BMW dan tips RM20 - Utusan Malaysia

BMW dan tips RM20

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali berada sekitar kawasan Setiawangsa, mesti saya akan teringatkan kisah ini. Bagi saya agak lucu jugalah.
Waktu itu saya mengambil seorang penumpang di sebuah kondominium di Jalan Jelatek. Saya dengan sabar terpaksa menunggu lebih lima minit sebelum seorang lelaki muda masuk dengan sebuah beg besar.
Memang kalau diikutkan hati, mahu cancel saja tempahan tersebut sebab terpaksa menunggu melebihi waktu sepatutnya.
Berkali-kali pemuda ini meminta maaf sebab katanya tertinggal barang dan terpaksa berpatah semula. Blok dia pula jauh dari pagar utama.
Okeylah, saya pun tidaklah marah sebab perkara kecil saja. Tapi pemuda ini pandai mengambil hati, diajaknya saya bersembang sambil bertanya macam-macam.
Maka kami pun bersembang sambil saya menjawab dan juga bertanya.
Pemuda ini mahu ke kawasan perumahan di Keramat. Nak ke rumah ibu, katanya.
“Selalu hujung minggu saya memang ke rumah emak, maklumlah bujang. Ke mana lagi nak pergi.
“Tapi sebelum itu, boleh saya minta tolong tak,?” tanyanya.
“Apa itu?” tanya saya musykil.
“Boleh tolong singgah di kedai dobi dekat Setiawangsa tak? Sebab saya nak hantar baju dobi. Baju pun dah nak habis sebab tak basuh lagi,” katanya.
Hurmm…walaupun sepatutnya saya boleh menolak tetapi saya setuju saja. Tak salah berbuat baik dengan orang lain, lagi pun tak perlu menyimpang jauh pun.
Selepas dia menghantar baju ke dobi, saya meneruskan perjalanan semula. Dia bertanya macam-macam lagi terutama mengenai Grab.
Katanya, dia kerap menggunakan khidmat Grab terutama kalau hari hujan.
“Saya pergi kerja naik motor saja. Senang, sebab cepat dan sewa parking pun tak perlu. Kalau bawa kereta, kos jadi lagi mahal. Nak kena bayar macam-macam.
“Naik motor, ciluk-ciluk sudah sampai,” katanya sambil tertawa.
Apabila sampai di kawasan perumahan, dia memberi tunjuk arah jalan. Katanya, jalan yang ditunjuk itu jalan pintas, tak perlu mengikut tunjuk arah Waze seperti yang saya gunakan.
“Okey jalan terus saja dan berhenti di depan itu,” katanya.
“Depan mana?” Tanya saya keliru. Punyalah banyak depan, mana satu yang perlu saya berhenti?
“Berhenti belakang kereta BMW saya itu,” katanya.
Saya tersengih. Amboi…hendak cakap ada BMW ke bang? Hati nakal saya berkata-kata.
Apa pun saya berhenti di depan sebuah rumah teres sederhana. Sambil turun, dia menghulurkan tambang dengan tips RM20. Wah!Tersengih saya.
“Ambillah, terima kasih sebab tak kisah hantar saya ke kedai dobi tadi. Tak semua pemandu Grab mahu tolong,” katanya.
Riang sungguh hati saya selepas itu. Tuhan beri rezeki sekejap saja asbab pertolongan tidak seberapa itu. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya