Jangan perlekeh kerja orang lain - Utusan Malaysia

Jangan perlekeh kerja orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM hidup, kita permudahkan saja urusan orang lain kerana nescaya urusan kita pula pasti akan dipermudahkan kemudian hari. Ini yang saya rasa ketika mengambil seorang penumpang di Kajang sekitar pukul 4 petang baru-baru ini.
Seorang perempuan yang mengenakan uniform sebuah syarikat penapis air terkenal, bersama beg Ikea menaiki kereta saya.
Jarak ke destinasinya memang dekat dan tambang paling minimum sahaja iaitu RM5. Walaupun memakai pelitup muka, nampak dahinya berpeluh-peluh.
Kata penumpang ini yang terpapar nama di skrin aplikasi sebagai Yati, keretanya buat hal, pancit tiba-tiba.
“Nak tak nak, saya terpaksa ambil Grab sebab nak buat service di rumah pelanggan ini. Pelanggan ini pula, susah nak buat temujanji.
“Ini kali ketiga saya nak datang selepas dua kali dia batal temujanji. Kalau saya tak pergi juga, entah bila pula dapat lagi,” kata Yati ramah.
Maka saya memandu terus ke kawasan perumahan teres. Sampainya di kediaman itu, saya turunkan Yati dan mahu keluar dari kawasan tersebut. Entah macam mana, saya tersalah jalan dan berpusing kembali ke rumah yang sama. Saya ternampak Yati berdiri di tepi pagar. Cuaca ketika itu boleh tahan panas. Saya berhentikan kereta dan membuka cermin tingkap, bertanya Yati, “Ada orang tak dekat rumah?” Kata Yati, pelanggan itu membatalkan temujanji buat kali ketiga.
Simpati saya kepadanya membuak-buak. Tak sanggup pula melihat seorang perempuan berdiri di tengah panas dengan muka muram.
“Naiklah, saya hantar balik ke kereta, takkan nak tunggu sini,” kata saya ikhlas. Sebaik saja Yati masuk, dia mengesat air mata. Ah! Sudah, menangis ke dia ni, desis hati saya.
“Sedihnya kak. Ini kali ketiga dia batalkan. Sedangkan saya kereta pancit pun sanggup datang. Tapi macam ini dia buat saya. Mudah saja dia batalkan tak memikir langsung masa orang lain.
“Kadang-kadang kak, kami ini dipandang rendah sangat oleh pelanggan. Mentang-mentang kerja kami tukang cuci mesin air saja, maka hina benar di mata orang,” kata Yati sebak.
Saya tak mampu berkata apa. Saya dapat rasakan getir yang dia lalui hari itu. Kalau saya ditempatnya, mahu merembes air mata saya.
“Saya tak marah kalau beritahu saya awal-awal nak batalkan tapi janganlah dah terpacak depan rumah, baru beritahu tak ada di rumah.
“Inilah perangai sesetengah customer yang saya dan kawan-kawan paling meluat. Orang yang tak reti hormat masa dan hormat kerja orang lain,” kata Yati.
Sebaik sampai di keretanya semula, Yati menghulurkan tambang tapi saya menolaknya. Di saat dia berduka, biarlah saya gembirakan hatinya walaupun nilainya tak seberapa.
Berlalu pergi dari situ, hati saya jadi sayu tiba-tiba. Pada ketika ramai insan yang gigih berusaha untuk meneruskan hidup, masih ada yang suka memperlekehkan orang lain walau dalam bentuk apa sekali pun. Tak bolehkah kita memudahkan saja urusan orang lain? – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya