Bila polisi bencana alam tak popular - Utusan Malaysia

Bila polisi bencana alam tak popular

TENGGELAM.. Kerajaan perlu selesaikan masalah penempatan penduduk yang terjejas akibat banjir sebelum pulihkan ekonomi negara. - SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tragedi hujung tahun 2021 memang membuatkan ramai antara kita terduduk. Terduduk sedih mengenangkan nasib mangsa-mangsa, atau terduduk kerana diri sendiri menjadi mangsa.
Antara gambar-gambar berkaitan tragedi itu yang tular dalam media sosial adalah ribuan kenderaan yang musnah kerana ditenggelami banjir, dan dari apa yang saya diberitahu oleh rakan-rakan industri, tidak lebih daripada lima peratus kenderaan yang terbabit mempunyai perlindungan insurans bencana alam.
Ini tidak mengejutkan kerana polisi bencana alam untuk kenderaan tidak sepopular polisi tambahan cermin hadapan – kerana banjir besar jarang terjadi.
Polisi perlindungan tam­bahan disebabkan banjir, ribut, tanah runtuh atau bencana lain juga hanya ditawarkan kepada pakej insurans komprehensif sahaja, bermakna mereka yang mengambil insurans pihak ketiga tidak akan menerima pilihan itu.
Bayaran premium yang dikenakan untuk pakej perlindungan tambahan bencana alam ini selalunya serendah 0.5 peratus dari nilai yang diinsuranskan. Ini bermakna jika kenderaan kita dilindungi sehingga RM100,000, anda perlu membayar minimum RM500.
Tuntutan perlindungan bencana alam untuk kenderaan juga adalah tuntutan di bawah Own Damage, bermakna anda akan hilang kelayakan No-Claim Discount (NCD). Ini bermakna, sebelum anda membuat tuntutan, pastikan jumlahnya tidak sebanyak diskaun NCD anda setiap tahun.
Ya, insurans bukan satu industri yang telus dan penga­laman saya cukup untuk membuktikan ia adalah satu industri yang mempunyai banyak grey area – informasi yang tidak begitu telus dan bergantung kepada pelbagai faktor-faktor yang dikawal oleh industri itu sendiri.

Jadi berapa kos untuk membaiki kenderaan?

Sangat tinggi, dan saya tidak terkejut jika banyak syarikat insurans yang menawarkan total lost kepada pemilik-pemilik, terutama kenderaan yang mempunyai nilai jual balik yang rendah seperti Proton Preve/Suprima, kenderaan Korea dan Eropah.
Cuma jangan terkejut selepas beberapa bulan, kenderaan itu akan muncul dalam iklan kenderaan terpakai kerana akan ada bengkel yang boleh ‘membaiki’ kenderaan itu untuk dijual, dan mendapat keuntungan.
Untuk mereka yang mahu ke pusat servis rasmi, kosnya jauh lebih tinggi, walaupun syarikat seperti Perodua membantu dengan memberikan diskaun alat ganti sehingga 50 peratus.
Ini kerana sebagai pusat servis rasmi, mereka membeli alat ganti dari sumber rasmi, dan cukai untuk alat ganti di Malaysia memang lebih tinggi berbanding negara-negara jiran kita.
Saya dahulu pernah memiliki kereta Chevrolet, dan rela masuk ke Thailand untuk membuat servis besar kerana kos yang lebih rendah dan stok yang tersedia.
Pusat servis juga membe­rikan waranti untuk alat ganti mereka, bagus tetapi ini menambahkan lagi kos.
Kenderaan sekarang jauh lebih canggih, dan canggih bermakna ia penuh dengan kelengkapan elektronik. Kelengkapan elektronik tidak akan dibaiki jika kita ke pusat servis rasmi – ia akan terus diganti.
Sama juga dengan beberapa komponen lain kerana pusat servis tidak direka untuk membaiki, tetapi lebih kepada mengganti. Ini lebih mudah dan lebih cepat, serta lebih murah sebenarnya kerana pusat servis ada bayaran caj buruh.
Bengkel luar lebih terbuka dan bebas, dan anda boleh berbincang apa yang patut dilakukan mengikut bajet anda. Cuma ada perkara yang lebih baik diganti dari dibaiki, dan ini boleh dibincangkan dengan pengusaha bengkel.

Berapa Bajet?

Saya kira, bajet dalam RM10,000 sehingga RM50,000 adalah normal untuk membaiki kenderaan yang ditenggelami banjir. Banjir bukan bermaksud air, tetapi lumpur yang membawa onar kepada banyak komponen.
Dan kerosakan akibat banjir selalunya berpanjangan – bermakna akan ada kerosakan yang muncul di kemudian hari.
Apa yang saya cuba sampaikan adalah banjir benar-benar mampu merosakan sebuah kenderaan ke tahap maksimum.
Di dalam senario yang mana mangsa banjir terpaksa berfikir akan kemusnahan teruk kepada tempat tinggal mereka, pihak kerajaan sepatutnya boleh memikirkan cara-cara lain untuk membantu rakyat membaiki kenderaan yang rosak teruk.
Di sini saya terus terfikir peristiwa Mac 2021 lalu di mana Malaysia mencatat pendaftaran motosikal tertinggi dalam sejarah negara. Sebanyak 85,466 unit motosikal didaftarkan, berban­ding dengan kelaziman biasa dalam 55,000 unit sebulan.
Pemain industri yang saya hubungi berpendapat, kenaikan jualan itu disebab­kan oleh i-Sinar, yang mana ramai yang mengeluarkan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menjana ekonomi. Saya sebenarnya tidak begitu bersetuju wang caruman KWSP dibenarkan pengeluarannya tanpa sebarang tapisan, kerana mana tahu akan ada bencana yang lebih besar dan ramai yang benar-benar memerlukan bantuan.
Mungkin untuk mang­sa banjir yang tidak meng­gunakan pakej-pakej i-Sinar itu dibenarkan untuk mengeluarkan caruman mereka kerana beban yang ditanggung mereka bukannya seribu dua, tetapi puluhan ribu ringgit.

PENULIS ialah Penganalisis Automotif

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya