SEPERTI lazim, Malaysia menghadapi musim monsun setiap hujung tahun dan ia bukan perkara baharu. Namun, situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di Selangor seperti Shah Alam, Hulu Langat, Klang dan Dengkil hujung minggu lalu menjadi buah mulut. Maklumlah, tidak pernah berlaku kenaikan air yang sebegini teruk di kawasan-kawasan terbabit khususnya Taman Sri Muda.
Sehingga artikel ini ditulis, difahamkan 17 mayat mangsa lemas ditemukan di Selangor dengan 10 di Klang, Hulu Langat (3) dan Sepang (4).
Saya tidak mahu mempersoalkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad mengenai Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang dikatakan tidak terbabit dalam soal pengurusan bencana, sebaliknya hanya menguruskan pemberian pampasan kepada mangsa banjir sedangkan kita semua tahu peranan sebenar agensi tersebut.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saya difahamkan oleh seorang kenalan, ada bayi terjatuh semasa misi menyelamat. Difahamkan juga, pasukan penyelamat terus terjun mencari bayi tersebut tetapi tidak dijumpai.
Sebak mendengar jeritan dan tangsian mangsa banjir yang meminta bantuan. Mereka kelaparan dan kesejukan. Ada dalam kalangan mereka merupakan warga emas, yang terlantar sakit, bayi, kanak-kanak dan ibu dalam pantang. Mereka tidak berdaya selepas berjam-jam atau berhari-hari duduk di bumbung rumah.
Lain pula dihadapi Rodiah Mahfuz yang tidak mampu berkata apa-apa apabila rumah pusaka keluarganya hanya tinggal tangga selepas musnah dinaiki air akibat hujan lebat di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat. Dalam situasi mencabar di sana, masih ramai netizen tidak peka dan terus menyalahkan pihak berkuasa. Kata mereka, kerajaan lambat bertindak sehingga keadaan menjadi tidak terkawal.
MEMAKI HAMUN
Tidak kurang juga mempersoalkan kelewatan bantuan seperti makanan bagi mereka yang terkandas di Taman Sri Muda dan Pangsapuri Damai di Seksyen 25 Shah Alam. Ada juga yang memaki hamun kerajaan dalam media sosial. Segala yang dilakukan oleh kerajaan nampak salah di mata mereka.
Saya sendiri menerima beberapa panggilan telefon dan mesej menerusi WhatsApp daripada keluarga dan kenalan meminta menggunakan segala akses yang ada untuk membantu mereka yang terkandas. Saya menghubungi beberapa pegawai kerajaan dan pembangkang. Kata mereka, kawasan di sana berada pada tahap bahaya. Bot-bot tidak dapat lalu kerana terlalu banyak kenderaan tersadai dalam banjir. Malah, disebabkan keadaan itu banyak bot mengalami kerosakan menyebabkan bantuan tidak sampai.
Ayah saya melalui sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tiga orang adik turut menghulurkan bantuan seperti makanan dan keperluan asas. Namun, ia tidak dapat disalurkan kerana kawasan tersebut bahaya dan dikawal sepenuhnya oleh pihak berkuasa. Sehingga hari ini pun air masih tinggi dan bertakung atau dipanggil air termenung.
Kata seorang pegawai kerajaan: “Banyak sumbangan yang diterima tetapi bagaimana nak hantar ke sana? Tiada akses. Kita harapkan cuaca panas agar air surut.”
Seorang pegawai lain pula berkata: “Sebenarnya penduduk sudah diarah keluar lebih awal, namun sebahagian mereka berdegil dan mahu gamble tinggal di rumah masing-masing.” Dan perkara ini diakui oleh sepupu saya yang membantu mangsa banjir menggunakan bot sendiri pada malam Ahad lalu. Ramai sebenarnya lebih risau rumah dipecah masuk berbanding menyelamatkan nyawa sendiri dan keluarga.
Jadi, kita tidak boleh letak 100 peratus kesalahan pada kerajaan, sebaliknya dapatkan maklumat daripada pelbagai pihak sebelum memuat naik di media sosial. Risau juga ia menjadi fitnah.
LEBIH BAIK DIAM
Banyak posting (hantaran) di media sosial menyebabkan saya sakit kepala membacanya. Lebih mengecewakan, mereka yang memuat naik posting ini tidak berada dalam situasi tersebut, sebaliknya hanya mendengar cerita daripada ahli keluarga atau kenalan yang terkandas dan melalui media sosial.
Sedangkan mereka yang terkandas memahami kesukaran dialami pihak berkuasa untuk misi menyelamat dan menyalurkan bantuan. Mereka reda dengan ujian yang menimpa dan bersabar menunggu bantuan.
Sebaliknya, netizen yang di luar pula dilihat berlebih-lebih, kononnya risau dengan keadaan tersebut tetapi pada masa sama elok sahaja memuat naik gambar menikmati makanan di sebuah restoran dan berjalan-jalan di pusat beli belah di Kuala Lumpur dalam media sosial. Nampak hipokrit, bukan?
Dalam situasi ini, saya lebih suka orang ramai memuat naik status berbentuk doa, kata-kata positif bagi menenangkan mangsa banjir. Janganlah menangguk di air keruh dan berhenti menyebarkan kebencian. Apa yang dilakukan ini sedikit pun tidak membantu.
Nasihat ini juga khusus ditujukan kepada ahli-ahli politik. Tolonglah lebih sensitif. Berhenti memuat naik hantaran yang pendek akal. Berhenti menyalahkan sesama sendiri. Bukankah lebih baik bekerjasama dengan kerajaan dalam situasi ini.
Benarlah orang kata, jika tiada apa yang perlu diperkatakan, maka berdiam diri. Hantaran-hantaran berbentuk provokasi hanya menambah serta menyukarkan bantuan dan misi menyelamat.
Berhentilah tunjuk pandai, biarkan pihak dan agensi berwajib menjalankan tugas mereka. Kita sebagai orang luar sewajarnya mengangkat tangan dan berdoa agar misi ini dipermudahkan. Pada masa sama, dapatkan berita-berita yang sahih dan jangan sewenang-wenang berkongsi maklumat tidak tepat kerana ia boleh menimbulkan panik serta kegusaran.
Saya percaya rakyat Malaysia hebat. Lihat sahaja bagaimana bantuan datang dari setiap pelosok negara. Ada yang membawa bot sendiri untuk membantu mangsa banjir. Ada pula dengan pantas menubuhkan pasukan untuk mengagihkan bantuan dan sumbangan. Tahniah!
Marilah kita berganding bahu membantu apa yang termampu dan spread love, stop the hate.
Semoga kejadian ini menjadi pengajaran sama ada di pihak kerajaan negeri, kerajaan Pusat, ahli politik dan rakyat untuk saling bekerjasama. Semoga ada suatu penyelesaian terbaik dicapai dalam memastikan kejadian ini tidak berulang.