Perang ayam, siapa yang untung? - Utusan Malaysia

Perang ayam, siapa yang untung?

BEKALAN import ayam sejuk beku dari China dan Thailand akan tiba di negara ini, esok. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAIKAN harga ayam yang kerap diperkatakan bukan bersifat tempatan. Malah isu sama membelenggu pasaran di seluruh dunia, baik Barat mahupun Timur.

Begitu juga faktor yang dikaitkan adalah kenaikan harga dan kekurangan bekalan dedak serta tenaga kerja ditambah permintaan tinggi terhadap sumber protein kegemaran ramai itu selepas ekonomi kembali rancak. Di sebalik kenaikan harga adalah keputusan mengejutkan kerajaan untuk membenarkan import ayam sejuk beku dari luar negara termasuk China dan Thailand.

Mengimport ayam sejuk beku sudah lama dibenarkan kerana permintaan dalam industri produk hiliran termasuk burger, hot dog, daging cincang dan sebagainya. Namun kali ini, kebenaran yang diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri dikemukakan sebagai salah satu cara untuk menstabilkan atau menurunkan harga ayam di pasaran yang ironinya sudah dikawal melalui Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan sehingga hujung tahun ini.

Bukan sesuatu di luar jangkaan apabila keputusan kerajaan itu mengundang rasa kurang senang mereka yang terlibat dalam industri ayam daripada penternak, pemborong sehingga peniaga kecil. Apa yang dibimbangi adalah lambakan ayam sejuk beku import akan membunuh industri tempatan itu sendiri terutama dalam kalangan peniaga kecil yang tidak mungkin dapat bersaing dengan pasar raya besar.

Persoalan lain, adakah langkah mengimport ayam sejuk beku terutama dengan pemberian permit import (AP) kepada syarikat tertentu mampu menstabilkan harganya?

Adakah dasar antilambakan akan dikuatkuasakan bagi memastikan kos ayam import juga stabil dan tidak membebankan pengguna?

Dalam erti kata lain, apakah kerajaan bersedia untuk mengawal peperangan ayam tempatan dan ayam import yang dilihat mungkin berterusan membebankan rakyat?

Walaupun import ayam dijanjikan hanya bersifat sementara iaitu tiga bulan, namun dalam tempoh singkat itu, adakah ia sedikit pun tidak akan menggugat industri ayam tempatan?

PROTES

Sabtu lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengumumkan ayam sejuk beku dari China dan Thailand akan tiba esok, iaitu sebanyak 9,600 tan dengan harapan harga ayam tempatan akan turun. Namun percaya atau tidak, desas-desus dalam kalangan penternak bahawa kebanyakan syarikat berkaitan sudah bercadang untuk mengurangkan kemasukan ayam di ladang sejak pengumuman mengimport ayam sejuk beku dibuat.

Dalam erti kata lain, andai perkara ini benar, kekurangan bekalan ayam tempatan akan berlaku dalam tempoh beberapa bulan lagi sekali gus mengakibatkan harganya kembali tidak stabil. Yang pasti, perang ayam tempatan dan ayam import sama sekali tidak menguntungkan pengguna walaupun dasarnya untuk memastikan harga ayam stabil di pasaran.

Ketepikan persoalan halal kerana kerajaan sudah memberi jaminan tentang perkara itu, namun tarik tali antara semua pihak terlibat hanya mengeruhkan keadaan. Percaya atau tidak, isu harga ayam ini juga mengakibatkan kacau-bilau di Indonesia apabila berlaku beberapa siri protes dan demonstrasi dalam kalangan penternak ekoran tindakan kerajaan menetapkan harga barang itu di bawah kos pengeluaran.

Namun di Malaysia, isu ini masih boleh diselesaikan secara berhemah antara semua pihak. Di sebalik kemelut dan polemik, sesuatu yang pasti, industri ayam tempatan juga memerlukan pertolongan terutama dalam menyelesaikan kenaikan makanan ternakan, dedak di pasaran, bukannya persaingan dengan melambakkan ayam import.

Banyak negara membuktikan mengimport ayam sejuk beku untuk memenuhi permintaan pengguna bukan suatu langkah terbaik, sebaliknya mendedahkan kepada lambakan, kenaikan tarif import dan ‘pembunuhan’ industri tempatan terutama ketika kemasukannya tidak dapat dikawal.

Kesimpulannya, langkah kerajaan adalah semata-mata untuk menstabilkan pasaran terbuka ayam, bukan menjana keuntungan pihak tertentu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya