MUKADIMAH
PRESIDEN Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), MOHD. AZMI ABDUL HAMID pernah dicap tidak sehaluan dengan pemerintah. Barangkali kerana cara pembawaan beliau yang nampak ‘kontradik’.
Suatu ketika awal 1990-an, beliau memperjuangkan nasib penduduk Singkir dan Yan melawan satu projek kontroversi di Kedah. Ia melibatkan usaha merencanakan pengambilan tanah yang tidak adil.
Perjuangan Mapim, katanya yang mesra disapa Cikgu Azmi adalah mengangkat isu dan memperjuangkannya. Kepada Cikgu Azmi, perjuangannya menongkah arus kerana ‘arus yang kini berjalan telah terkeluar dari sibghah (acuan)’. Mapim mahu menjadi pencorak yang melakar arus itu yang harus diperdanakan di pentas umat dan kemanusiaan.
Wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL membawakan pemikiran beliau ketika ditemui di ibu pejabat Mapim, Shah Alam, Selangor, kelmarin, untuk mengulas perihal kemelut politik tanah air yang tampak macam tidak ada sudahnya.
UTUSAN: Ada pihak mahu reset atau reformasikan demokrasi dan politik Malaysia ke arah lebih baik. Mampukah?
MOHD. AZMI: Reset macam mana pun, kalau anda reset tidak ada hala takkan ke mana. Bunyinya reset tetapi ia hendak ke mana? Reset anda punya cauvinisme, anda punya pemikiran, gila kuasa. Kalau tiada reset, itu menghancur.
Reset itu adalah seperti Allah kata begini, iaitu rangka kerja khaira ummah, ummatun wahidah (umat yang satu), itu rangka kerjanya.
Tetapi hendak didik orang politik ini payah, kacau. Sebab dia ada hal masing-masing. Tetapi ini penting sebab puak-puak kita tidak boleh lepaskan jawatan sebab nampak dia (kuasa) atas. Yang jadi kacau, kita (rakyat) di bawah sebab kita yang tanggung. Termasuk birokrasi pun hancur.
Apa risikonya?
Sekarang bahayanya bukan sahaja defisit kepercayaan, tetapi defisit kepada birokrasi, dengan permainan puak-puak atas ini, habis lingkup. Yang tinggal di bawah, kita yang dikatakan rakyat. Apabila sehingga istilah rakyat telah disalah guna, semua bercakap pasal rakyat tetapi hakikatnya bukan.
Sebab itu saya tulis satu buku bertajuk Rakyat Celik Politik.
Rakyat bagaikan ular sawa yang nampak tidur. Sekali bangkit dia ‘amuk’. Masyarakat bawahan perlu diperkukuhkan masyarakat sivilnya, sebab itu perlu ada satu lagi lapisan pentadbir, iaitu satu lapisan pemikir atau akademik dan para ulama.
Lapisan birokrasi yang memiliki sistem sendiri yang dikatakan ditentukan oleh Parlimen, tetapi Parlimen menjadi gelanggang ahli politik tak habis-habis.
Apa usaha merencanakan negara yang lebih baik?
Kita mesti tonjolkan satu istilah daulah toyyibah, iaitu negara baik. Kita terap unsur-unsur ke arah negara baik melibatkan keseluruhannya.
Di dalamnya, semua bangsa duduk sekali. Mengenali bangsa majoriti dihormati dan meletakkan hak minoriti. Tidak boleh terlepas pandang senario sekarang yang bersifat interaktif hari ini. Apa yang berlaku di Laut China Selatan dan gelanggang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu? Ada sebuah buku yang akan saya cetak hujung bulan ini berjudul Menjejaki pengaruh Israel di Asia Tenggara. Di dalamnya saya huraikan semua kedutaan mereka berada, apa agendanya, apa perdagangan sudah masuk.
Kita ini cuma tinggal tiga sahaja iaitu Brunei, Indonesia dan Malaysia. Dan ada pula negara Islam tertentu hendak beritahu Indonesia, berbaiklah dengan Tel Aviv, buat apa hendak lawan. Ini dipanggil normalisasi. Kalau dapat Indonesia, negara Muslim terbesar ini, lagi mudah sebab rantau di sana itu sudah tiada apa. Sebab kubu terakhir adalah di sini (rantau Asia Tenggara). Lebih 300 juta orang Islam ada di sini.
Lebih ramai adalah di sini, kalau dikuasai, habislah. Saya lihat sumber, perdagangan, pembelian senjata dan teknologi maklumat (IT) kita ambil. Saya fikir tak lamalah ini kalau kepimpinan kita tidak kuat. Bahkan, ada yang cakap, kita terima jugalah Israel. Kalau tak terima, nanti tidak dibenar adakan acara dunia jika Israel tidak dibenarkan masuk.
Pihak berkenaan boleh kata kena pertimbangkan. Sekarang sudah ada 28 badan bukan kerajaan membantah. Kedaulatan mesti kita pertahankan.
Tapi kita sibuk berpolitik. Apa natijahnya?
Pemikiran politik di Malaysia sangat tidak mengarah kepada lebih baik tapi menjadikan politik alat perebutan. Politik adalah pertandingan, iaitu politik kesatuan. Politik perpaduan itu retorik di peringkat atas atau bawah.
Politik bersifat amali itu pula lagi parah. Ambil sahaja parti internal, untuk bersepak terajang. Kalau tiada duit, jangan masuklah. Kalau amalan begitu sudah mendarah daging, bahaya, itu real politic.
Adapun politik yang bersifat disiplin bukan sebab kepartian, sebab politik tidak boleh lepas daripada kehidupan. Politik itu sebahagian kehidupan. Apabila kita bangun pagi, kita hendak hidupkan elektrik, ditentukan tarif itu. Itu adalah politik. Jadi, buka mata politik sudah ada.
Maka kata Dr. Yusuf al-Qaradawi, kalau dalam solat ada politik. Kalau sebut maliki yaumiddin, ada sebut istilah kerajaan. Jadi, politik sebagai disiplin tidak boleh elak. Tetapi politik sebagai disiplin ini telah dirosakkan.
Jadi, yang ada sekarang real politic adalah politik kesukuan, politik rasis, politik popular itu nampak. Saya tengok parah.
Maksudnya politik ini satu bayangan ‘fokus kuasa’?
Kuasa yang menentukan nasib orang. Itu yang parah. Baru-baru ini saya jumpa seorang presiden parti. Saya kata fungsi wakil rakyat tidak harus hanya dimaksudkan sekadar buka pusat khidmat wakil rakyat. Sehingga macam-macam orang minta, itu ini, tulis surat bantuan. Tetapi wakil rakyat sebenar bermaksud dia memimpin. Saya tidak nampak mana-mana wakil rakyat yang membentuk masyarakat di kawasan mereka. Dia cakap waktu kemuncak, dia syok, tetapi yang betul-betul bila ada masalah macam mana dia kendalikan? Kenapa tiada pemikiran itu?