Kritik mengkritik, elak dakwah merugikan - Utusan Malaysia

Kritik mengkritik, elak dakwah merugikan

MUHAMMED YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENJAK pandemik Covid-19 melanda negara pada awal 2020, aktiviti penyampaian dakwah semakin meriah dan rancak berlangsung di alam maya sama ada menerusi aplikasi Facebook, Youtube, TikTok dan sebagainya. Hal ini mewujudkan suasana positif terhadap perkembangan dakwah di Malaysia. 

Ramai dalam kalangan para asatizah atau agamawan yang memanfaatkan peluang keemasan ini untuk menyebarluaskan ilmu dan kefahaman Islam kepada masyarakat. Tambahan pula, peningkatan mendadak terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat turut menyokong usaha ini.

Namun, dalam keghairahan aktiviti dakwah melalui media sosial ini, terdapat beberapa impak negatif antaranya pertama, ramai yang ingin menjadi pendakwah. Oleh itu, ada dalam kalangan individu yang kurang berkelayakan juga rasa berminat untuk berdakwah melalui cara ini kerana ia lebih mudah dan tidak memerlukan kepada tauliah mengajar oleh pihak tertentu sebagaimana penyampaian secara fizikal dan bersemuka. 

Hal ini menyebabkan berlaku lambakan maklumat daripada mesej pelbagai yang bercampur baur antara maklumat yang sahih dan sebaliknya. Situasi ini secara tidak langsung boleh membawa kepada kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Sikap salah faham terhadap hukum berdakwah juga antara punca berlakunya permasalahan ini. Antaranya salah faham terhadap hukum berdakwah secara fardu ain dan menganggap semua berkewajipan walaupun tidak mempunyai kelayakan dan kemampuan. 

Sebagaimana dimaklumi, hukum berdakwah terbahagi kepada dua iaitu fardu ain dan fardu kifayah. Hukum fardu ain merujuk kepada pelaksanaan dakwah adalah wajib ke atas individu tetapi mesti mengikut kemampuan yang ada pada dirinya. Hukum fardu kifayah pula merujuk kepada tanggungjawab tugas dakwah hanya kepada golongan tertentu. Dalam hal ini, al-Shawkani menyatakan, tanggungjawab ini khusus kepada ahli ilmu yang mengetahui apa yang ditegah dan apa yang disuruh.

Selain itu, impak negatif kedua yang merupakan impak besar kepada dakwah yang sangat merugikan iaitu para dai melakukan teguran dan kritikan sesama dai secara terbuka di media sosial tanpa menjaga adab-adab tertentu. Keadaan ini menjadi lebih parah apabila berlakunya balas-membalas terhadap pandangan dan kritikan tersebut. 

Ia secara tidak langsung boleh menimbulkan polemik berpanjangan dan fitnah yang boleh mencemar kesucian agama dan umat Islam itu sendiri. Pada dasarnya, berbeza pandangan dibenarkan dalam Islam dan hendaklah diuruskan dengan sebaik mungkin. 

KELIRU, KABUR

Jika teguran dilakukan secara terlalu terbuka khususnya di media sosial, perkara ini menumbuhkan bibit-bibit kebencian kepada orang yang mendapat teguran dan perpecahan kepada masyarakat secara tidak langsung. Teguran dan kritikan terbuka ini merangkumi pelbagai isu termasuk pertikaian penggunaan sumber yang menjadi rujukan dalam kalangan mereka. Kadangkala teguran terbuka ini dibuat hanya berasaskan klip video yang berdurasi hanya beberapa minit dan mereka terus menghukum tanpa mengguna pakai konsep tabayyun atau tasabbut terlebih dahulu termasuk menghubungi individu tersebut serta pihak berautoriti agama tempatan untuk mendapat kepastian maklumat dan situasi sebenar. 

Jika hal sedemikian terus berlaku dalam kalangan para dai, maka sudah pasti hasil dakwah yang diharapkan tidak akan kesampaian. Malahan juga rasa hormat sesama dai turut luntur dan hilang keyakinan dalam kalangan masyarakat. Situasi tersebut juga boleh membawa kesan langsung kepada masyarakat Islam khususnya mereka menjadi semakin keliru, kabur dan kurang yakin dengan maklumat diterima disebabkan berlakunya pertikaian sesama dai. Hal ini sangat merugikan dan kesannya tidak boleh membawa perubahan kepada masyarakat.

Dalam penyampaian dakwah, sewajarnya apabila sesuatu lontaran mesej diberikan kepada mad’u (sasaran), hasilnya daripada seorang yang jahil menjadi berpengetahuan, daripada kabur kepada kejelasan dan daripada keliru kepada berkeyakinan.

Situasi ketidaksepakatan para dai dalam sesuatu isu dan disusuli dengan tuduhan dan kritikan yang kurang beradab sesama mereka secara tidak langsung boleh menggagalkan usaha dakwah kepada masyarakat bukan Islam. Hal demikian ini kerana pemerhatian mereka kepada situasi sebegini boleh menggambarkan perpecahan dan bukannya perpaduan dan menampakkan mereka sifat kebencian dan bukannya kasih sayang. Ini sangat merugikan usaha dakwah yang sepatutnya menjadikan mereka lebih berminat kepada agama Islam.

Kesimpulannya, sekiranya berlaku perbezaan pandangan dalam kalangan para dai maka seharusnya diuruskan dengan bijak, antaranya dengan merujuk perkara tersebut kepada pihak berautoriti agama dan bukannya memberi pandangan peribadi besifat menghukum di media sosial secara terbuka. Harus diingat, dalam dakwah segala tindak tanduk para dai seharusnya mendekatkan mad’u kepada ajaran agama Islam dan bukannya menjauhkan mereka. 

Apa yang paling penting wahai para dai, berfikirlah sebelum berkata-kata, menulis dan bertindak dan pastikan segala tutur bicara, tulisan dan tindakan kita sebagai dai boleh menguntungkan Islam dan bukannya merugikan. 

DR. Muhammed Yusof ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Dakwah & Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya