Premium insurans naik, tiada siapa peduli? - Utusan Malaysia

Premium insurans naik, tiada siapa peduli?

SEBANYAK 80 peratus rakyat negara ini mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. – UTUSAN/ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BERLAKU peningkatan aduan oleh pengguna mengenai premium insurans kesihatan mereka yang melambung tinggi dalam tempoh beberapa tahun lalu berpunca daripada peningkatan bayaran perubatan dikenakan oleh hospital swasta.

Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2019 menyatakan, analisis data tuntutan insurans antara 2013 hingga 2018 menunjukkan perkhidmatan dan bekalan hospital membentuk komponen terbesar kos tuntutan, iaitu lebih 50 peratus daripada bil perubatan.

Walaupun terdapat garis panduan untuk pengamal perubatan swasta dalam mengenakan yuran profesional, ia tidak melibatkan perkhidmatan dan bekalan hospital terdiri daripada barangan seperti pengimejan, ujian makmal, ubat-ubatan, perawatan dan peralatan perubatan seperti ventilator serta mesin dialisis.

Kementerian Kesihatan perlu menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya kerana ia telah menjadi aduan biasa dalam kalangan pengguna yang mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Dalam pada itu, laporan tahunan sama menyatakan, tuntutan insurans kesihatan perubatan (MHI) berkembang 11.6 peratus setahun antara 2016 dan 2019.

Ia menyatakan bahawa peningkatan tuntutan terus mendahului peningkatan dalam premium insurans yang berkembang secara purata 9.5 peratus setahun.

Menurut tinjauan global mengenai trend perubatan pada 2019, kos perubatan di Malaysia antara yang tertinggi di Asia Tenggara.

Jika ini berterusan, akan sampai masa orang ramai tidak lagi mampu untuk membayar insurans kesihatan dan pemegang polisi insurans sedia ada mungkin membiarkan ia luput.

Dilaporkan dalam media massa, 80 peratus rakyat mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Bilangan pesakit yang pergi ke hospital swasta pula menurun kepada 70 hingga 80 peratus pada tahun lalu.

Senario seperti ini tidak memberikan manfaat kepada negara memandangkan hospital swasta bakal mengalami kemerosotan jumlah pesakit berikutan orang ramai tidak lagi mampu untuk mendapatkan rawatan manakala hospital kerajaan akan berlaku kesesakan.

Dalam perkembangan lain, kerajaan memperuntukkan RM25 juta kepada Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) sempena Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020.

Dipercayai peningkatan kos rawatan di hospital swasta adalah akibat mempromosi pelancongan kesihatan.

Sepatutnya keutamaan diberikan untuk menambah baik sistem penjagaan kesihatan awam kita, bukannya membantu hospital swasta memaksimumkan keuntungan dengan merawat pelancong kesihatan asing.

Menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik adalah kewajipan bagi kerajaan dalam memenuhi hak asas rakyat kita terhadap kehidupan.

Sementara itu, cara untuk menurunkan kos kesihatan dalam jangka masa panjang adalah dengan mencegah penyakit serius.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mengenal pasti tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi sebagai tiga penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menyebabkan orang ramai ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan.

Kira-kira 6.4 juta orang dewasa di Malaysia menghidap tekanan darah tinggi, 3.9 juta diabetes dan lapan juta dengan peningkatan kolesterol.

Dengan bersenam, mengekalkan diet seimbang, berhenti merokok, mengelakkan minuman dan makanan bergula serta beralkohol, risiko NCD boleh dikurangkan secara drastik.

Selain itu, kerajaan perlu menggunakan ‘cukai dosa’ daripada minuman bergula, tembakau, alkohol dan judi untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan menaik taraf hospital awam.

MOHIDEEN ABDUL KADER, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya