LAMA saya tidak ketemu Tan Sri S.A. Vigneswaran. Seingat saya kali terakhir temubual beliau sekitar lima tahun sudah. Ketika itu Vigneswaran Yang Dipertua Dewan Negara.
Selepas MIC di bawah Datuk Seri Dr. S. Subramaniam gagal memenangkan banyak kerusi untuk parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, menang cuma dua dari sembilan kerusi Parlimen dan tiga dari 18 kerusi Dewan Undangan Negeri, Subramaniam mengundur diri.
Dua bulan selepas PRU14 iaitu 14 Julai, Vigneswaran mengambil alih jawatan presiden MIC.
Jumaat lalu, saya bertemu lagi Vigneswaran, 56, di pejabat Duta Khas Malaysia ke Asia Selatan yang disandangnya di Bukit Damansara.
Dalam pertemuan sejam itu, presiden MIC berkenaan berterus banyak perkara mengenai isu-isu calon, agihan kerusi dan pendirian MIC terhadap Friends of BN (merujuk kepada KIMMA, IPF, Makkal Sakti dan MIUP).
Fokus Vigneswaran yang pernah menyandang kerusi Parlimen Kota Raja, Selangor dari Mac 2004 sehingga Mac 2008 tentunya tertumpu kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Ikuti luahan Vigneswaran menerusi Kolum PM Tepi.Utusan Malaysia kali ini:
SETIA
UTUSAN: Selepas BN tumbang PRU14, MIC nampak kelihatan berdiam diri, `tunggu dan lihat’.
VIGNESWARAN: MIC bukan tunggu dan lihat. MIC serta merta keluar kenyataan kita akan bersama UMNO dalam apa juga suasana walaupun kerajaan BN jatuh. Kemudian, 13 ahli perikatan dalam BN keluar dan hanya tinggal tiga, MIC (dan MCA) tetap bersama UMNO.
DUA KOLAM?
Sekitar pertengahan 2020, MIC khabarnya keliru sama ada hendak pilih Perikatan Nasional (PN) atau BN. Ada tanggapan MIC cuba main dua kolam.
Itu tafsiran lama. Saya pun tak faham kenapa persepsi ini boleh berlaku kerana yang ajak kita masuk dalam PN untuk beri sokongan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah UMNO sendiri. Pada masa itu PN belum ditubuhkan. Isu pada masa itu adalah bahawa kita akan bersama PN dalam gabungan kerajaan persekutuan dan PN Plus di Sabah dan Sarawak. Maka, bila keputusan itu dibuat, baru kita akan bersama PN, jadi apa yang keliru?
KAUM INDIA MARAH MIC?
Berterusan kalah dalam 2008 dan 2013, bersambung pula ke PRU14 pada 9 Mei 2018. Apa post mortem MIC?
Adakah MIC menguruskan pentadbiran dalam arus perdana negara? Parti yang kecil adalah MIC. Adakah kita yang cakap `pergi pecah kuil’ tahun 2007. Yang membuat keputusan ini adalah keputusan negeri. Bukan MIC. Masyarakat India tahu pasal mereka dapat kelebihan adalah menerusi MIC. Yang sekolah Tamil, ada sekolah vernakular, kuil-kuil di merata tempat, bangunan, dewan dan sebagainya adalah usaha-usaha akar umbi para pemimpin MIC.
MIC SALAH LETAK CALON?
Kalau diikutkan analisis kekalahan beberapa kerusi MIC dalam PRU14, contohnya di Pahang (Sabai) dan Melaka (Gadek) kerana silap letak calon. Juga, MIC letak sampai lima orang disenarai pendek di satu-satu kawasan. Benarkah semua ini?
Mereka ingat ini parti (BN semasa PRU14), kita boleh menang, (disebabkan) pengundi Melayu banyak. Jadi, pasal apa tidak boleh bagi kerusi berkenaan.
Demikian juga dengan kepimpinan bahagian (UMNO semasa 2018). Masa lima tahun diam, masa nak pilihan raya (PRU14) ketika itulah bangkit. Pasal dia nak juga kerusi itu. Pasal dia cakap kita boleh menang, kita boleh menang.
Ini realiti. Kalau tidak, macam mana kita sering kalah di Selangor? Jadi, bercakap pasal masalah calon, adakah calon MIC ada masalah dengan SPRM. Ada isu tingkah laku ke. K. S Devamany bertanding di Cameron Highlands, lepas itu tak diberi peluang untuk bertanding Cameron Highlands. Maka Datuk C. Sivarraajh pula pergi ke sana. Apabila dia tak dapat bertanding balik, kita memberi ruang kepada orang lain kerana masa itu semua pilihan raya kecil (PRK) sebelum itu (BN) kalah.
KEMBALIKAH UNDI KAUM INDIA?
Masihkah MIC diharapkan kaum India?
Parti-parti yang terbabit dalam kerajaan PH bukannya parti yang berdasarkan kepada kaum. Dia berdasarkan kepada semua kaum, multiracial. Tetapi hakikatnya pada akar umbi, bukan macam itu. Sebab yang kaya adalah kaya, yang sederhana…sederhana, yang miskin lagi miskin. Jadi dalam dua tahun sejak 2018, masalah yang berbangkit ini, semua very upset about the whole thing turn turtle adalah kerana tidak ada satu parti yang nampak perjuangkan hak orang kaum India.
Bukankah kerajaan BN sebelum 2018 beri banyak kepada agensi yang menjaga kepentingan kaum India. Apa yang tidak kena agaknya?
Kalau dibandingkan dengan Teraju, Mitra cuma 0 point something peratus. Tapi Teraju untuk kaum bumiputera, demi pastikan peniaga ataupun ekuiti kaum Melayu meningkat.
Tetapi dalam memastikan kaum India tidak dipinggirkan di Semenanjung, maka pada masa itu konsep yang dibawa MIC supaya ditubuhkan satu jawatankuasa Kabinet dan dari pertubuhan itu kita dapat realisasikan satu impian yang mana kita dapat menubuhkan Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC). Menerusi SEDIC dperuntukkan RM100 juta setahun.
Tapi bila kita kalah 2018, maka ia menjadi Mitra, namun masih sama. Di dalamnya ini ada SEDIC. ada banyak di bawah Jabatan Perdana Menteri, dengan lebih 40 kakitangan, tapi dikecilkan dan diletak bawah kementerian.
Suka atau tidak, tidak ada mana-mana organisasi kaum India yang efektif seperti MIC.
BERBALOIKAH FRIENDS OF BN?
Ada merasakan MIC terlalu harapkan UMNO akan deliver. Dengan itu MIC sekadar tumpang semangkuk untuk menang?
Kita mengharapkan UMNO, pasal UMNO tidak benarkan parti Melayu lain untuk sertai BN. Itu satu soalan yang kena tanya kepimpinan UMNO. Tetapi Friends of BN dari parti-parti lain, diberi sokongan dan diminta lagi oleh komponen supaya bagi peluang. Tetapi tidak ada parti Melayu.
Ini adalah untuk to show their monopoly of Malay worlds. Tapi kalau itu persepsinya, persepsi di luar tidak begitu. Does not reflect what is on the ground. Parti-parti Melayu berpecah hingga enam ke tujuh. Habis, kita nak harapkan siapa, takkan nak harapkan Pas. Harapan kita adalah UMNO dan BN. (Cuma) kadang-kadang, harapkan pegar, pegar makan padi. Kerusi-kerusi Melayu yang majoriti pun kita kalah.
Nampak Tan Sri tak berapa gemar dengan Friends of BN. Mengapa?
Selepas 2008, kepimpinan BN atau UMNO buat keputusan bahawa MIC hilang sokongan maka mereka perlu mengadakan kerjasama dengan sesiapa sahaja supaya mereka mendapat undi kaum India. Mereka walaupun memberi sokongan setahap yang boleh kepada MIC, tetapi mereka menjemput parti seperti Hindraf diketuai P. Waytha Moorthy menjadi timbalan menteri (pada 2013), memberi kebenaran kepada Makkal Sakti dan parti-parti yang sekian lama telah bekerja menentang BN.
Dulu semasa Tun Dr. Mahathir, tiada siapa yang dapat pingat pun kena jumpa MIC. Maka MIC adalah mustahak. Tetapi di bawah pentadbiran selepas Tun Mahathir, you boleh jumpa siapa-siapa pun. Diorang akan buat keputusan, dia bagi peruntukan semua, lepas itu bila tak ada undi, tanya pula masalah kepada MIC.
Mana pergi Friends of BN? 15 tahun, 20 tahun, tidak pernah sekali pun dia tanya mana pergi diaorang punya sokongan? You yang bagi peruntukan, you yang bagi semua, you entertain them, lepas bila tak ada undi, you tanya MIC juga. Mana pergi undi, dan kita pun cakap, you can fight with enemy, but how to fight with somebody in your own house? Jangan look behind your shoulder, apa yang berlaku ialah kita (BN) sering ditikam dari belakang oleh Friends of BN enemy to MIC.
Jadi, mereka ini tidak lagi relevan?
Friends of BN ini bukan tiba-tiba dia lompat dari langit. Dia pun bersama kita selama 15 tahun. Kalau dalam 15 tahun ini, tidak ada any increase, whats the use of coming in now? What is the contributions be? Mana jentera, you kena cakap semualah. Tapi tak apa. Oleh kerana kepimpinan BN nak juga bagi mereka ini bertanding, okay, its not a problem. We can understand. But you must give it dengan alasan yang munasabah. Takkan saya punya kawan selama 30 tahun, saya bagi dia ‘datukship’, ‘tansriship’, boleh ke parti terima?
MIC DAN PRN JOHOR
UMNO sasar bertanding 42 daripada 56 kerusi di PRN Johor?
Di Johor pada PRU14, UMNO tanding 36 kerusi, BN menang 19 kerusi. Tapi sekarang pula UMNO mahu bertanding 42 (daripada keseluruhan 56 kerusi). Atas prinsip mana, kena tanya Tok Matlah (Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan).
Saya sudah berkali-kali berucap bahawa tiada guna kita nak ambil kerusi sewenang-wenangnya untuk bertanding, tetapi bertanding untuk menang. Dan 19 kerusi (yang UMNO bertanding di Johor dahulu) yang kalah, semuanya majoriti (pengundi) Melayu. Adakah UMNO tidak akan bertanding balik, atau parti-parti kaum yang besar bertanding balik? Kena bertanding, kalau tak bertanding siapa nak bertanding.
Ikut kepada purata, kalau pengundi Melayu itu banyak, biar…jangan MIC pula bertanding, bagi kepada parti Melayu. Parti mana? Bersatu, UMNO, Pas, Amanah, Muda, mana? Sekarang (undi Melayu) sudah pecah tujuh (parti). Jadi, janganlah kita mendabik dada, oleh kerana di situ ramai pengundi Melayu, UMNO kena ambil kerusi itu. Ataupun Cina, MCA kena ambil.
Apa penyelesaiannya?
Dalam pentadbiran, kita kena ada semua orang. Janganlah pasal kita besar dan sebagainya, tapi kalau you pergi nak tanding sendiri, kemungkinan you kalah.
Kalau kita ingat prinsip dan spirit BN, then you have to share the seat. Kita ada 17 peratus, 10 peratus, 15 peratus.
MIC menang dua dari empat kerusi pada PRU14. Kali ini macam mana?
Masa itu kerusi DUN Permas diminta oleh UMNO kerana Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mahu bertanding di situ hendak jadi Menteri Besar. Kemudian kami diberi kerusi Skudai, yang majoriti pengundi Cina. Satu lagi kerusi tradisi MIC di Gambir. Jadi, sekarang MIC hendak Permas dan Gambir ditandingi balik. Di Permas, Khaled pun kalah lebih kurang 8,000 undi. Dengan ini MIC ada sekurang-kurangnya hingga lima kerusi untuk ditandingi. Kita akan bincang dengan kepimpinan BN. Kita akan kemukakan alasan yang munasabah.
Harapan MIC?
Kita mahu juga berada di bawah kepimpinan Datuk Ir. Hasni Mohammad, seorang yang berwibawa, berpragmatik dan yang saya kenal selama dua lebih tahun. Beliau seorang yang faham isu-isu kaum kaum India, Cina dan lain-lain.
Pengundi-pengundi Johor perlu beri peluang kepadanya kerana banyak pelaburan boleh kembali ke Johor dengan sebuah kerajaan yang stabil.
Cuma pesanan saya, PRN Johor ini tidak sama seperti PRN Melaka. Jangan overconfident.