Parti Semenanjung bakal tersungkur - Utusan Malaysia

Parti Semenanjung bakal tersungkur

TAN SRI ABANG JOHARI TUN OPENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FELOW Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir melontarkan ayat ini kepada saya semalam: “Mari kita bertaruh.”

Bertaruh parti mana bakal diberi mandat oleh rakyat Sarawak dalam pilihan raya negeri (PRN) 18 Disember ini untuk memerintah.

Dalam selorohnya itu, saya cukup menghormati Dr. Jeniri yang maklum bisa pemahamannya akan selok belok politik Bumi Kenyalang. Baru-baru ini jangkaannya tepat untuk setiap tarikh penamaan calon 6 Disember, undi awal 14 Disember selain hari pengundian.

Hari pengundian PRN itu nanti melibatkan 1,252,014 orang terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 anggota polis-Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan serta 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Dalam PRN ke-12 ini, GPS dijangka berentap dengan Pa­katan Harapan (PH), Parti Sa­rawak Bersatu (PSB) dan Gabungan Anak Sarawak (Gasak). GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Ikuti pengamatan Dr. Je­niri dalam bual santai saya de­ngannya kira-kira 24 jam men­jelang hari penamaan calon esok.

Boleh menang mudahkah GPS?
DR. JENIRI: Tidaklah boleh menang mudah majoriti dua pertiga, namun saya yakin GPS akan menang.

Kenapa?
Saya bukannya begitu yakin, namun faktor ke arah itu banyak. Pertama, perpecahan akan berlaku dalam pembangkang. Dijangkakan sekurang-kurangnya sembilan parti akan menentang GPS. Walaupun ada sembilan, tapi tentangan utama adalah daripada PSB dan DAP. Parti-parti lain tidak akan beri tentangan sengit termasuk PKR.

PKR tidak kuat lagikah?
PKR sudah lemah sejak berlakunya Langkah Sheraton tempoh hari. Kalau kita tengok Pas yang akan bertanding kali ini, pada PRN11 (2016), sebanyak 1.72 peratus undi sahaja diperoleh parti ini daripada keseluruhan. PKR pula 10 peratus, DAP (20 peratus), Parti Amanah Negara (Amanah) 1.12 peratus serta parti-parti lain kurang daripada 0.5 peratus.

Berdasarkan itu, tentangan parti lain tidak nampak. Parti aspirasi tidak ada jentera akar umbi bergerak menjelang pilihan raya. Calon pula tidak begitu hebat, bagaimana hendak berlawan dengan GPS yang telah bergerak sejak sekian lama dengan jentera akar umbi begitu mantap di seluruh negeri. Tambah lagi calon-calon mereka kebanyakannya penyandang yang sudah dikenali serta melaksanakan pelbagai projek di bawah.

Tapi bukankah waktu 2016 itu BN Sarawak menang besar sampai 72 kerusi?
Ketua menteri sekarang Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah laksanakan 110 inisiatif yang menyentuh pelbagai bidang sejak jadi ketua menteri Januari 2017. Infrastruktur, ekonomi, pendidikan serta kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air, pertanian dan telekomunikasi.

Apa pencapaian beliau?
Banyak yang dalam peringkat kemajuan, antaranya pembinaan jambatan. Berapa lama siap? Bukan siap serta-merta, semuanya sedang berjalan. Bukan sekadar janji sahaja. Sepuluh buah jambatan beliau laksanakan, bukan cakap kosong sahaja. Beliau komited dan bersifat people-centric di luar bandar.

Daripada hasil rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagaimana pula?
Sarawak dapat cukai hasil petroleum. Sejumlah RM7 bilion diraih itu digunakan untuk manfaat rakyat. Harus diingat, ketua menteri telah bentangkan Bajet sekitar RM10 bilion dalam empat tahun berturut-turut. Kira-kira 65 peratus diperuntuk untuk pembangunan luar bandar.

Tentangan bakal dihadapi GPS?
GPS akan ditentang hebat di kerusi-kerusi bandar yang majoriti pengundi Cina. Contohnya di Pelawan, Padungan, Pending dan Bukit Assek. Tak silap ada 16 kerusi.

Apa pula cabaran PSB?
PSB ini dipimpin oleh bekas anggota Kabinet Sarawak. PSB hanya akan mempercepatkan kemenangan GPS. Saya fikir kawasan Melayu-Melanau akan disapu bersih oleh PBB-GPS. Kawasan Bidayuh juga boleh. Cuma ada beberapa kawasan Dayak mungkin berdepan sedikit masalah. Dirumuskan, GPS tiada masalah untuk menang lebih dua pertiga iaitu 55 daripada keseluruhan 82 kerusi.

Sasaran itu adakah menjangkau 72 kerusi (dari PRN 2016)?
Sekurang-kurangnya GPS boleh menang 68 kerusi. Jumlah 68 ini sudah cukup bagus kerana status quo.

Buat julung kali GPS akan pakai lambang sendiri dalam PRN12 ini, bukan lagi lambang BN.
Ya, pertama kali pakai lambang burung kenyalang.

Tak bimbangkah nanti tidak dikenali pengundi?
GPS sejak dilancarkan pada 2018 telah bergerak di akar umbi. Cuma dibimbangi di kawasan luar bandar dalam kalangan mereka tidak celik huruf, golongan tua. PRN kali ini terdapat 10,000 pengundi berusia 90 tahun ke atas dan sekitar 330,000 berumur 60 tahun ke atas. Itu statistiknya. Anggaran pengundi Sarawak keseluruhan ialah 1.125 juta yang mencatat peningkatan.
Jadi, yang penting sekarang untuk pastikan peratusan keluar mengundi itu tinggi. Sekurang-kurangnya ikut sasaran Suruhanjata Pilihan Raya kira-kira 70 peratus. Cecah 60 peratus sudah cukup baik.

UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak bertanding melainkan PKR, DAP, Pas dan Amanah. Apa peluang parti dari Semenanjung kali ini?
Parti Amanah dan Pas tidak akan beri kesan. Mereka akan tewas semua, lenyap.

Sebabnya?
Jentera akar umbi parti-parti ini lemah terutama Amanah yang tidak bergerak. Hanya bertanding dalam pilihan raya sedangkan pada waktu biasa tidak bergerak. Calon tidak berwibawa, tidak dikenali pengundi, muncul ke­­tika pilihan raya macam cen­dawan tumbuh selepas hujan sahaja.

Apa impak PRN12 ini kepada Pusat?
GPS ini bukan entiti parti dari Semenanjung, sekali gus akan membayangkan juga sambutan terhadap PH. Kemungkinan satu faktor GPS boleh menang adalah kesan PH memerintah selama 22 bulan (10 Mei 2018 – Februari 2020). Antaranya, PH batalkan banyak projek termasuk jambatan. Ini menyebabkan orang Sarawak kecewa. Dan paling utama, memungkiri janji yang terkandung dalam manifesto. Mereka berjanji untuk beri royalti minyak 20 peratus dan beri balik cukai daripada Sarawak 50 peratus. Tapi semua ini tidak ditunaikan, lantas menjadikan imej PH tercalar teruk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya