Konsep kurangkan mudarat tembakau perlu diterima dengan minda terbuka

Konsep kurangkan mudarat tembakau perlu diterima dengan minda terbuka

vape
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
DR. NUR KHAISIYAH OTHMAN

MASALAH kesihatan berkaitan rokok bukanlah satu perkara baharu di Malaysia malah statistik Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa merokok adalah faktor risiko utama bagi penyakit bahaya dan  Menyebabkan 10–12% kematian di Malaysia.

Pelbagai langkah telah diambil kerajaan untuk membendung tabiat merokok selama ini.

Antaranya termasuk Perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok serta peraturan ketat yang dikenakan ke atas penjualan rokok.

Namun, hasilnya tidaklah seperti yang diharapkan. Dalam tempoh tujuh tahun seramai 73,836 perokok menyertai program berhenti merokok di negara ini tetapi hanya 16,930 atau 23 peratus individu berhenti daripada kegiatan berkenaan dalam tempoh enam bulan.

Sebagai seorang pengamal perubatan, perkara ini menarik perhatian saya kerana Kerajaan terpaksa membelanjakan berbilion ringgit setiap tahun bagi kos rawatan pesakit yang menderita pelbagai penyakit akibat tabiat merokok.

Baru-baru ini satu badan pemikir, DARE (Datametrics Research & Information Centre) telah menerbitkan satu laporan bertajuk Clearing the Smoke: Tobacco Harm Reduction yang menunjukkan kadar perokok di Malaysia boleh menurun kepada empat juta menjelang 2025 daripada 4.8 juta pada masa ini dengan menggalakkan perokok beralih kepada alternatif yang kurang mudarat seperti vape.

Kini, pendekatan Pengurangan Kemudaratan Tembakau (Tobacco Harm Reduction) semakin popular di seluruh dunia dan beberapa negara telah berjaya melaksanakannya seperti di New Zealand, United Kingdom (UK) dan beberapa negara lain.

New Zealand telah berjaya menurunkan jumlah perokok mereka dengan mempromosikan vape sebagai salah satu alternatif yang kurang mudarat untuk perokok.

Malaysia juga harus mengikut jejak langkah negara-negara ini dalam menuju matlamat pengurangan kelaziman merokok di Malaysia dengan mengamalkan keterbukaan dan menerima kaedah penyelesaian berasaskan sains.

Apa yang menarik perhatian saya, laporan dari DARE itu juga menyatakan bahawa melalui strategi ini dengan menggalakkan perokok beralih kepada alternatif kurang mudarat seperti vape, ia mampu membantu negara mengurangkan perbelanjaan kesihatan untuk merawat penyakit berkaitan merokok sebanyak RM1.3 bilion menjelang 2025.

Ia adalah satu jumlah yang sangat besar dan saya yakin ramai yang turut bersetuju untuk memperbanyakkan kajian-kajian saintifik secara lokal yang boleh membuat pengesahan berkenaan manfaat idea ini.

Buat masa sekarang, kita hanya berpaksi kepada kajian-kajian antarabangsa dan laporan dari DARE ini adalah yang pertama seumpamanya dilakukan secara lokal.

Oleh itu, saya menyeru supaya lebih ramai komuniti perubatan menjalankan kajian berhubung kaedah ini. Jika ia (THR) mampu memberi manfaat terutamanya kepada perokok yang mahu berhenti merokok, saya tidak melihat mengapa ia tidak boleh dipraktikkan.

Saya tahu, ramai dalam kalangan masyarakat termasuk komuniti perubatan tidak terdedah dengan konsep ini kerana ia tidak dibincangkan secara terbuka dan telus.

Saya syorkan untuk mereka membuat carian di laman web dengan kata kunci ‘Tobacco Harm Reduction’ dan membaca kajian, laporan dan juga jurnal yang telah diterbitkan oleh saintis dan ilmuan luar negara termasuk pakar dari institusi terkemuka dunia antaranya dari Universiti Oxford.

Dr. Nur Khaisiyah Othman adalah pengamal perubatan lulusan dari Sechenov First Moscow State Medical University, berpengalaman dalam pelbagai disiplin perubatan sepanjang berkhidmat di hospital awam. Beliau juga pernah bertugas di Jabatan Anestesiologi dan merawat pesakit Covid-19 tahap lima.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya