Jangan Bangau Oh Bangau berulang - Utusan Malaysia

Jangan Bangau Oh Bangau berulang

BANJIR kilat terjadi disebabkan kuantiti sampah dan mendapan yang tinggi dalam sistem pengairan di sesuatu kawasan perbandaran. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali banjir melanda hingga menenggelamkan rumah penduduk, semua pihak menuding jari kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mahupun pemaju perumahan sebagai pihak yang menjadi punca. Mengapa kita langsung tidak mahu mencermin dan bermuhasabah diri sendiri? Adakah semuanya salah pihak terbabit atau ia isyarat daripada Yang Maha Esa untuk kita sama-sama menjaga amanah-Nya?.

Cuba perhatikan, adakah PBT yang membuang sampah pukal ke dalam sistem perparitan termasuk sungai dan kolam takungan? Jika bukan kita sendiri membuang botol minuman, daun kering, rangka motosikal dan beraneka jenis sampah, siapa lagi harus dipersalahkan?

Sedarlah, tanggungjawab menjaga alam, flora dan fauna bukan tugas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu seperti Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) sahaja tetapi kita semua yang menjadi khalifah di muka bumi ini.

Banjir kilat misalnya, terjadi bukan kerana longkang atau parit tidak dalam tetapi disebabkan kuantiti sampah dan mendapan yang tinggi dalam sistem pengairan di sesuatu kawasan perbandaran. Punca banjir berlaku juga disebabkan taburan hujan yang tinggi pada musim tengkujuh dan fenomena air pasang dan bukan disebabkan sungai dan longkang besar dipenuhi sampah.

ARTIK

Pemanasan global disebabkan pelepasan gas rumah hijau sejak Revolusi Perindustrian lebih dua abad lalu sering dibincangkan pada forum alam sekitar. Namun, adakah kita mengerti kesannya pada bumi yang mana bongkah ais di benua Artik mencair tahun ke tahun menyebabkan beberapa negara bakal hilang dari peta dunia akibat ditenggelami lautan?

Bukalah minda, banjir bukan fenomena manusiawi semata-mata tetapi petunjuk daripada Yang Maha Esa untuk kita bukan sahaja menjaga air sebagai sumber minuman dan makanan tetapi menjadi habitat fauna marin seperti ikan dan sotong. Jika kita terus membuang sampah dan bahan bertoksik ke dalam punca air, adakah kesuciannya akan terpelihara sebagai sumber yang diguna semula?

Berbalik pada banjir yang sedang dialami rakyat Selangor, sebaiknya pasukan dianggotai pakar sistem pengairan segera dibentuk bagi mengelakkan banjir paling teruk direkodkan di negeri ini berulang.

Kita tidak mahu lagu Bangau Oh Bangau kembali berdendang. Masing-masing menyalahkan satu sama lain, akhirnya kejadian sama berulang tanpa tindakan konkrit tetapi lebih kepada retorik politik semata-mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya