“SEKARANG ini memang serabut sangat nak fikir kak. Rumah rosak. Kenderaan habis. Nak kena beli balik perabot dan barang elektrik serta buat wiring rumah lagi. Risau juga yang terendam lama ini bahaya.
“Ini simen semua terkeluar kak. Banyak benda nak baiki. Tak berada di tempat kami, tak rasalah betapa susahnya mangsa banjir sekarang ini.
“Tulislah kak, mana kami nak ‘cekau’ duit. Nak keluar duit sendiri pun susah kak. Kena pinjam sana sini pula.”
Itu kata salah seorang mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam kepada saya baru-baru ini. Saya angguk. Faham. Saya fikir tiada kata yang dapat menenteramkan dia. Hendak sebut perkataan sabar daripada mulut saya pun bagaikan tersekat di kerongkongan. Saya simpan saja perkataan itu.
Tetapi kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi jaminan dan menambah lagi pemberian wang tunai kepada mangsa banjir hingga boleh mencecah RM10,000 bagi setiap ketua rumah manakala yang mengalami kemusnahan kediaman, jumlah bantuan boleh mencecah sehingga RM61,000 bagi setiap keluarga. Ini tentu memberi kelegaan kepada mangsa banjir.
Ya, saya juga warga Shah Alam. Sudah lebih 10 tahun saya menetap di bandar raya ini. Memang sering berlaku banjir kilat di ibu negeri Selangor ini apabila hujan lebat. Tetapi selalunya cepat surut. Bagaimanapun, pada banjir besar dua minggu lalu, ia sesuatu yang tidak dijangkakan. Ramai terkandas dan bermalam di Lebuhraya Persekutuan. Semua jalan masuk ke Shah Alam terpaksa ditutup. Shah Alam sudah macam pulau ketika itu.
Dulu pada 2006, saya turut terlibat dalam banjir besar di Shah Alam. Saya dan wartawan Zaini Raban serta jurugambar Fauzi Baharudin ketika itu membuat liputan bencana tersebut dan berita itu dimuatkan di muka depan Utusan Malaysia pada 27 Februari 2006 bertajuk – Shah Alam banjir besar – Paling buruk dalam tempoh 10 tahun.
Dan saya ingat, selepas itu saya pernah menulis. Bandar raya Shah Alam yang dihebohkan sebagai bandar raya terancang, boleh menjadi bandar raya terancam jika isu banjir tidak dapat diselesaikan segera. Tetapi ketika itu ramai yang marah-marah. Kata saya tulis ikut sedap mulut.
Sekarang ini selepas kejadian dua minggu lalu, kalau hujan sedikit pun warga Shah Alam berasa sangat bimbang. Fobia. Takut banjir berulang lagi. Baru saja mereka mengemas rumah dan sampah sarap masih membukit. Bau haring dan busuk juga masih pekat merodok hidung.
Tetapi isu yang ingin saya ingin tekankan di sini bukan pasal punca banjir. Yang terancang dah terbukti sekarang terancam kerana banjir kali ini telah meragut banyak nyawa dan kemusnahan.
Isu yang ingin saya tekankan di sini adalah mempermudahkan pengagihan bantuan wang tunai yang dijanjikan itu.
Jangan pula ada banyak kerenah birokrasi yang perlu dilalui untuk menerima wang tunai berkenaan dan lain-lain bantuan itu. Iyalah, kita perlu akui, berurusan dengan beberapa agensi kerajaan ini, kerenah birokrasi memang berpisah tiada. Banyak sangat prosedur dan masa diambil. Kena ambil bercuti berhari-hari. Bukan sehari. Tetapi itulah, bila kita jentik sikit, marah pula.
Ini sudah masuk tahun baru. Kurangkanlah hendak berurusan pun perlu buat temujanji. Semua orang sudah 100 peratus kembali bekerja di pejabat. Bukalah semua kaunter yang ada.
Dan terfikir pula saya, kalau sudah ada pemberian wang tunai sehingga RM10,000 itu, tidak perlulah sampai meminjam bank.
Pembiayaan sehingga RM10,000 dengan peruntukan RM100 juta melalui BSN seperti yang diumumkan baru-baru ini sebenarnya banyak mengundang kemarahan rakyat.
Tak kan hendak dibiarkan orang yang susah ini berhutang lagi pula. Gali lubang, kambus lubang lah. Risau asyik gali lubang saja. Kambusnya tak tahu bila pula.
Dan tidak semua orang boleh meminjam bank. Bank ini berniaga. Ada syarat-syaratnya. Bank mana yang mahu rugi? Ada yang tidak layak memohon. Yang tiada kerja tetap bolehkah? Dan yang disenarai hitam macam mana pula?
Itu yang timbulnya sekali lagi isu mengapa tidak dibenarkan mengeluarkan wang simpanan sendiri dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pencarum yang bakinya mencukupi.
Tetapi perkara itu telah pun dijawab oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Katanya, sehingga kini hampir RM101 bilion simpanan KWSP telah dikeluarkan pencarum melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.
Jelasnya lagi, fakta yang rakyat perlu tahu adalah hampir 50 peratus atau 6 juta pencarum mempunyai baki caruman kurang RM10,000 dan 74 peratus daripada mereka adalah bumiputera. Dengan 6 juta ahli yang simpanannya kurang RM10,00, pencarum itu tidak dapat bersara dengan selamat.
Persoalannya, bagaimana pula yang terkesan dengan pandemik yang hilang kerja dan terjejas pendapatan kerana PKP yang terlalu lama dan kini hidupnya susah, terpaksa berhutang keliling pinggang tetapi ada simpanan dalam KWSP? Adakah menjadi miskin sekarang tidak apa, asalkan hari tua kembali senang?
Betul pengeluaran RM10,000 tanpa syarat daripada KWSP yang diminta rakyat, tidak dapat melangsaikan semua kesusahan dan hutang, tetapi sekurang-kurangnya, ia dapat meringankan beban mereka dan tidak perlu berhutang atau menambah hutang sedia ada.
Logiknya, itu wang simpanan mereka. Wang simpanan adalah untuk masa susah. Bukan wang untuk kesenangan anak cucu sekiranya pencarum sudah tiada.
Yang ada baki mencukupi berilah kelonggaran mereka keluarkan duit itu. Hari tua biar lah dia fikir sendiri. Keperitan sekarang yang kena hadap ini, perlu juga dirisaukan.
Yang perlu dibantu ialah rakyat. Bukan bantu bank. Ada yang sangat memerlukan wang di tangan sendiri ketika ini. Bukan moratorium, bukan baucar atau rebat.
Mereka ini sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang mahu bangkit semula memulakan kehidupan baru. Laluan mereka tentu sukar, jangan menyukarkan lagi.
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.