Tak sangka malam ini aku bertemu dengannya... - Utusan Malaysia

Tak sangka malam ini aku bertemu dengannya…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Assalamualaikum pembaca sekalian. Sekadar ingin bertanya, pernahkah anda mengalami pengalaman menakutkan sepanjang hidup? Jika ada, mungkin kita senasib. Tambahan pula jika peristiwa tersebut meninggalkan kesan trauma yang cukup mendalam dalam diri selepas itu.
Kisah yang ingin saya kongsikan ini adalah pengalaman ketika memandu waktu lewat malam di laluan Bukit Putus yang menghubungkan pekan Kuala Pilah dan bandar Seremban. Peristiwa ini berlaku lebih kurang 20 tahun lalu.
Pasti ramai tahu laluan berliku itu sering dikaitkan dengan pelbagai kisah seram dan misteri, kononnya banyak berlaku kejadian aneh yang dialami oleh pengguna jalan raya terutamanya yang memandu pada lewat malam.
Baiklah, dipendekkan cerita mesti ramai pembaca ingin tahu apa kisah yang terjadi kepada saya kan? Begini ceritanya…
Malam itu lebih kurang pukul 12.30 malam, saya bersama seorang sahabat bernama Husni bertolak pulang ke Kuala Lumpur setelah seharian berada di kediaman Hisham di Tanjung Ipoh kerana menziarahi ayahnya yang tenat.
Ikutkan rancangan awal petang kami ingin bertolak pulang, namun Hisham pula bersungguh-sungguh minta kami pulang lewat, katanya bosan sebab tiada teman berbual, jadi timbul rasa kasihan dengannya.
Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Hisham dan anggota keluarganya kami berdua terus bertolak pulang. Saya memandu kereta dengan berhati-hati, maklumlah kawasan kampung, lagipun saya tidak begitu arif dengan keadaan jalan raya di kawasan itu.
Saya memperlahankan kenderaan sebaik sahaja menghampiri laluan bukit putus. Suasana jalan raya ketika itu cukup lengang dan gelap. Kenderaan lain langsung tidak kelihatan, mungkin sudah lewat malam agaknya. Saya lihat Husni leka membelek telefon bimbitnya. Sesekali kedengaran dia mengomel kerana tiada isyarat. “Huh, nak message awek pun susah. Kejap ada line, kejap tak ada line,” sungutnya.
Saya hanya tersenyum dan tidak membalas kata-katanya. Pandangan saya tertumpu ke arah jalan raya yang terbentang gelap di hadapan. Saya perlu berhati-hati takut kalau-kalau ada binatang buas melintas, maklumlah kawasan sekeliling dilitupi hutan tebal.
Sedang leka memandu tiba-tiba saya tersentak. Serta merta saya menekan brek. Husni yang berada di sebelah terkejut sehinggakan telefon yang dipegangnya terjatuh ke lantai.
“Eh, kenapa pula kau brek emergency ini? Kau sengaja nak pedajal aku kan?” katanya sambil tangannya meraba-raba di lantai kenderaan untuk mencari telefon bimbitnya yang terjatuh.
Saya terdiam. Perlahan-lahan saya kembali tekan minyak kenderaan. Mata saya liar memandang sekeliling.
“Sorry beb. Aku tak sengaja. Aku perasan macam ada sesuatu melintas tadi,” jawab saya.
Iya, memang saya perasan ada sesuatu melintas tadi, namun saya tidak dapat mengecam apa objek tersebut kerana ia berlaku agak pantas. Jika tidak, mana mungkin saya menekan brek secara mengejut begitu.
Saya toleh ke arah cermin sisi pandang belakang. Tidak nampak apa-apa mencurigakan kecuali suasana jalan raya gelap gelita. Saya teruskan pemanduan seperti biasa dengan penuh berhati-hati.
Perlahan-lahan kereta yang saya pandu menyusuri Jalan Bukit Putus yang mempunyai 32 selekoh itu. Dari cahaya lampu tinggi kenderaan jelas kelihatan jalan raya di hadapan yang bengkang bengkok. Tak ubah seperti bentuk ular raksasa. Sedang asyik melayan lagu-lagu di radio tiba-tiba saya tersentak. Lantas saya pasang lampu tinggi. Tidak jauh di hadapan saya nampak samar-samar satu sosok berada di bahu jalan.
“Eh, cuba kau lihat di depan. Apa benda itu?” tanya saya kepada Husni. Husni mengecilkan matanya sambil mengerutkan dahi cuba mengamati objek di hadapannya ketika itu.
“Entahlah beb. Tapi nampak macam orang. Entah-entah ada kecemasan tak? katanya. Kenderaan yang saya pandu semakin melewati objek tersebut. Dari sinar cahaya kenderaan nampak jelas satu sosok sedang duduk bertinggung di bahu jalan. Tetapi mukanya tidak jelas kerana dihalakan ke arah hutan tebal berdekatan. Yang peliknya dia langsung tidak menghiraukan kenderaan kami yang semakin hampir dengannya.
“Eh, nampak macam orang beb. Nak berhenti tanya ke?” kata Husni lagi.
Saya tidak menjawab soalannya. Perasaan saya berperang sendiri. Tidak tahu sama ada ingin berhenti atau tidak kerana seolah ada sesuatu yang tidak kena ketika itu.
“Aku rasa kita tak payah berhentilah beb. Kalau dia nak minta tolong mesti dia tahan kereta kita. Ini dia buat tak tahu saja, mungkin dia sedang tunggu seseorang,” jawab saya sambil memaut stereng dengan erat.
Husni tidak membantah mahupun mengiyakan. Sebaik sahaja kenderaan yang saya pandu ingin memintasnya tiba-tiba tanpa disangka makhluk itu memalingkan mukanya ke arah kami. Nampak jelas matanya merah menyala serta lidahnya terjulur panjang sehingga mencecah jalan raya.
Kami berdua tergamam. Secara tiba-tiba makhluk tersebut terus mengingsut dan merangkak ke arah jalan raya menuju ke seberang jalan.
‘Sreeeetttttttttttttt…
Saya tekan brek secara tiba-tiba. Nasib baiklah kereta yang saya pandu tidak laju, jika tidak pastil berlaku perkara di luar jangkaan. Saya dan Husni beristighfar panjang sambil berpandangan.
“Mir, apa benda itu Mir.. aku takut ini,” kata Husni.
Saya tidak membalas pertanyaannya kerana saya sendiri tidak mampu mengeluarkan sepatah kata ketika itu.
“Aku rasa baik kita pecut saja beb. Aku rasa tak sedap hati ini,” tambah Husni tergagap-gagap.
Tanpa buang masa saya pecut tinggalkan kawasan tersebut. Berdecit-decit tayar kenderaan setiap kali saya menukar gear dan mengambil selekoh di situ.
Mulut saya kumat-kamit membaca ayat suci al-Quran. Saya tidak tahu bagaimana ingin gambarkan perasaan takut ketika itu. Alhamdulillah, setelah berperang dengan seribu satu ketakutan dan pelbagai emosi kami akhirnya menghampiri pekan Seremban. Saya dan Husni beristighfar panjang sambil mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana mampu mengawal perasaan ketika itu.
Saya menarik nafas lega setelah kenderaan yang dipandu masuk ke susur lebuh raya utara selatan menuju ke kuala lumpur.
“Kau rasa benda apa yang kita nampak tadi itu Mir?” tanya Husni sebaik kami berhenti di hentian rehat dan rawat Nilai.
Saya tidak mampu menjawab pertanyaannya. Namun saya percaya apa yang kami saksikan tadi adalah syaitan yang seringkali diceritakan oleh pengguna jalan raya ketika melalui kawasan tersebut di waktu lewat malam
Sebelum ini saya hanya membaca dan mendengar cerita orang sahaja, namun saya tidak sangka malam ini giliran saya pula yang ‘bertemu dengannya’. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya