Tak berani pergi hospital swasta? - Utusan Malaysia

Tak berani pergi hospital swasta?

Hospital kerajaan perlu menambah baik perkhidmatan kerana ia menjadi pilihan utama orang ramai yang tidak mampu ke hospital swasta. - GAMBAR HIASAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Klinik kecil macam ini pun, kalau demam saja kena stand by duit dalam RM100 lebih juga. Selalu RM80 itu wajib ada.”
Itu kata seorang lelaki kepada saya yang tiba-tiba ringan mulut untuk berbual di sebuah klinik di Shah Alam baru-baru ini.
Saya lihat sebelah kakinya berbalut. Belum sempat saya bersuara, mahu mengiyakan katanya, namanya sudah dipanggil jumpa doktor.Terhincut-hincut dia berjalan.
Cakapnya itu meng­ingatkan semula tentang perbualan saya dengan seorang pemandu Grab beberapa minggu sebelum itu yang menghantar saya ke sebuah hospital swasta.
Kata pemandu itu, yang kaya, yang ada banyak duit saja boleh mendapat rawatan di hospital swasta. Tak perlu beratur panjang atau menunggu lama temujanji untuk pemeriksaan tertentu, ujian atau pembedahan seperti di hospital kerajaan.
Sedangkan bila sudah sakit, mana tahan menunggu untuk rawatan atau pembedahan. Itu yang membuatkan ramai terpaksa ke hospital swasta.
Dia juga mengadu, kalau tak ada RM100 jangan berani-berani pergi ke klinik swasta. Hospital swasta lagi mengarut. Katanya, jumpa doktor tak sampai lima minit pun untuk konsultasi dah kena caj lebih RM100. Itu belum masuk ubat-ubatan.
“Hospital swasta ini untuk orang senang. Yang tak berduit kena pergi hospital atau klinik kerajaan. Tunggu berjam-jam lepas itu dapat panadol,” katanya sinis.
Saya angguk-angguk saja. Sebenarnya, saya hendak katakan padanya belilah insurans perubatan. Ada yang murah. Tapi tak terkeluar dari mulut saya. Nanti dia ingat saya jual insurans pula.
Saya ke hospital itu adalah rutin jumpa doktor dua bulan sekali. Itu pun kerana ia hospital panel tempat saya bekerja. Kalau tanggung sendiri payah juga. Sekali pergi termasuk ambil darah, ubat-ubatan dan jumpa doktor ada yang mencecah RM700. Pernah saya datang untuk mendapatkan rawatan mata. Jumpa doktor dan ubat-ubatan bil sampai lebih RM1,000. Ada pula rawatan susulan lagi. Saya jadi serik nak pergi.
Jadi betulkah negara kita ini antara paling murah kos perubatan di dunia? Ramai rakyat asing datang ke hos­pital swasta negara ini untuk men­dapatkan rawatan. Ia dipanggil pelancongan kesihatan. Tapi pelik, rakyat kita seakan tidak merasa apa yang dikata murah ini, caj rawatan dan perubatan begitu membebankan di hospital swasta.
Atau caj masih dianggap murah tetapi rakyat kita yang tak mampu kerana gaji rendah?
Yang ada kerja tetap, bernasib baik kerana syarikat tempat bekerja kebanyakan membayar kos perubatan pekerja dan ada hospital dan klinik panel. Yang bekerja sendiri atau tidak bekerja macam mana?
Sebab itu, ada yang bila demam terpaksa beli pana­dol di kedai dan biarkan ba­ik sendiri sebab hendak ke klinik kerajaan beratur panjang manakala klinik swasta pula mahal.
Memang hospital dan klinik kerajaan kita adalah terbaik kerana mengenakan caj yang murah. Contoh klinik gigi, rawatan RM5. Kalau pergi klinik gigi swasta beratus-ratus ringgit. Kerajaan telah beri banyak subsidi kepada rakyat dari segi mendapatkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan di hospital kerajaan.
Cumanya, pada saya perkhidmatan di hospital dan klinik kerajaan perlu ditambah baik untuk memastikan rakyat marhaen tidak terbeban dengan kesakitan dan kos terpaksa pergi ke hospital swasta.
Yalah nak tunggu ujian tertentu pun mengambil masa lama apatah lagi pembedahan kena tunggu tarikh yang ada kekosongan. Hanya yang kecemasan saja boleh dirawat dengan cepat.
Hakikatnya pun, tak semua orang mampu beli insurans perubatan. Lebih-lebih lagi yang banyak tanggungan keluarga.
Jadi kerajaan tengok-tengoklah juga harga ubat dan caj rawatan di hospital dan klinik swasta. Betulkah murah? Banyak ubat yang boleh dibeli murah di farmasi tetapi bila di hospital swasta harganya meningkat dua kali ganda.
Ramai yang sentiasa ber­doa tidak mendapat penyakit pada diri sendiri dan keluarga. Sebab risau, bila sakit, kos merawat menambahkan sakit. Sesak dan pening kepala nak fikir. Tak akan boleh selesai dengan makan panadol saja.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya