Nak kahwin kena ikut SOP - Utusan Malaysia

Nak kahwin kena ikut SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA memang suka berlegar di kawasan Putrajaya sebab biasanya penumpang yang membuat pesanan Grab kebanyakannya ialah pekerja kerajaan.
Jadi, dalam pada menghantar mereka ke destinasi yang dituju, saya dapat bersembang pelbagai perkara menarik.
Salah seorang penumpang lelaki saya ini, yang saya ambil di Putrajaya, segak berpakaian kemas. Gayanya, memang pekerja pejabat.
Bila bersembang, rupanya dia seorang peguam syariah dari Jabatan Undang-undang.
Dari situ saya pun mengorek rahsia bertanyakan macam-macam perkara. Saya tanya kes apa yang paling banyak dan juga paling sulit untuk diselesaikan dan ambil masa lama.
Kata peguam ini, banyak kes yang dikendalikannya adalah perkahwinan kedua yang tidak mengikut undang-undang Malaysia. Kahwin menggunakan sindiket.
“Jangan sesekali terlibat dalam perkahwinan secara sindiket ini sebab kesannya sangat buruk. Bukan kepada pasangan saja tapi kepada generasi mereka seterusnya.
“Sebabnya dibimbangi perkahwinan itu tidak sah kerana mereka yang melaksanakan perkahwinan itu tiada autoriti dan tidak mengikut hukum syarak.
“Bayangkan satu perkahwinan tidak sah, dapat anak dan bagaimana dengan nasib anak itu?” Katanya panjang lebar.
Kata si peguam ini, terdapat beberapa kes begini yang sedang dikendalikannya. Ia sangat rumit dan memakan masa.
“Ada satu kes yang mak ayah mereka kahwin tidak sah, dapat anak dan anak-anak pun sudah berkahwin dan dapat anak juga. Bayangkan nasib anak-anak, cucu dan generasi akan datang.
“Nasihat saya kalau nak berkahwin, semak dulu susur galur keluarga dan keturunan, takut nanti kes lain pula yang timbul.
“Yang penting kalau hendak kahwin, ikut saja SOP yang betul dan jangan sesekali terlibat dalam nikah sindiket ini. Kesannya sangat buruk kalau tidak ikut hukum syarak,” katanya.
Fuh, mendalam betul perbualan hari itu dengan penumpang. Kelas perkahwinan pula saya pelajari.
Ingat itu, kepada yang ingin naik pelamin, SOP berkahwin itu satu hal, SOP Covid-19 pun kena jaga juga tahu! – Akak Grab, Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya