“BETA yakin semua penduduk Negeri Sembilan memahami tujuan langkah-langkah ini diambil dan menyeru agar semua bersabar dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Ia adalah demi menjaga keselamatan diri sendiri, keluarga yang dikasihi dan masyarakat.”
Demikian titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dalam perutusan baginda sempena Hari Raya Aidiladha, tahun lalu.
Menerusi perutusan sama juga, baginda memaklumkan, ibadah korban tidak dibenar untuk diadakan di negeri ini susulan jangkitan Covid-19 yang masih belum reda.
Dalam setiap perutusan, sama ada sebelum atau selepas itu terutama sepanjang pandemik Covid-19, kepentingan dan kesejahteraan rakyat jelata sentiasa menjadi keutamaan dan didahulukan baginda.
Negeri Sembilan pada tahun lalu turut tidak terlepas menghadapi cabaran kesan penularan Covid-19 yang turut menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sekali lagi.
Sebagai rekod, kes positif harian tertinggi yang pernah dicatatkan di negeri ini adalah sebanyak 1,619 kes iaitu pada 16 Julai 2021.
Bagaimanapun, hasil usaha bersepadu banyak pihak, negeri naungan Tuanku Muhriz muncul sebagai negeri pertama di Semenanjung yang diumumkan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Peratusan tinggi populasi yang menerima vaksin malahan turut menyumbang kepada peralihan tersebut yang telah merancakkan kembali sektor ekonomi Negeri Sembilan yang terhenti akibat PKP.
Pada minggu yang sama ketika diumumkan beralih ke Fasa 4 PPN, rakyat Negeri Sembilan khususnya peminat bola sepak meraikan kejayaan pasukan Negeri Sembilan FC muncul juara Liga Perdana sekali gus layak beraksi di Liga Super 2022.
Sebagai penggemar pelbagai aktiviti sukan, kejayaan tersebut tentu sekali menggembirakan Tuanku Muhriz.
Sokongan pihak istana terutama dengan kehadiran putera-putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz dalam perlawanan berjaya menyuntik semangat para pemain dan pengurusan pasukan.
Banjir besar yang melanda pada pertengahan Disember lalu disusuli awal tahun ini, sekali lagi menguji rakyat negeri ini. Ramai kehilangan harta benda termasuk rumah malahan hasil tani dan ternakan.
Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’ Abidin turut tidak tunggu lama berangkat ke kawasan bencana seperti di Jelebu dan Jempol.
Baginda berdua turut menziarahi mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Daripada riak wajah setiap mangsa, mereka rasa begitu dihargai dengan keprihatinan baginda terhadap rakyat jelata.
Sempena Hari Keputeraan Ke-74 Tuanku Muhriz pada hari ini, didoakan semoga Negeri Sembilan terus maju dan sejahtera di bawah naungan duli Tuanku. Raja dan rakyat berpisah tiada, dirgahayu Tuanku.
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Negeri Sembilan.