Kisah ini berlaku kira-kira 10 tahun lalu tentang seorang ustaz yang mengalami pengalaman ngeri ketika menguruskan jenazah seorang lelaki yang baru meninggal dunia.
Nama dan lokasi si mati tidak kami dedahkan demi menjaga nama baik keluarga dan waris arwah. Apa yang berlaku hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Semoga kisah ini menjadi pengajaran, hikmah dan teladan buat kita semua sebelum ajal datang menjemput.
Begini kisahnya… Sudah hampir 10 tahun saya terlibat dalam pengurusan jenazah.Pelbagai pengalaman dilalui, termasuk menguruskan jenazah kemalangan, sakit, bunuh diri dan sebagainya. Namun pengalaman menguruskan jenazah seorang lelaki berada serta berpengaruh ini cukup meninggalkan kesan dalam hidup saya.
Suatu hari saya dihubungi seorang lelaki untuk meminta saya menguruskan jenazah bapanya. Namun sebaik tiba di rumahnya saya tercium bau yang cukup pelik. Bau busuk yang cukup meloyakan sehingga rasa mual dan hendak muntah.
Setelah masuk ke dalam rumah barulah saya perasan bau tersebut datang daripada jenazah. Hati saya tersentuh melihat raut jenazah yang seakan menyimpan pelbagai maksud tersirat. Seakan rasa takut, cemas, kesal dan bermacam-macam lagi.
Saya teruskan kerja ukur jenazah dan potong kain kafan. Kebetulan di situ ada dua waris arwah yang turut membantu. Selesai tugas itu saya beritahu mereka supaya bersedia untuk mandikan jenazah. Seperti biasa ketika proses mandi jenazah dijalankan, tubuh si mati perlu dibangunkan sedikit dan perutnya hendaklah diurut bagi mengeluarkan kotoran. Namun ketika melakukan sesi itu saya terkejut.
Pastinya Allah SWT berkehendak dan menunjukkan kekuasaannya apabila kotoran itu tidak keluar dari dubur tetapi melalui mulutnya. Jantung saya berdebar kencang. Dan ketika saya melakukan urutan terakhir beberapa ekor ulat yang masih hidup keluar bersama kotoran dari mulut jenazah.
Saya istighfar berkali-kali. Sejak uruskan jenazah tidak pernah sekali pun perkara begini berlaku. Saya lihat wajah anak arwah cukup sedih dan tertekan. Mungkin dia juga berasa malu dengan apa yang berlaku.
“Inilah ujian Allah terhadap kita,” saya cuba menenangkan.
Selesai memandikan jenazah, saya berdoa dan berharap agar tiada lagi kejadian ganjil selepas itu. Namun kuasa Allah SWT tiada siapa mampu menghalangnya. Ketika jenazah sedia untuk dikafankan tiba-tiba saya lihat kain kafan tidak cukup, malah hanya boleh menutupi hujung kepala sahaja. Saya pelik. Rasanya saya sudah panjangkan hampir dua jengkal tadi. Akhirnya saya terpaksa ambil lebihan kafan dan potong untuk tampung di tempat yang kurang. Nampaknya itu sahaja jalan yang ada.
Selesai kafan, satu lagi perkara timbul. Jenazah tidak dapat dihantar ke tanah perkuburan kerana tiada kenderaan boleh membawanya. Saya hubungi masjid, namun semua kenderaan jenazah sedang digunakan.
Nampaknya apa yang berlaku bukan sekadar kebetulan. Tetapi nasib baiklah ada seorang hamba Allah muncul menawarkan bantuan. Dia menawarkan diri untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan menggunakan van miliknya.
Sampai sahaja di tanah perkuburan, saya dan beberapa ahli qariah terus menurunkan jenazah ke liang lahad.
Namun sekali lagi berlakunya kejadian yang tidak diingini. Sebaik sahaja jenazah menyentuh liang lahad dengan tidak semena-mena keluar pancutan air hitam yang busuk dari celah-celah tanah yang pada asalnya kelihatan kering. Saya dan beberapa orang yang ada di situ bingkas mengangkat semula jenazah naik ke atas.
Saya berasa pelik dan tertanya-tanya dengan kehadiran mata air tersebut.
Amat sukar untuk saya menjawabnya kerana cuaca dan keadaan tanah cukup kering ketika itu. Lalu saya arahkan anak arwah supaya memperkemaskan jenazah bapa mereka dalam keranda dengan berhati-hati.
Saya pesan agar jenazah diletakkan dalam posisi yang betul dan sempurna. Berkali-kali saya intai agar jenazah tersebut tidak berada dalam keadaan terlentang atau telungkup, takut nanti jika tidak mendapat syafa’at Nabi pula. Na’udzubillah.
Akhirnya papan keranda diturunkan dan kami segera timbus kubur berkenaan. Selepas itu kami injak-injakkan tanah di sekeliling supaya mampat agar bila hujan nanti ia tidak mendap. Tetapi yang menghairankan saya perhatikan tanah yang diinjak itu seperti tidak bertambah dan menjadi lecak. Saya tahu jenazah yang ada di dalam telah tenggelam oleh air busuk itu.
Melihat keadaan tersebut saya arahkan anak-anak arwah supaya berhenti menginjak tanah itu. Bererti kubur itu tidak ditimbus hingga ke permukaan lubangnya, mungkin ada ruang yang lompong di dalamnya. Tapi ia seperti kubur berlubang. Tidak cukup dengan itu, apabila saya hendak bacakan talkin, saya lihat tanah yang diinjak itu ada kesan serapan air.
Saya selesaikan urusan pengebumian secepat mungkin. Setelah selesai saya bacakan talkin dan doa pada arwah.
Peristiwa itu meninggalkan kesan cukup mendalam buat saya apatah lagi dengan pelbagai pengalaman yang dilalui ketika itu. Namun saya sama sekali tidak menceritakannya kepada sesiapa waima ahli keluarga. Setelah hampir seminggu berlalu sekali lagi saya dihubungi anak arwah. Dia menjemput saya datang ke rumahnya.
Kebetulan hari itu saya memang tiada tugas jadi saya menerima jemputannya. Sebaik sampai kami berbual kosong, namun tidak lama kemudian anak arwah membuka cerita. Katanya, dia sedih dan malu dengan apa yang terjadi kepada arwah ayahnya. Saya sekadar tersenyum dan menenangkannya.
Kata saya, Allah SWT itu maha adil dan penyayang kepada umatnya. Saya minta dia sentiasa mendoakan agar roh ayahnya ditempatkan bersama golongan orang beriman. Anak arwah bercerita lagi. Katanya, mungkin itu adalah balasan Allah.
Ceritanya, ketika hayat ayahnya cukup zalim dengan pekerjanya. Bukan sekadar keringat pekerja diperah malah tidak membayar gaji setimpal dengan apa yang mereka lakukan. Ayahnya juga tidak pernah mengeluarkan zakat apatah lagi infaq dan bersedekah. Harta disimpan hanya untuk dirinya.
Terlopong saya mendengarnya. Saya tidak mampu berkata apa-apa selain mendoakan arwah agar diampunkan segala dosanya. Untuk pengetahuan pembaca kisah ini benar-benar berlaku dan bukannya rekaan. Semoga apa yang diceritakan ini akan menjadi pedoman dan iktibar buat kita semua. Wallahualam. – Mingguan Malaysia