnya di Taman Sri Muda.

Walaupun saya penat tidak cukup tidur, saya lupakan seketika. Yang penting adalah menyelamatkan orang kerana nyawa mereka lebih penting. Bot saya kecil, boleh muat dua orang. Saya tidak kisah berulang-alik banyak kali. Apa yang penting, saya dapat bantu mereka.

Masih ramai lagi hubungi Azwan sekarang?
Sepanjang hari saya menerima beratus mesej melalui WhatsApp, begitu juga panggilan telefon. Ada yang sempat, saya balas. Ramai masih mengucapkan terima kasih atas usaha murni saya.

Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada seluruh masyarakat yang prihatin terhadap saya membantu mangsa banjir. Itu sahaja yang mampu saya lakukan. Ini sebenarnya memberi kepuasan kepada saya apabila dapat menolong mangsa banjir yang memerlukan pertolongan

AKAN TERUS BANTU MANGSA BANJIR

Apa rancangan selepas ini?
Buat masa ini saya bercuti tanpa gaji dan akan kembali bekerja selepas banjir reda. Saya tetap bekerja sebagai operator kenderaan turap jalan.

Sebagai anak lelaki tunggal, saya kini memikul tanggungjawab menjaga kedua-dua orang tua saya. Begitu juga menjaga dua anak arwah kakak, Rosnahizah yang meninggal dunia pada 2010. Kedua-dua anak arwah berusia 12 dan 13 tahun, saya jaga dan biayai persekolahan mereka.

Saya tidak mahu harapkan dua lagi kakak saya kerana mereka sudah berumah tangga dan ada tanggungjawab sendiri.

Apa yang saya lakukan hingga menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia tidak akan mengubah kehidupan saya. Usaha saya berterusan jika ada keperluan untuk menolong mangsa banjir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN