BARU-BARU ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengakui kelemahan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) tidak berfungsi dengan baik menjadi antara punca kesesakan di beberapa plaza tol kendaliannya.
Isunya sekarang, bukan masalah sistem tetapi bagaimana ia diperkenalkan dan dinormalisasikan. Perkara pokoknya, bila menggunakan tol ia perlu dibayar. Itulah sebab Touch n’ Go digunakan bagi menggantikan tenaga manusia.
Kini, selain Touch n’ Go dan Smart Tag, diperkenalkan pula RFID sebagai alternatif pembayaran. Isunya, sistem baharu perlukan orientasi atau pengenalan, baharulah tidak menyusahkan pengguna lebuh raya.
Sememangnya RFID memudahkan aliran trafik tetapi semasa kenderaan tidak banyak. Sebaliknya bila ribuan kenderaan menggunakan laluan tol, kesesakan tetap juga berlaku. Jadi, apa gunanya teknologi tetapi tiada penyelesaian?
Sebaik-baiknya PLUS mahupun operator lebuh raya mewujudkan program percubaan RFID untuk tiga bulan. Walaupun RFID telah lama wujud, baru kini ia digunakan secara meluas. Oleh itu, sebaiknya teknologi tersebut diperkenal secara beransur-ansur semula.
Apa guna teknologi baharu jika ia menghasilkan keputusan yang sama dan menyusahkan? Jika begitu, baik kekalkan sistem lama dan RFID sebagai pilihan.