LIMA minit sebelum temu bual eksklusif Utusan Malaysia dengan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kuching, Rabu 8 Disember lalu – dua hari selepas hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak – kami didatangi setiausaha akhbar beliau, Ambrose Cheng.
“Sekejap ya saya jumpa beliau dulu,” kata Ambrose kepada saya, sejurus Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu memasuki pejabat ketua menteri di Aras 5 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Petra Jaya, 12.15 tengah hari selepas menghadiri satu program penjawat awam di Aras 1.
Dua minit kemudian Ambrose keluar, dan bisikkan pada saya di ruang menunggu:
“Soalan nombor 11 dan 12 tak payah tanya, beliau minta, tak mahu ada isu,” merujuk kepada dua soalan yang biasa akan ditanya oleh mana-mana wartawan, iaitu – “Apakah tindakan Datuk Ali Biju daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan calon Pas masing-masing bertanding di Krian dan Beting Maro suatu pengkhianatan Perikatan Nasional (PN) terhadap GPS dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ini.
Menghargai peluang temu bual, saya akur. Malah dalam awal pertemuan 35 minit itu, Abang Johari tidak dapat menyembunyikan rasa kesalnya terhadap tindak tanduk Pakatan Harapan (PH) menganaktirikan Sarawak semasa berkuasa 22 bulan.
Beliau menutup topik pasal PH yang berkisar “hutang Sarawak dituntut Menteri Kewangan PH serta pembatalan banyak projek dilulus Pusat dan kerajaan negeri semasa BN memerintah” dengan menjawab satu lagi soalan diajukan tentang tahap hubungan GPS-Pusat waktu ini:
“Okay, hanya 22 bulan itu yang bermasalah. Yang lain, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak ada masalah sebab kita rakan kan.”
Pertemuan berakhir kira-kira 1.15 petang. Begitupun soalan nombor 11 dan 12 tadi ‘tak mati’ di situ.
TIKAM BELAKANG
Rupanya soalan sama dibangkitkan oleh wartawan pada sebelah malam hari sama dalam sidang akhbar dengan Abang Johari selepas pelancaran Manifesto GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
“Tan Sri Muhyiddin telah membuat kenyataan media yang dia akan ambil tindakan tertentu kepada Ali Biju, jadi kita tunggu.
“Sudah tentu saya kecewa kerana ada perjanjian tertentu kerana dia (Muhyiddin) beritahu tiada calon Bersatu dalam PRN,” kata Abang Johari.
Dan beberapa hari kemudian Ali pun umum tarik diri serta bertekad membantu calon GPS, Friday Belik di Krian. Tiga lagi ahli Bersatu bertanding calon Bebas pun sudah dipecat, maka ‘tikam belakang’ GPS pun tutup kes.
Tetapi belum berakhir lagi rupanya. Rabu lalu, dua hari sebelum hari pengundian, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN bersuara selepas sesi town hall Majlis Pemulihan Negara, memaklumkan PN akan bertanding di Sarawak secara rasmi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Apabila tiba masanya nanti, kita harap ada persefahaman. Calon PN akan bertanding di kerusi kita kuasai dan yang kita fikir mampu menang bagi membantu kerajaan Pusat.
“Perkara ini sudah dilakukan Ahli Parlimen GPS ketika saya menjadi Perdana Menteri. Tanpa mereka, kita tidak dapat tubuhkan kerajaan,” kata Muhyiddin.
Persoalannya, apakah semudah itu laluan untuk PN bertapak di Sarawak, kerana dalam siri jelajah kempennya, Abang Johari kerap sangat membangkitkan “Sarawak stabil, tak macam Semenanjung.”
LOMPAT PARTI
Malah dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di Petra Jaya tempoh hari pun beliau berulang kali mengingatkan bahana perbuatan lompat parti wakil-wakil rakyat sebelum atau selepas pilihan raya yang boleh menggugat kestabilan Malaysia.
“Kalau lompat-lompat mana ada integriti. Tengok apa yang berlaku di Melaka. Orang sudah menyampah lompat-lompat ini.
“Inilah masalahnya. Apabila anda tak ada kekuatan, very marginal (kerusi), macam-macam boleh berlaku,” katanya.
Dan malam kelmarin, sebaik sahaja GPS melepasi majoriti mudah 42 kerusi daripada 82 di BCCK, Abang Johari mempertegaskan sekali lagi beliau tidak sesekali akan menerima ‘katak’ daripada memasuki kerajaan baharunya.
“Kita sebenarnya tidak suka dengan katak. Kita tidak mahu katak. Katak ini ada yang buta,” katanya.
Merujuk ‘harapan PN masuk Sarawak PRU15’ oleh Muhyiddin itu kepada penganalisis yang ‘memahami’ karakter Abang Johari iaitu Dr. Jeniri Amir, katanya kepada saya:
“Beliau (Muhyiddin) letak syarat yang bukan-bukan. Ini tak wajar, anda boleh petik saya…Sarawak untuk parti Sarawak. Bersatu tak sekuat mana pun.
“Lagipun GPS sudah menang besar kan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, 76 daripada 82 kerusi. Mustahil sama sekali Abang Johari akan menerima hasrat Muhyiddin.
“Jangan letakkan GPS dalam dilema. Kerana Krian (Ali tarik diri dan kembali sokong GPS), maka dia letak syarat, tak patut…”
“Parti-parti Semenanjung tak harus diberi laluan. Orang Sarawak tak suka dan nanti akan hantar mesej GPS seolah-olah dipermain-mainkan. Ini boleh jejaskan imej GPS di mata penyokongnya.”
Felow kanan Majlis Profesor Negara itu menarik perhatian satu kajian dilakukannya tujuh tahun lalu mengenai isu ura-ura kemasukan UMNO ke Sarawak.
“Ia melibatkan 10,000 responden dari Sematan, Lundu ke Lawas iaitu selatan ke utara Sarawak. Hasil kajian mendapati 92 peratus tak setuju. Cukup saya katakan rumusannya, parti-parti Semenanjung tidak sesuai dengan demografi Sarawak. Jangan seperti bak Belanda minta tanah,” katanya.
Kata Jeniri lagi: “Willie Mongin pun menang kerusi Parlimen Puncak Borneo bukan kerana dia kuat , tapi disebabkan salah pilih calon GPS di situ.”
Mongin (kini Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Koperasi) antara 11 ahli parlimen PKR yang keluar parti susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020, sebelum kesemua mereka melompat masuk Bersatu. Selain Mongin, Bersatu mempunyai Ali di kerusi Parlimen Saratok.
Jeniri juga hairan kerana UMNO sendiri meskipun berkuasa sejak sekian lama tidak pernah meletakkan syarat seperti mana disebut Muhyiddin.
“Selepas Taib, arwah Adenan, takkan lah tiba ke Abang Jo beliau mengalah. GPS perlu tegas, jangan sesekali tunduk pada syarat Bersatu,” katanya.
GPS yang menggabungkan empat parti tempatan Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mendominasi 76 kerusi PRN Sarawak ke-12 kelmarin, jauh meninggalkan Parti Sarawak Bersatu (PSB), empat kerusi dan DAP, dua.
Dari segi kerusi Parlimen, GPS memiliki 18. Daripada jumlah itu, PBB diketuai Abang Johari mempunyai 13 kerusi; PRS dan PDP masing-masing dua kerusi dan SUPP satu kerusi.