BUKAN sahaja rakyat Malaysia, bahkan barangkali pengundi Barisan Nasional (BN) sendiri pun pasti tak menyangka gabungan politik UMNO-MCA-MIC mampu buat kejutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Ibarat BN menang besar 198 kerusi Parlimen lah termasuk sapu bersih enam di Melaka tahun 2004.
Kelmarin, BN menang 21 kerusi, DAP (4), Amanah (1) dan Bersatu (2). Pas? Terus kempunan.
Pola pengundian orang Melayu pula seakan tanpa dibantu pengundi Cina dan pengundi luar. Kelihatannya pula pengundi atas pagar sudah kembali kepada UMNO menyebabkan Pakatan Harapan (PH) merudum teruk.
Barangkali ada pengajaran dan iktibarnya PRN Melaka ini yang sempat saya titipkan berikut:
1. Bukan ‘jualan murah’
Tiada jalan pintas dalam politik. Kekalahan teruk Perikatan Nasional (PN) dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan menyaksikan politik bukanlah tempatnya ‘untuk tawar menawar atau bikin jualan murah’.
Bermain-main di permukaan, di luar Melaka mengumum calon, manifesto malah menamakan calon ketua menteri di saat-saat akhir bukan di bumi Melaka, seolah-olah PN sepi dari kejauhan. Tiada chemistry antara calon-calon PN dengan penduduk Melaka?
Juga, dengan mengambil tindakan ad-hoc menabur ‘segala poster, iklan’ dalam tempoh hanya 12 hari untuk menagih publisiti pantas juga ‘tidak jalan’.
Akhirnya terbukti, akar umbi stakeholder utama UMNO. Dilaporkan UMNO memiliki 3,359,368 ahli di 191 bahagian berserta 21,883 cawangan di seluruh negara. Akar umbi PN terutama Bersatu di Melaka?
2. Takziah Pas
Kata seorang pemimpin kanan UMNO kepada Utusan Malaysia, Pas sebenarnya diperuntukkan enam kerusi oleh UMNO untuk bertanding di Melaka. Tapi dengan syarat, Pas perlu bertanding atas logo parti itu sendiri yang warnanya hijau diserikan bulan purnama.
Enam kerusi itu sedia dikorbankan oleh UMNO yang sekadar akan bertanding 18 kerusi. Tapi Pas enggan, sebaliknya memilih panji PN.
Dikatakan, Pas masih tidak belajar dari pengalaman pahit diketepikan PN tempoh hari semasa PRN Sabah pada 28 September 2020. Masa itu Pas diuar-uarkan akan letakkan lima calon, tapi tidak kesampaian. Kemudian Pas beralih semula ‘meminta ihsan’ BN Sabah, namun dek ‘makan keliling’, langsung tidak dilayan.
Kelmarin, Pas terus kepingin kerusi Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam, Kelebang dan Merlimau. Mungkinkah Pas kembali semula ke dalam Muafakat Nasional (MN)? Wallahualam.
3. UMNO ‘sudah belajar’
PRN Sabah telah ‘mengejutkan UMNO dari lena’ akan pentingnya pengagihan kerusi yang ‘cerdik’, tanpa merugikan parti itu. Di Sabah, Bersatu berhasil membentuk pakatan PN yang kuat bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pas, Parti Maju Sabah (SAPP) serta Gerakan.
Dan BN, walaupun bersekutu dengan Parti Bersatu Sabah (PBS), tetap bertembung sesama sendiri di 17 daripada jumlah 73 kerusi DUN Sabah. Lantas mencetuskan motif `ada udang di sebalik batu’. Biarpun ada cakap-cakap penyusutan kerusi kemenangan UMNO kerana tindak tanduk kepimpinan UMNO Sabah mengetepikan sejumlah ketua bahagian UMNO sebagai calon pilihan raya, ada pengamatan lain yang lebih menarik perhatian. Iaitu, cakap-cakap ‘UMNO yang meraih 14 kerusi, lebih tiga daripada 11 diperoleh Bersatu, sepatutnya lebih layak diangkat ketua menteri.
Agihan kerusi di Sabah dengan PN yang merugikan, terus menghantui UMNO di Semenanjung sehingga membawa ke PRN Melaka.

4. ‘Hembusan’ 1MDB
Tiada lagi isu nasional seperti 1MDB yang membadai UMNO pada PRU-14 bertiup ke Melaka. Isu 1MDB cukup `tak terbawa’ oleh calon-calon BN tempoh hari, sehinggakan wakil rakyat yang cekap dan rajin berkhidmat pun ikut rebah sama dengan ‘hembusan’nya.
Selepas tumbang buat pertama kali dalam sejarah lebih 60 tahun memerintah kerana 1MDB, UMNO seperti anak ayam kehilangan ibu. Presidennya meletak jawatan. Biarpun begitu, sebulan selepas 9 Mei 2018, UMNO bangkit dengan mengadakan pemilihan – memilih Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menakhodai parti.
Disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Pucuk pimpinan baharu yang dipilih akar umbi diperleceh. Akibat hilang kuasa, BN ditunjangi UMNO yang memenangi 79 kerusi Parlimen hanya tinggal 41 kerusi. Sebilangan wakil rakyatnya lompat ke PH dan parti pembangkang lain.
Sebelum pemilihan kepimpinan UMNO Jun 2018, dua ahli parlimen dari Perak- Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) terawal meninggalkan UMNO. Sehari selepas itu, Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) keluar UMNO.
Tindakannya diikuti Mustapa Mohamed (Jeli), Anifah Aman (Kimanis) dan Rozman Isli (Labuan). Mas Ermieyati dan Mustapa akhirnya menyertai Bersatu sementara Rozman menyertai Parti Warisan Sabah. Kedua-dua parti itu sebahagian daripada PH.
Disember 2018 pula menyaksikan 11 ahli parlimen – lima dari Sabah – keluar UMNO kerana tidak puas hati dengan kepimpinan parti itu. Ini memaksa Zahid menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan. Beliau bagaimanapun tidak melepaskan jawatan presiden.
Pada Februari 2019, Bersatu menerima pelompat dari UMNO iaitu Hamzah Zainuddin (Larut), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) serta Rosol Wahid (Hulu Terengganu).
Pada Mac 2019, Azizah Mohd Dun (Beaufort), Ronald Kiandee (Beluran), Abd Rahim Bakri (Kudat) dan Zakaria Mohd Edris (Libaran) turut keluar UMNO menyertai Bersatu. Yamani Hafez Musa (Sipatang) menyertai Bersatu pada September 2019.
5. Lokaliti vs Covid
Pasca pandemik Covid-19 mengakibatkan sebahagian besar pengundi enggan keluar, sekali gus peratusannya merosot. Dan hanya parti memiliki akar umbi keluar mengundi berlandaskan faktor lokaliti.
Sama ada pada PRN atau PRU nanti, pola pengundiannya hampir 100 peratus berdasarkan lokaliti. Apa lagi nanti semasa PRU-15, jika prosedur operasi standard (SOP) terus dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akibat pandemik masih melanda, lokaliti akan memainkan peranan penting untuk kemenangan.
Bila berlaku seperti itu, untungnya adalah parti yang memiliki akar umbi yang ampuh. Malah dikatakan faktor lokaliti ini ‘tak ambil pusing’ penangan Undi18 (pengundi 18 dan ke atas). Katakan berlaku pertambahan 1.3 juta pengundi dari pelaksanaan Undi18 yang dikemaskini pada September 2022. Dan jika PRU-15 dilangsungkan pada 2023, berapa ramai lagikah pengundi 18 tahun akan bertambah?
Dalam kes ini, remaja berumur 18 tahun masih berada di bawah wabak, sekali gus belum boleh berhijrah ke luar dari negerinya. Maka, ini memberi kelebihan kepada parti yang memiliki akar umbi tadi. Dan kini terserah kepada pihak berwajib untuk menamatkan pandemik ini secepat yang mungkin. Adakah isu kes Covid-19 rendah atau tinggi kadarnya menjadi ‘senjata’ untuk parti-parti politik memastikan penguasaan kuasa?
6. Punca Idris kalah?
– Kekalahan bekas ketua menteri, Datuk Seri Idris Haron berserta tiga lagi individu yang menumbangkan kerajaan Melaka tempoh hari mungkin disebabkan pengundi Cina sudah mendapat isyarat (signal) daripada pemimpin-pemimpin kanan DAP supaya tidak cenderung menyokong Idris. Antaranya melalui Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng, Anthony Loke, Hannah Yeoh dan Gobind Singh.
Bila nama-nama besar ini menolak calon lompat seperti ini, ia sekali gus menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang rendah di peringkat DUN berkenaan.
7. PRU-15 sekarang?
– Adakah kemenangan besar BN di Melaka suatu isyarat jelas supaya PRU-15 disegerakan?
Adakah presiden UMNO, timbalannya, ketua pemuda atau bossku akan menjadikan ia modal yang kuat? Ini kerana mood rakyat seolah-olah sudah kembali ke BN. Atau adakah ia meletakkan pucuk pimpinan kerajaan dalam kedudukan sukar. Ini kerana mungkinkah ahli-ahli Parlimen Bersatu akan bertindak balas menarik sokongan terhadap kerajaan? Di sudut lain pula, adakah PN yang menerima tamparannya, akan lebih cepat ‘lenyap’ jika disegerakan PRU-15?
Atau untuk memastikan wujud pembangkang yang kuat, maka PN harus balik kepada PH?