Pada 31 Disember lalu, iaitu dalam tempoh tidak sampai seminggu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengumumkan empat bahan mentah termasuk ayam di Semenanjung akan mengalami penurunan harga berkuat kuasa esoknya, iaitu 1 Januari 2022.
Selain ayam, penurunan harga juga melibatkan telur, sawi serta kacang panjang. Harga itu turun menerusi Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM). Skim ini dilaksanakan bagi memastikan keberadaan barangan tersebut dalam pasaran serta harga yang bersesuaian mengikut situasi dan faktor tertentu.
Dan sebelum itu juga rakyat diberitahu bahawa harga maksimum ayam standard ditetapkan RM9.30 sekilogram bagi jualan runcit dan RM8 sekilogram untuk pemborong di Semenanjung, kecuali Langkawi.
Bagaimanapun tidak sampai beberapa hari, Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kelmarin memberitahu, rakyat perlu bersedia dengan kenaikan harga siling ayam yang dijangka berlaku awal bulan depan selepas tamat SHMKM.
Katanya, ini berikutan golongan penternak terbeban dengan kos operasi dan harga dedak import ketika ini.
Ramai yang terpinga-pinga. Pula dah! SHMKM pun ada tamat tempoh. Hanya sebulan. Macam barangan pula. Lepas tamat tempoh tidak boleh digunakan lagi atau kena perbaharui? Ini dah macam lesen pula.
Tentunya memberi alasan kementerian itu sedang mencari mekanisme menurunkan harga dan meminta supaya semua bersabar serta faham ketika ini, ia agak sukar untuk diterima oleh orang ramai. Maknanya setiap kali harga barang naik, rakyat diminta bersedia. Bersedia apa? Bayar lebih atau bersedia untuk tidak makan atau guna barangan mahal itu? Apa pun, pusing-pusing pengguna juga kena hadap.
Hakikatnya, yang hendak didengar rakyat ketika ini sudah tentulah cara-cara untuk mengatasi isu kenaikan harga. Meminta faham dan bersabar, ia boleh mengundang kemarahan. Iyalah kenaikan harga barang ketika ini umpama yo-yo, sekejap naik, sekejap turun. Tetapi bila dah naik, turunnya lambat atau tak turun-turun terus.
Dan apabila semua barang naik, tak ada pun dengar saranan agar gaji pekerja dinaikkan selari dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Bukan setakat itu, ada pula menteri yang membandingkan kenaikan harga barang di negara ini dengan negara lain dan mengatakan kenaikan harga di negara ini masih dalam keadaan baik dan terkawal. Walhal negara yang disebut-sebut harga barang melambung itu adalah antara negara berpendapatan tinggi di dunia.
Sukar juga hendak diterima ketika ini, kita masih tiada mekanisme pelan luar jangka, untuk menangani kenaikan harga ayam. Ini kerana sejak dulu lagi ayam mengalami turun naik harga. Setiap kali harga naik, mekanisme penurunan sedang diteliti. Tak akan sampai sekarang pun mekanisme itu tidak ditemui.
Mendengar cakap penternak dan pengeluar saja, sampai bila pun mereka asyik kata rugi. Tak pernahnya untung.
Pada masa sama, ramai juga tidak faham kenaikan harga ayam nanti dikatakan tidak akan membebankan pengguna. Mana ada apabila barang mahal, ia tidak menjejaskan kos sara hidup pengguna. Kecualilah untuk golongan kaya raya.
Seingat saya juga, pada bulan lalu kerajaan membenarkan ayam sejuk beku dari luar negara berada di pasaran sebagai langkah menurunkan harga bekalan itu. Bagaimanapun, kebenaran untuk mengimport ayam itu hanya untuk tempoh tiga bulan bermula Disember lalu sehingga bulan depan.
Jadi itulah, agaknya mekanisme yang ada untuk menurunkan harga ayam. Dan betullah harga ayam akan naik awal bulan depan selepas tamat import ini dan ia pun sama tamat tempohnya dengan SHMKM. Macam berpakat pula.
Kata seorang kawan, selepas ini orang marhaen macam kita, tak bolehlah makan telur dengan kicap saja. Telur pun dah naik harga. Masalahnya, kalau makan nasi dengan kicap, kicap pula naik harga macam mana? Nak makan angin? Lagi banyak belanja.
Tentunya ketika ini petunjuk prestasi utama (KPI) KPDNHEP sebenarnya sedang dinilai oleh rakyat. Jangan nanti semuanya habis hanya kerana ayam.
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.