Hilaian misteri di hentian bas - Utusan Malaysia

Hilaian misteri di hentian bas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cerita tentang perhentian bas berhantu di Kampung Tengah sudah menjadi buah mulut penduduk setempat. Kononnya ramai yang terserempak dengan lembaga menakutkan terutamanya di waktu tengah malam.
Antara yang mengalami peristiwa tersebut ialah Hassan, seorang peniaga kedai runcit di kampung itu. Kisahnya bermula apabila pada suatu malam selepas menutup kedainya, dia pulang ke rumah dengan menunggang motosikal kapcai miliknya.
Namun nasibnya tidak baik apabila di pertengahan jalan tayar motosikalnya pancit. Jadi terpaksalah dia bawa perlahan-lahan. Namun sebaik sahaja melintasi perhentian bas usang tersebut, dia terlihat ada sosok yang sedang duduk di situ.
Fikirnya mungkin ada penduduk kampung yang terkandas kerana ketinggalan bas, Hassan pun apa lagi terus berhentikan motosikalnya. Dan sebaik sahaja dia ingin buka mulut bertanya terus dia tergamam kerana sosok tersebut adalah seorang wanita.
Belum pun sempat dia keluarkan walau sepatah ayat tiba-tiba wanita tersebut mengilai dengan kuat. Hilaiannya cukup menyeramkan. Dan tidak semena-mena wanita tersebut kemudian melangkah ke arahnya. Ketika itulah Hassan dapat melihat wajah wanita tersebut dengan jelas.
Mukanya cukup mengerikan. Matanya terjojol keluar, mukanya dipenuhi ketulan dan benjolan daging yang sudah pecah dipenuhi darah. Ibarat seperti bisul yang baru pecah. Hassan kaget, tidak lama kemudian terus dia jatuh pengsan.
Sejak kejadian yang menimpa Hassan itu ramai penduduk kampung sudah tidak berani keluar malam. Selepas itu khabarnya ramai lagi yang ‘terkena’ sehinggakan ada yang ditimpa demam berhari-hari.
Ramai beranggapan kejadian tersebut berpunca daripada kemalangan yang berlaku di sekitar perhentian bas tersebut kira-kira enam bulan lalu. Kemalangan yang membabitkan sebuah lori membawa muatan sawit dengan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita.
Pemandu wanita tersebut mati di tempat kejadian. Sejak itulah kononnya lembaga yang menyerupai wanita tersebut berkeliaran di kawasan itu. Ada yang kata kononnya roh mangsa tidak tenteram sebab itulah kelibatnya merayau-rayau.
Tapi cerita itu sedikit pun tidak meninggalkan kesan kepada Laila. Malah dia langsung tidak ambil kisah dengan apa yang pernah menimpa penduduk kampung. “Ahh, mana ada hantu di dunia ini. Kamu semua ini banyak sangat tengok drama. Kau pernah ke dengar orang mati kena cekik hantu?” katanya kepada rakan-rakan sekerjanya.
Mereka semua tergelak dengan kata-kata Laila. Memang mereka tahu sikap Laila. Boleh dikatakan semua rakan di kilang tempatnya bekerja sudah mengenalinya. Laila memang jenis yang tak makan saman, tapi hatinya baik dan suka menolong orang lain.
“Kau cakap besar ya? Nanti kalau kau terserempak barulah kau tahu langit tinggi ke rendah,” sampuk Lina sambil ketawa mengekek. Rakan-rakan lain semua tertawa melihat telatah mereka. Memang begitulah rutin mereka jika berada di kantin kilang tempat mereka bekerja, ada-ada sahaja yang dibualkan.
Sebagai pekerja kilang yang terletak di pekan berdekatan, perhentian bas tersebut merupakan tempat sinonim buat mereka. Di situlah setiap hari mereka berkumpul untuk menanti kedatangan bas kilang. Jadi perasaan takut itu tiada kerana mereka semua sudah biasa dengan persekitaran di situ.
Malam itu Laila pulang lewat kerana bekerja lebih masa. Ikutkan pukul 7 malam dia sudah pulang, namun di saat akhir rakan setugasnya memberitahu tidak dapat datang kerana tidak sihat. Jadi terpaksalah dia menunggu rakan syif seterusnya sampai.
Lebih kurang pukul 11 malam barulah dia mengemas barang dan bersiap untuk pulang. Di dalam bas tidak ramai pekerja, mungkin ramai yang sudah pulang awal agaknya. Hampir 25 minit kemudian bas kilang yang dinaikinya berhenti di simpang jalan menuju ke kampung Tengah. Bergegas Laila turun, dia hendak cepat sampai ke rumah untuk tidur awal kerana esok dia akan bekerja syif pagi. Dia mempercepatkan langkah menuju ke lorong rumahnya yang terletak kira-kira 200 meter dari situ.
Namun sebaik sahaja melewati perhentian bas yang menjadi bualan penduduk sebelum ini, dia tercium bau yang amat busuk seakan bau bangkai. Serta merta tekaknya berasa mual dan loya. Dia toleh di kiri kanan kalau-kalau ada ternampak bangkai binatang di kawasan berhampiran.
Tetapi suasana malam yang gelap pekat ketika itu membataskan penglihatannya. Laila atur langkah selaju mungkin. Sudah tak sanggup rasanya dia mencium bau busuk yang entah datang dari mana.
Tiba-tiba langkahnya terhenti. Dia tergamam. Dari kelam samar cahaya bulan dia ternampak satu sosok berhampiran dengan perhentian bas tersebut. Serta merta jantungnya berdegup laju. Dia terfikir adakah itu lembaga yang sering diceritakan oleh penduduk kampung selama ini.
Namun belum pun sempat untuk dia berfikir selanjutnya, tiba-tiba dia mendengar hilaian cukup panjang dari arah sosok tersebut. Hilaian itu cukup menyeramkan sehingga tanpa disedari dia terkencing dalam seluar. Laila menggigil ketakutan. Dia cuba ingin berlari sekuat tenaga, namun terasa seakan kakinya terpasak di bumi. Jelas di hadapannya sosok yang menakutkan itu terbang ke arah belukar berdekatan perhentian bas tersebut. Dengan sedikit semangat berbaki, Laila berlari sekuat hati menuju ke arah rumahnya sambil menjerit sekuat hati sehingga menyebabkan beberapa ahli keluarganya bergegas membuka pintu. Sebaik sahaja dia masuk ke dalam rumah, Laila terus pengsan.
Cerita Laila terserempak dengan hantu di perhentian bas ketika pulang bekerja menjadi topik hangat di Kampung Tengah keesokan harinya. Walaupun Laila sudah sedar namun dia masih tidak bermaya. Beberapa rakan di tempat kerjanya turut datang ke rumahnya melawat keadaannya.
“Sumpah beb, aku tak nak cakap besar lagi lepas ni. Tak sangka malam tadi aku boleh ternampak dengan mata sendiri. Selama ini aku ingat cerita dongeng dan rekaan semata,” kata Laila kepada rakan-rakannya.
Laila lantas menceritakan apa yang berlaku dari masa dia turun dari bas sehinggalah dia berlari pulang ke rumah. Terlopong mulut rakan-rakannya mendengar cerita Laila. Mereka percaya dengan apa yang diceritakan kerana setahu mereka Laila hanya bercakap besar namun tidak pernah mereka-reka cerita.
Kejadian yang berlaku itu menyebabkan Laila demam selama empat hari. Namun apa yang menjadi masalah ketika itu adalah jadual kerjanya. Walaupun esok dia sudah mula menjalankan bekerja semula namun bagaimana dia hendak hadapi situasi itu kerana esok dia akan bekerja syif malam. Dia rancang nak minta tolong ayahnya temankan dia di hentian bas itu sehingga bas kilang sampai. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya