Sembilan tahun lalu ketika sambung belajar di UiTM Shah Alam, aku dan rakan-rakan menyewa di sebuah banglo di kawasan Seksyen 2 berhampiran dengan Wet World.
Rumah banglo dua tingkat itu mempunyai empat bilik, tiga bilik di tingkat atas dan sebuah bilik di bawah. Disebabkan kami berlapan, maka setiap bilik akan dihuni dua orang.
Perasan teruja bercampur gembira apabila tuan rumah hanya mengenakan sewa sebanyak RM50 sahaja. Mungkin dia berasa kasihan kepada kami, maklumlah semua masih belajar. Ketika mahu berpindah masuk, tuan rumah juga tidak beri kami bawa barang terlalu banyak. Alasannya takut kami penat jika hendak berpindah keluar nanti.
Persekitaran di situ cukup redup dan tenang, tambahan pula ada sebatang pokok ara besar yang menutupi sebahagian rumah tersebut. Dahannya juga sudah melentuk hingga mencecah tingkap bilik di bahagian atas.
Malam pertama pindah, kami semua tidak tidur kerana sibuk mengemas barang. Namun ceritanya bermula keesokkan harinya apabila rakan sebilikku, Latip yang ketika itu tinggal berseorangan bercerita kononnya ada sesuatu yang tidak kena di rumah tersebut.
Katanya, petang itu dia terdengar bunyi orang mengemas sambil berbual di tingkat atas. Sangkanya ada rakan-rakan lain yang sudah pulang, tapi sebaik sahaja naik, dia tergamam. Dilihatnya seorang pun tiada di situ.
Pada mulanya kami kurang percaya dengan ceritanya, namun malam itu giliran aku pula yang kena. Ketika sedang nyenyak tidur tiba-tiba aku terasa seperti ada seseorang menarik kedua-dua belah kakiku sehinggakan aku terjatuh dari katil dan kepala terhentak di lantai.
Aku sangka rakan-rakanku bergurau, namun sebaik buka mata aku lihat suasana sunyi tanpa ada sesiapa. Rakan sebilikku, juga sedang nyenyak tidur.
Perlahan-lahan aku intai di setiap bilik rakan-rakanku. Masing-masing sedang nyenyak tidur. Aku bingung. Dalam hati masih timbul seribu persoalan.
Aku tidak ceritakan kisah tersebut kepada rakan-rakan. Namun aku tahu ada sesuatu yang tidak kena di rumah ini. Petang esoknya sekali lagi aku terkedu. Aku ternampak kelibat seorang budak perempuan sedang tersenyum sambil melambaikan tangan di tingkap bilik. Ketika itu aku baru sahaja ingin masuk ke dalam rumah.
Sekali lagi darahku tersirap. Walaupun fizikal budak perempuan itu aku lihat normal seperti kanak-kanak lain namun senyumannya agak menyeramkan.
Dan sebaik sahaja aku masuk ke dalam rumah terus aku periksa di segenap sudut dan tingkat. Kanak-kanak itu tiada!
Malam itu ketika sedang makan bersama rakan-rakan serumah di gerai berhampiran, barulah aku buka mulut ceritakan apa yang berlaku.
Rupa-rupanya bukan aku seorang sahaja yang alami, boleh dikatakan hampir semua rakanku sudah ‘terkena’.
Arif beritahu malam semalam dia ternampak seorang perempuan berambut panjang dan berbaju putih sedang duduk berjuntai kaki di pohon ara berdekatan rumah. Katanya lagi, wajah perempuan tersebut cukup menyeramkan. Terlopong kami dengar ceritanya
Cerita Shukor pula, dia ternampak kelibat lelaki menuju ke dapur pada waktu malam. Sangkanya itu Zubir rakan sebiliknya. Tapi sebaik sahaja dia menghampiri sosok tersebut darahnya tersirap kerana lelaki yang dilihatnya itu tidak mempunyai kaki.
Nasib baiklah dia hanya melihat sosok tersebut dari belakang, kalau dari hadapan entahlah. Mahu pengsan agaknya. Tak tahu bagaimana pula keadaan wajahnya ketika itu.
Lantas aku ceritakan pula kisah di malam pertama ketika kakiku ditarik dari katil. Jelasku lagi, nasib baiklah aku tidak maki hamun mereka malam itu kerana rupa-rupanya semua sedang nyenyak tidur di bilik masing-masing.
Namun ketika itu semua pandang aku dengan wajah kehairanan. Kata mereka waktu aku tidur itu mereka semua sedang keluar makan. Kata mereka lagi sengaja mereka malas kejutkan aku kerana waktu itu aku sedang lena dan siap berdengkur lagi.
Ah, sudah! Jadi, siapa pula makhluk yang aku nampak dalam setiap bilik mereka malam itu? Tanyaku kepada mereka.
Wajah masing-masing bertukar pucat lesi dan tidak keruan. Tidak tahu apa yang ingin dikatakan lagi ketika itu. Jika semua sudah mengalami perkara menakutkan sebegini, pastinya ada rahsia yang tidak kami ketahui selama ini.
Kami terus melepak di restoran mamak tersebut sehingga azan subuh berkumandang. Memang kami sudah tidak berani untuk balik semula ke rumah malam tersebut takut kalau-kalau berlakunya kejadian tidak diingini.
Sebaik masuk ke dalam rumah sekali lagi kami berpandangan. Hidung kami kembang kempis menahan bau. Iya! Bau yang cukup busuk dan meloyakan.
Puas aku dan rakan-rakan cari dari mana punca datangnya bau tersebut, namun tidak berhasil. Namun setelah hampir satu jam kami selongkar dan cari di dalam rumah akhirnya barulah kami temui. Rupanya bau tersebut datang dari sehelai pakaian yang berada dalam rak di almari tingkat atas.
Lantas kami terus buang pakaian tersebut di tong sampah besar yang terdapat di luar rumah. Tetapi sekali lagi kejadian pelik berlaku apabila keesokannya selepas pulang dari kelas sekali lagi kami tercium bau tersebut. Kali ini baunya lagi kuat berbanding semalam sehinggakan kami semua berasa mual dan hendak muntah.
Malam itu kami sama-sama berbincang tentang keputusan sama ada ingin terus tinggal di situ atau berpindah ke rumah lain.
Akhirnya kami sebulat suara setuju untuk berpindah. Sebaik sampai di rumah kami mula mengemas barang-barang, memang terasa letih maklumlah baru seminggu masuk, esok lusa dah nak keluar.
Nasib baiklah ketika masuk, semua tidak bawa barang terlalu banyak, kalau tidak terpaksa sewa lori agaknya. Waktu nak keluar tu kami hubungi tuan rumah untuk menceritakan apa yang berlaku.
Namun setelah kami bercerita dari awal hingga akhir, dia sekadar tersenyum. Katanya, ini bukanlah kali pertama dia mendengar cerita tersebut, bahkan penyewa lain sebelum ini turut ditimpa nasib sama.
Aku dan rakan-rakan terlopong mendengar ceritanya. Rupa-rupanya tuan rumah tersebut sudah sedia maklum dengan kisah di kediamannya selama ini.
Terus terang aku katakan, aku dan rakan-rakan lain ketika itu memang agak ‘menyirap’ dengan tuan rumah tersebut. Patutlah sewa rumah murah sangat rupa-rupanya ada rahsia tersembunyi.
Dan aku juga terfikir patutlah awal-awal lagi dia beritahu supaya tidak perlu bawa barang banyak kerana dia sendiri yakin yang setiap penyewa tidak akan menetap lama. – Mingguan Malaysia
Misteri banglo RM50
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 9 Januari 2022, 5:50 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Tags: kolum seram
BERITA BERKAITAN
Dari mana datangnya mata air ini?
29 Oktober 2023, 4:43 pm
Esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku…
1 Oktober 2023, 5:19 pm
Siapa yang kayuh basikal itu?
17 September 2023, 4:51 pm