UMNO lawan mantera ‘penyatuan’ - Utusan Malaysia

UMNO lawan mantera ‘penyatuan’

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANTERA atau jampi serapah yang dalam bahasa Indonesianya dipanggil mantra bermaksud perkataan atau bunyi yang diulang-ulang untuk memberi tumpuan ketika bertafakur.

Dalam masyarakat Melayu, mantera menjadi amalan bomoh, pawang atau dukun untuk keperluan adat dan kepercayaan mistik. Matlamat khususnya untuk mempengaruhi atau mengawal sesuatu perkara dalam memenuhi keinginan penuturnya melalui sihir sama ada bagi mencegah terjadinya bencana, menunduk dan melemahkan musuh.

Dalam politik tanah air, mantera yang menggamit perhatian akar umbi UMNO adalah ‘mantera’ daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)-Pas terhadap UMNO.

Walaupun sudah ‘ukur baju di badan sendiri’ dengan kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka (20 November), ditolak mentah-mentah pula oleh pengundi Sarawak (18 Disember), jampi serapah dua parti dari Perikatan Nasional (PN) ini masih kedengaran.

Disuruh pilih satu antara dua, PN atau Muafakat Nasional (MN), dipilih Pas dua-duanya sekali. Mantera terus diulang-ulang pemimpinnya silih berganti sebab mengapa pilih dua serentak? Kerana ‘demi penyatuan Melayu, demi penyatuan ummah.’ Walhal, retorik semata-mata. Bersama Bersatu, ‘tikam belakang’ pula UMNO. Apa yang berlaku masa PRN Sabah (26 September 2020) cukup melukakan UMNO. Saya tidak mahu mengulang kisahnya sebab semua orang UMNO maklum ceritanya sehingga jawatan ketua menteri pun terlepas. UMNO pastinya tidak mahu jatuh ke dalam lubang sama.

UMNO tentunya tidak mahu tunduk pada mantera Pas kerana sudah bijak menilai mana satu kaca dan permata. Meskipun waktu bersama UMNO dalam MN pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Pas turut ikut naik berjaya sehingga menang 7-0 dalam siri pilihan raya kecil, tiba-tiba ‘lupa daratan’ menjangkiti Pas selepas September 2020.

Pas berubah 360 darjah selepas masuk kerajaan PN. Dan dari semasa ke semasa mengetepikan UMNO dengan berketuakan Bersatu walaupun sedar Bersatu tiada akar umbi yang ampuh. Pelantikan pemimpin Pas dalam perhubungan negeri PN melukakan UMNO. Bila berpolemik tentang agihan kerusi PRN Sabah dan Melaka, habis ‘digasaknya’ Pas ke atas UMNO supaya berlapang dada mahu agihan turut dibincangkan dengan Bersatu. Padahal prinsip UMNO hanya bincang agihan kerusi dengan Pas.

Mantera ‘penyatuan ummah’ diulang-ulang Pas-Bersatu hingga disedari akar umbi UMNO berupa cakap tak serupa bikin apabila memperkatakan isu ‘siapa pengkhianat sebenar.’

Selepas tumbang buat pertama kali dalam sejarah lebih 60 tahun memerintah negara pada 9 Mei 2018, UMNO seperti anak ayam kehilangan ibu. Presidennya meletak jawatan. Biarpun begitu, sebulan kemudian UMNO bangkit dengan mengadakan pemilihan – memilih Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menakhodai parti.

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Pucuk pimpinan baharu yang dipilih akar umbi diperleceh. Akibat hilang kuasa, Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO yang memenangi 79 kerusi Parlimen hanya tinggal 41 kerusi. Sebilangan wakil rakyatnya lompat ke Pakatan Harapan (PH) dan parti pembangkang lain.

SEDIH, KECEWA, MARAH

Sebelum pemilihan kepimpinan UMNO Jun 2018, dua ahli Parlimen dari Perak – Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) terawal meninggalkan UMNO. Sehari selepas itu, Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) keluar UMNO.

Tindakannya diikuti Mustapa Mohamed (Jeli), Anifah Aman (Kimanis) dan Rozman Isli (Labuan). Mas Ermieyati dan Mustapa akhirnya menyertai Bersatu sementara Rozman menyertai Parti Warisan Sabah. Kedua-dua parti itu sebahagian daripada PH.

Disember 2018 menyaksikan 11 ahli Parlimen – lima dari Sabah keluar UMNO kerana tidak puas hati dengan kepimpinan parti itu. Ini memaksa Ahmad Zahid menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan. Beliau bagaimanapun tidak melepaskan jawatan presiden.

Pada Februari 2019, Bersatu menerima pelompat dari UMNO iaitu Hamzah Zainuddin (Larut), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Mohd. Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) serta Rosol Wahid (Hulu Terengganu).

Pada Mac 2019, Azizah Mohd. Dun (Beaufort), Ronald Kiandee (Beluran), Abd. Rahim Bakri (Kudat) dan Zakaria Mohd. Edris (Libaran) turut keluar UMNO menyertai Bersatu. Yamani Hafez Musa (Sipatang) menyertai Bersatu pada September 2019.

Orang UMNO, apatah lagi pemimpinnya amat sedih, kecewa dan marah kerana ‘pelompat-pelompat ini’, kata mereka, telah meraih kemenangan dalam PRU-14 atas tiket UMNO. Juga menggunakan kos belanja UMNO membiayai kemenangan mereka. Bahkan undi pun diraih daripada ahli dan penyokong UMNO. Semuanya hasil masyhul UMNO.

Sekali lagi saya ulang – kalau terjadi kepada Pas, bolehkah dilupakan tragedi hitam ini? Pas bernasib baik kerana geng dari Parti Amanah Negara (Amanah) tidak begitu perangainya. Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan beberapa yang lain bertindak seperti anak jantan keluar Pas, bentuk parti baharu, bertanding PRU14 dan menang kerusi. Bukannya setelah menang atas tiket mana-mana parti, kemudian cabut lari.

UMNO diyakini tidak lut dijampi mantera ‘penyatuan ummah’ Pas-Bersatu kerana akar umbi UMNO cukup kenal dengan karakter sesetengah pemimpin parti itu sendiri yang mudah terpana dengan jawatan dan kesenangan dunia. Menjengkelkan lagi, lari pula daripada perjuangan kerana ditawarkan dengan habuan dunia yang sedikit.

Meminjam kata-kata Mohamad (Timbalan Presiden UMNO) di Facebook miliknya pada 26 November 2021: “Sebahagian dari pendukung MN tiba-tiba cenderung melihat PN sebagai jalan pintas untuk berkuasa. Mantera perpaduan ummah, laungan penyatuan merentas politik, hilang dan dilupakan.

“Ramai yang mula dibuai kerusi empuk dan berasa enak memegang tampuk kekuasaan. MN secara perlahan-lahan seakan dilepas dan dilupakan.”

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya