Siapa yang buka lampu itu? - Utusan Malaysia

Siapa yang buka lampu itu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Assalamualaikum kepada semua pembaca sekalian. Di sini saya ingin berkongsi pengalaman menyeramkan yang pernah saya lalui satu ketika dahulu. Kisah ini berlaku ketika saya bertugas sebagai pembantu tadbir di sebuah syarikat perkapalan di Selangor pada awal tahun 2000 lalu.
Ketika baru memulakan tugas memang saya ada terdengar tentang cerita-cerita yang kurang enak berlaku di pejabat tempat saya bekerja ini. Pada mulanya saya tidak ambil pusing sangat kerana sebagai pekerja baharu rasa segan pula nak menyampuk dan bertanya, nanti orang kata busy body pula, jadi saya hanya pasang telinga dengar sahaja.
Menurut cerita rakan setugas, kawasan pejabat tersebut agak ‘keras’. Kata mereka ramai yang telah terkena pelbagai gangguan dan tak kurang juga ada yang terserempak dengan jelmaan. Saya berdoa dalam hati agar dihindari daripada perkara sedemikian. Maklumlah saya juga bukanlah kategori lelaki berani.
Saya selalunya pulang dari pejabat sekitar pukul 10 malam. Memang tabiat saya suka pulang lewat kerana selain dapat mengelakkan kesesakan jalan raya di waktu puncak, saya juga dapat membereskan kerja-kerja tertangguh. Dan sebelum pulang pula saya akan makan malam dahulu di gerai berhampiran. Memang begitulah rutin saya sebagai orang bujang setiap hari.
Pejabat saya terletak di tingkat 10. Jika sudah malam memang keadaannya lengang dan sunyi. Tetapi kerana sudah biasa dengan keadaan sedemikian, saya tidak pernah rasa janggal dan takut.
Namun segalanya berubah pada suatu malam. Perkara yang berlaku di luar jangkaan. Waktu itu saya baru selesai makan malam dan masuk semula ke pejabat untuk mengambil beg dan menutup komputer.
Tetapi sebaik sahaja saya buka pintu dan melangkah masuk ke pejabat saya tergamam. Kelihatan lampu di bilik mesyuarat menyala terang. Perlahan saya tinjau kalau-kalau ada rakan lain yang menggunakan bilik tersebut, namun bilik tersebut ternyata kosong.
Saya melangkah perlahan-lahan di sekitar ruang pejabat yang luas itu. Namun tidak nampak kelibat sesiapa. Saya kembali ke meja tutup komputer dan capai beg untuk pulang. Fikir saya mungkin ada rakan-rakan lain yang gunakan bilik mesyuarat itu dan terlupa untuk matikan suisnya.
Selesai mengemas barang-barang, saya kembali ke bilik mesyuarat tersebut untuk menutup suis lampu. Setelah itu saya tutup pintu bilik berkenaan. Namun tidak sampai beberapa saat melangkah, saya perasan lampu di bilik tersebut kembali menyala.
Saya berpaling ke belakang. Kaget seketika. Kenapa pula lampu tersebut menyala. Siapa pula membukanya. Seingat saya memang tiada sesiapa di situ melainkan saya seorang. Dalam hati mula rasa seperti ada yang tidak kena. Serta merta saya teringat perbualan rakan-rakan sekerja sebelum ini.
Ketika fikiran mengelamun memikirkan apa yang berlaku ketika itu, tiba-tiba telinga saya menangkap satu bunyi yang cukup jelas.
Iya, bunyi seperti seseorang sedang mengetuk papan kekunci komputer. Bunyi seakan dihentak-hentak dengan kuat jelas kedengaran. Saya tinjau sekeliling cari arah datangnya bunyi tersebut. Dari jauh mata terlihat sinar terang dari sebuah meja yang terletak di sudut hujung.
“Fuhhh… ada orang rupanya. Kenapalah aku tak perasan tadi,” ngomel saya perlahan.
Saya atur langkah menuju ke arah meja tersebut. Namun sebaik menghampiri, saya tergamam dan matikan langkah. Saya gosok mata berkali-kali. Seakan tidak percaya dengan apa yang dilihat ketika itu.
Jelas kelihatan skrin komputer terang benderang dan bunyi papan kekunci yang seakan di ketuk bertalu-talu dengan jari. Namun tiada sesiapa pun di situ.
Jantung saya seakan ingin luruh dan bulu tengkuk tegak berdiri. Sekali lagi saya teringat perbualan rakan-rakan sekerja tentang pelbagai gangguan yang pernah berlaku di pejabat sebelum ini.
Lamunan saya sekali lagi dikejutkan dengan bunyi kuat berhampiran. Saya toleh ke arah pintu hadapan. Serta merta darah tersirap. Nampak jelas lampu dan bunyi mesin photostat. Seperti seseorang sedang menggunakannya ketika itu.
Bukan itu sahaja, sayup-sayup telinga saya dapat menangkap bunyi seakan hilaian kanak-kanak sedang bermain sambil berbisik-bisik di antara satu sama lain. Saya kuatkan semangat melangkah menuju ke pintu utama.
Sebaik melangkah keluar saya dapat dengar dengan jelas bunyi bising dari dalam pejabat tersebut. Gaya dan hiruk pikuknya tak ubah seperti suasana ketika saya dan rakan-rakan bekerja di waktu siang. Berkali-kali saya tekan butang lif agar dapat segera meninggalkan bangunan yang menyeramkan ini.
Alhamdulillah, sebaik sampai di kawasan parkir saya lantas hidupkan enjin kereta dan memecut pulang. Ketika itu saya sudah tidak hiraukan keadaan di sekeliling, saya hanya ingin pulang secepat mungkin.
Keesokannya saya tidak datang ke pejabat kerana diserang demam secara tiba-tiba. Saya tahu demam itu ada kaitannya dengan apa yang berlaku malam tadi. Semalaman juga saya tidak dapat melelapkan mata gara-gara memikirkan kejadian itu.
Kisah saya diganggu menjadi topik perbualan rakan sekerja. Masing-masing menghubungi saya kerana ingin tahu cerita sebenar.
“Aku demam bukan sebab takut, tapi sebab terkejut,” kata saya kepada Zahari yang menghubungi saya ketika itu.
“Itulah banyak kali kita dah pesan dengan kau jangan sesekali tunjuk berani nak stayback sampai lewat malam, haa… sekarang kan dah kena,” jawab Zahari sambil ketawa mengekek.
“Tapi nasib baiklah aku hanya diganggu macam itu saja. Kalaulah dibuatnya terserempak dan menjelma betul-betul depan mata, mahu pengsan,” jawabku lagi.
Kami tertawa. Setelah hampir 10 minit berbual akhirnya Zahari minta diri untuk sambung kerja. Sempat juga saya minta dia sampaikan salam buat rakan-rakan lain di pejabat ketika itu.
Betul, saya tidak menyalahkan rakan-rakan sepejabat kerana sebelum ini sudah berkali-kali mereka menasihati agar jangan berada di pejabat sehingga larut malam, malah saya akui apa yang terjadi malam semalam adalah berpunca daripada kesilapan sendiri.
Cuma saya kena akui apa yang berlaku ini mungkin ada hikmahnya. Ketika ini saya juga harus percaya selain kami memang ada makhluk lain yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Tetapi jika tidak bernasib baik tak mustahil akan terserempak dengan ‘mereka’. – Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya