Merokok boleh, cuma tak boleh beli... - Utusan Malaysia

Merokok boleh, cuma tak boleh beli…

Larangan merokok di tempat makan antara usaha kerajaan tidak menggalakkan orang ramai merokok. - Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“MANA boleh nak ha­ramkan jual rokok. ‘Mati keraslah’. Ini tak boleh jadi. Kerajaan boleh jatuhlah kalau buat macam ini.”
Itu kata seorang rakan. Bukan main marah lagi dia. Jika sebelum ini apa saja isu tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan termasuk pengeluaran one off RM10,000 KWSP, dia tidak bising-bising. Dia tenang-tenang saja. Tapi bila saya usik sedikit pasal tak boleh jual rokok, dia jadi angin semacam.
Saya katakan kepadanya, saya ada terbaca beberapa minggu lalu, ada cadangan entah dari siapa atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mana saya pun tidak ingat, meminta kerajaan mengharamkan terus penjualan rokok. Dia yang mula-mula fokus terhadap kerja di depan komputer terus meluap marah.
Inilah sebenarnya reaksi seorang perokok tegar. Agaknya, dunia bergoncang macam mana sekalipun, rokok kena jual jugalah.
Kelmarin, Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin menyatakan Malaysia berhasrat menguatkuasa larangan jualan rokok dan semua jenis tembakau terhadap semua individu yang lahir selepas 2005 bagi menangani impak negatif tembakau terhadap penyakit-penyakit berjangkit (NCD).
Katanya, jika berjaya, undang-undang itu akan dapat menghentikan generasi merokok (a generation end game to smoking)
Saya juga ada terbaca sebelum ini, New Zealand turut bercadang mengenakan larangan ke atas generasi muda daripada membeli rokok sepanjang hayat mereka. Apabila undang-undang mengenainya dijadualkan berkuat kuasa bermula dari mereka yang masuk usia 14 tahun pada 2027, tidak lagi dibenarkan membeli rokok di negara itu. Pada masa sama, paras nikotin di semua rokok yang dijual akan dikurangkan. Ini sekali gus menjadikan industri runcit tembakau di New Zealand sebagai salah satu paling ketat di dunia, di belakang Bhutan yang melarang sepenuhnya penjualan rokok.
Nampaknya, Bhutan lebih steady dalam hal ini. Tak jual langsung. Kalau hendak hentikan tabiat merokok dan bimbangkan NCD dan macam-macam penyakit, inilah caranya. Bukan dengan mengehadkan umur tidak boleh beli rokok di kedai. Tidak boleh beli dan tidak boleh merokok langsung dua perkara amat berbeza. Yang tak boleh beli tak bermakna dia tak boleh merokok. Maka, pada saya larangan beli rokok ini macam wayang sajalah. Tak boleh beli tapi boleh hisap rokok, tak ada maknalah. Perokok tegar boleh ketawakan saja larangan seperti ini. Dan cakaplah berapa juta orang mati pun kerana kanser dalam setahun akibat merokok, statistik-statistik sebegitu tidak langsung menggerunkan kepada perokok tegar.
Dan kata-kata terlalu biasa kita dengar, tak merokok pun mati juga. Sebab itu, kalau hendak beri mereka kesedaran, kata kunci (keyword) yang amat menggerunkan mereka adalah hapuskan penjualan rokok. Tetapi saya rasa, negara kita tidaklah seberani Bhutan. Mungkin ramai dalam kalangan menteri kita pun tak boleh berhenti merokok.
Jadi mereka berilah larangan kepada individu yang lahir selepas 2005. Itu okay sikit. Yang tua bolehlah terus merokok. Patutnya yang tua lah beri contoh kepada yang muda. Untuk mewujudkan generasi muda yang tidak merokok sebenarnya ia kena bermula dengan usaha yang berani membabitkan semua lapisan umur dan masyarakat serta menyeluruh.
Sebelum ini pun kerajaan telah mengadakan pelbagai langkah untuk tidak menggalakkan orang ramai merokok, antaranya sudah beberapa kali menaikkan harga rokok, tidak boleh merokok di tempat awam dan mewujudkan zon merokok. Itu pun berapa ramai berhenti merokok kerana harga mahal? Dan ramai tidak peduli dengan larangan merokok di tempat awam dan restoran.
Kata seorang lagi rakan yang juga perokok tegar, ada perokok boleh jatuh sakit dan mati bila tidak merokok selain diserang kerisauan melampau.
Iyalah, alasan-alasan perokok tegar ini kita dengar boleh. Percaya, jangan.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya