Sistem kuno, pelanggan letih - Utusan Malaysia

Sistem kuno, pelanggan letih

Orang ramai mendapatkan khidmat urusan di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, selepas pengumuman kebenaran beroperasi berkapasiti penuh dan membuka kaunter urusan secara ‘walk in’ pada September lalu. – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA yang bertanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah lama berakhir, tetapi kenapa ada urusan membabitkan kaunter perkhidmatan tidak kiralah sektor awam atau swasta masih menggunakan temu janji dalam beberapa urusan?
Semua pejabat pun sudah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 100 peratus. Ada lagikah yang masih bekerja dari rumah?
Jalan raya pada waktu puncak terutamanya, pagi dan petang begitu sesak. Pusat beli-belah macam biasalah penuh. Begitu juga dengan pusat pelancongan. Anak-anak pun sudah lama bersekolah seperti biasa. Semua telah balik ke asal.
Pilihan Raya Negeri (PRN) juga sudah nak masuk dua kali diadakan sejak PKP 3.0 berakhir. Melaka telah selesai dan tak lama lagi Sarawak. Tak pula bising-bising pasal penjarakan sosial, pematuhan SOP, bersesak dan tiada sangat cakap-cakap pasal kluster PRN. Jadi soalnya, bersesak untuk urusan yang penting tak akan tak boleh pula?
Bank contohnya, boleh walk in tapi pada masa sama ada urusan yang perlu ada temu janji. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga begitu, ada perkhidmatan yang boleh terus pergi ke kaunter dan ada yang hanya boleh melalui temu janji.
Ramai yang mengeluh dalam media sosial terutamanya urusan JPN hendak buat temu janji pun slot semuanya penuh. Sudahlah mahu dapatkan tarikh dan masa temu janji itu payah, tiba hari ditetapkan sampai di sana beratur panjang juga. Serupa tak buat temu janji.
Dikatakan JPN sudah ada lima perkhidmatan boleh dilakukan secara talian (eServices). Tapi ramai yang tidak tahu. Lima perkhidmatan dalam talian itu adalah permohonan pendaftaran kelahiran, kad pengenalan 12 tahun, gantian MyKad, cabutan daftar kad pengenalan dan permohonan pendaftaran perkahwinan.
JPN sepatutnya memberi maklumat terperinci dalam Facebook dan Twitternya mengenai perkhidmatan secara online ini. Bukan asyik beri info penutupan JPN cawangan itu di sana sini untuk sanitasi dan tiada respons apabila orang ramai bertanyakan soalan di situ. Ada laman sosial, berinteraksi lah dengan orang ramai.Itu gunanya laman sosial.
Saya tidak ada pengalaman buruk dengan JPN. Saya puji JPN Shah Alam yang terletak di Plaza Masalam yang perkhidmatannya cepat dan pekerja-pekerjanya ramah tamah. Sudah beberapa kali saya berurusan di situ. Tetapi itu sebelum PKP lah.
Selepas PKP keadaan mungkin berubah. Banyak urusan tertangguh dan kena beratur panjang. Bukan saja JPN, banyak perkhidmatan kaunter lain yang pelanggan terpaksa tunggu berjam-jam di luar.
Memang betul PKP telah membuat banyak urusan tertunggak. Antaranya daftar kelahiran, daftar kematian dan urusan melibatkan Mykad. Tapi bukankah JPN kini sudah ada lima perkhidmatan online itu. Adakah ia susah untuk diakses oleh orang ramai dan perlu datang ke kaunter juga?
Baru-baru ini pula, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, sistem perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedia ada berusia lebih 10 tahun kuno dan perlu dimodenkan selari dengan era digitalisasi.
Beliau yang melakukan lawatan mengejut ke JPJ Johor turut menegur agensi itu agar memantau kesesakan yang berlaku di situ.
Kita sebenarnya tidak boleh menyalahkan kakitangan awam yang bekerja di JPN atau JPJ. Yang salahnya, sistem perkhidmatan yang tidak begitu membantu orang ramai. Kita bukan hidup dalam zaman kuno lagi.
Jika urusan boleh dibuat secara online, pastikan sistem tidak sering tergendala dan mudah diakses. Selain itu, janganlah separa digital yang mana akhirnya kena berurusan di kaunter juga. Kelemahan sistem online dan kerenah birokrasi bila bergabung, pelangganlah yang letih.
Betul urusan temu janji memang memudahkan pekerja dan pelanggan kalau segala-galanya lancar. Lancar bermaksud, slot temu janji dalam laman web mudah diisi dan tidak perlu beratur panjang lagi sebab sudah ada temu janji.
Permudahkanlah jangan menyusahkan – ayat ini memang selalu diperkatakan tak kira pemimpin atau orang biasa-biasa, tapi rupanya paling susah nak buat. Betul lah, cakap memang senang.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya