Pas ‘sembang’, gajah pun boleh terbang - Utusan Malaysia

Pas ‘sembang’, gajah pun boleh terbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADAKAH dalam politik Malaysia dalam waktu terdekat, perlu difikirkan oleh parti politik tertentu secara drastik sesuatu di luar kotak? Jajaran baharu, misalnya?

Memerhati tindak tanduk politik Pas, saya terpana dengan kata-kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub, “Pas banyak kitab yang mereka boleh ubah pendirian politik mereka.” Apakah agaknya nanti kesan dan akibatnya yang hinggap kepada parti-parti yang berkawan atau bersekongkol dengan Pas?

Sejarah Pas bila berkawan dengan parti-parti lain ibarat satu perkahwinan. Dia berkahwin dengan Puan A, dia bergaduh, kemudian cerai. Selepas itu, bernikah dengan Puan B, samalah juga, berpisah. Tak serik-serik, kahwin pula dengan Puan C, berantakan rumah tangga, bercerai. Jadi, bila tiada yang kekal dalam berumahtangga itu, siapa yang bermasalah?

Politik Pas dikatakan lebih pragmatik daripada parti-parti politik sekular. Pas memang pecah rekod sebagai parti paling banyak kerjasamanya dengan parti lain, kiranya Pas menjuarai. Dia akan bersandar pada parti yang dapat beri keuntungan dan kemenangan yang cepat.

Kepada parti-parti yang disandarkan harapan oleh Pas itu amat malang sekali. Yang ditumpangi Pas, semuanya kecundang. Dia ‘berkahwin’ dengan PKR dalam empat pilihan raya umum (PRU) 1999, 2004, 2008 dan 2013. Malang sungguh tidak dapat bantu PKR menang. Tapi peliknya tanpa Pas, barulah PKR berjaya mengecap kemenangan pada PRU 9 Mei 2018.

Rakyat barangkali boleh menilai adakah mungkin salah satu sebab UMNO kalah dalam PRU14 apabila ada unsur kerjasama dengan Pas? Biarpun kekalahan UMNO disebabkan pertandingan tiga penjuru, namun bila dicongak-congak, undi diterima calon-calon Pakatan Harapan (PH) waktu itu yang kesemua memakai lambang PKR berkongsi dengan undi penyokong Pas. Sementara sebahagian pengundi Barisan Nasional (BN) pula lari ke Pas. Akhirnya yang solid adalah PH.

BERSEKONGKOL

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu dijangkakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh menang 10 kerusi. Malang disebabkan bersekongkol dengan Pas menerusi Perikatan Nasional (PN), segalanya tak menjadi. Ramai ahli Bersatu tak senang parti itu berkawan dengan Pas menyebabkan Bersatu hanya boleh menang tipis dua kerusi.

Sikap dolak-dalik Pas dalam ijtihad politik inilah yang berlaku apabila mengetepikan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor pada 2014. Sebaliknya bila tiba di ‘selekoh’, Pas pilih Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sejarah pun menunjukkan Pas tunduk mengikut rentak masa dan tempat yang sesuai. Ketika Pas berkira-kira menyertai BN pada 1970-an, Dewan Ulama menentang keras. Namun, pendirian itu kendur setelah Presidennya ketika itu memaklumkan pengagihan anggota Kabinet untuk parti itu, waima harta dan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang diperuntukkan. Dan kalau disuluh pun ideologi Pas, kewajipan menubuhkan negara Islam sudah berubah kepada negara kebajikan.

Adakah hal ini juga menyumbang kekalahan PN di Melaka yang ketara sikap flip-flop atau tidak tetap pendirian Pas? Ikut sahaja apa-apa nas dan dalil yang beri keuntungan.

Begitulah juga isu pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan hingga menyebabkan Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah beberapa hari lepas begitu terkejut dengan kenyataan kerajaan Pusat menolak bayaran royalti tunai.

Kenapa hendak alihkan perhatian rakyat Kelantan dengan nada terkejut itu? Dahulu, bolehlah Pas akur kerana berada di blok pembangkang, tapi sekarang Pas dalam kerajaan apa? Berapa menteri Pas dalam Kabinet sekarang? Tiga. Dan bukankah dua daripadanya dari Kelantan iaitu Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian) dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan(Kota Bharu)?

DRAMA

Dibimbangi nanti jika Pas asyik berdrama, rakyat makin muak. Sementara tidak dapat dipastikan sama ada Mohd. Amar buat-buat lupa ada orang Pas duduk dalam Kabinet, kenapa pula menteri-menteri Pas sunyi sepi sahaja? Jangan lagi masih mahu hidup seperti pembangkang walaupun sudah di Putrajaya tapi bila balik kawasan, lupa diri kita ini menteri.

Akhirnya, kepada UMNO yang masih mengharapkan ihsan Pas supaya kembali semula ke Muafakat Nasional (MN), eloklah UMNO bergerak ke hadapan. Kata orang putih, move on.

Tahniah kepada Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang jelas pendirian dan hala tujunya apabila bercakap isu gunting dalam lipatan dalam temu bual dengan Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Dua perenggan pendirian Presiden UMNO itu yang memberi mesej jelas kepada orang UMNO: “Apabila piagam itu ditandatangani, sedaya mungkin kita pertahankan MN.

Tetapi, jika ada pihak merasakan mereka hanya akan menunggang kuda-kuda yang menang atau kuda-kuda yang dijangka menang, maka apa yang berlaku adalah pengajaran yang harus kita analisis dan buat penilaian.

“Saya fikir modifikasi harus dilakukan kerana realiti politik dan landskap politik telah berubah. Maka untuk UMNO terus relevan sebagai parti yang diterajui orang Melayu mesti mencari hakikat baharu politik.”

Kini terpulang kepada Pas bagaimana untuk terus memainkan lagu politiknya.

Sesungguhnya, orang yang terpedaya dengan kesenangan hidup dunia begitu ramai sekali. Mereka saling membunuh dan memfitnah hanya untuk mendapatkan sedikit kekayaan atau kesenangan daripadanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” (Surah al-Ankabut, ayat 64)

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya