KES buli melibatkan pelajar sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini bukanlah yang pertama berlaku di negara ini.
Beberapa dekad lalu, kes buli melibatkan pelajar sebuah universiti mengejutkan negara.
Ini disebabkan kaedah buli tersebut mengandungi elemen dera dan memalukan mangsa. Walaupun pesalah telah menerima hukuman, namun kes buli masih berlaku sama ada dilaporkan atau disorok pihak pentadbir sesebuah institusi pendidikan.
Walaupun kedengaran agak klise, hanya pendidikan agama dan sivik sahaja yang mampu menyelesaikan masalah buli dalam kalangan pelajar mahupun anggota masyarakat. Seawal usia enam tahun di tabika, pendidikan agama dan sivik perlu diterapkan kepada anak-anak kita.
Adab hormat-menghormati sesama rakan perlu diajar termasuk adab terhadap orang tua. Rasanya semua agama mengajar penganutnya menghormati sesama insan dan melarang perbuatan menekan orang yang lemah.
Kita bimbang pembuli yang terpelajar akan melahirkan pemimpin-pemimpin organisasi yang mementingkan pandangannya sahaja. Pekerja-pekerja bawahan pasti akan berasa tertekan kerana mempunyai ketua yang bersikap pembuli sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Sebaiknya masalah buli ini diselesaikan dengan hukuman yang keras kerana sudah banyak kes buli melibatkan pelajar berakhir dengan kecederaan fizikal dan mental.
Jangan pening kepala mencari kaedah terbaik yang lain sedangkan penawarnya ada di depan mata, cuma jangan buta hati.