Malu jadi duta bahasa Melayu? - Utusan Malaysia

Malu jadi duta bahasa Melayu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH 64 tahun negara mencapai kemerdekaan, isu penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat berterusan diperdebatkan. Memang tidak dinafikan, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengangkat bahasa Melayu, dan menjadikan bahasa ini antara terbanyak digunakan di dunia. Namun, dalam usaha ini, terdapat segelintir masyarakat kita meremehkan kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa global.
Inilah yang terjadi apabila Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap menggunakan bahasa Melayu di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Ke-26 (COP26) di Glasglow, Scotland baru-baru ini. Bagi pejuang bahasa, usaha beliau dianggap satu langkah yang amat baik, demi mengangkat bahasa Melayu di pentas dunia.
Namun, yang dikesalkan terdapat pihak yang mempertikaikan usaha ini, dengan menganggap bahawa beliau tidak mampu berbahasa Inggeris. Sikap sebegini menunjukkan minda mereka masih dijajah. Golongan ini tidak berkeyakinan dengan kemampuan bahasa kebangsaan sendiri, dalam menyampaikan pendirian di peringkat global. Malah, baru-baru ini seorang wartawan telah mengajukan soalan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dalam bahasa Inggeris. Saya yakin wartawan itu warganegara Malaysia. Persoalannya, sejauh mana jati diri masyarakat Malaysia?
Bahasa rasmi tidak lagi digunakan dalam urusan seharian, sedangkan bahasa merupakan jati diri bangsa. Bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa rasmi Malaysia juga, bukan bahasa untuk sesuatu kaum. Sebaliknya, bahasa penyatuan yang jelas termaktub dalam Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Sebagai warga Malaysia, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perlu dihayati secara total. Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa yang berkembang pesat sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dan kini, perkembangannya dapat dilacak dengan penubuhan Kursi Pengajian Melayu di universiti terkemuka dunia, serta dipelajari secara meluas.
Keadaan ini membuktikan bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa penyatuan pelbagai bangsa, malah peranannya sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu diperakui sejak dahulu lagi.
Namun, kenapakah dalam kalangan masyarakat Malaysia sendiri masih ada yang memperlekehkan kemampuan bahasa Melayu ini? Di manakah semangat mencintai negara bangsa bagi golongan ini?
Setiap golongan masyarakat berperanan mengangkat bahasa rasmi negara ini. Naib Canselor Universiti Putra Malaysia Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, dalam ucapan perasmian Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan (GDBK) 2021 peringkat Universiti Putra Malaysia pada 7 Oktober lalu menekankan perihal bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi, dan peranan mengangkat bahasa Melayu bukan terletak di atas bahu pakar serta pejuang bahasa semata-mata, sebaliknya peranan semua pihak.
Program GDBK ini telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan dengan hasrat, bahasa Melayu menjadi bahasa keenam paling banyak digunakan di dunia.
Kini, peranan memperkasakan bahasa Melayu bukan lagi menjadi tugas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semata-mata. Seluruh masyarakat perlu memainkan fungsi dan bertanggungjawab dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan seharian.
Bahasa Melayu perlulah digunakan secara tepat dan gramatis. Masyarakat Malaysia wajar menuturkan bahasa Melayu dengan bangga, sama ada peringkat lokal ataupun global. Jadilah duta negara yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa popular di persada dunia.
Usaha secara berterusan memperkasakan bahasa Melayu dapat ditelusur daripada penawaran program bahasa Melayu pada peringkat pengajian tinggi (sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah) di beberapa universiti awam.
Usaha-usaha ini secara tidak langsung membuktikan bahawa bahasa Melayu masih relevan dipelajari pada peringkat tertinggi, serta peluang pekerjaan yang terbuka luas dalam bidang ini.
Walaupun terdapat segelintir pelajar mengatakan mereka melanjutkan pengajian dalam bidang ini disebabkan faktor penawaran, namun setelah mengikuti kuliah dan didedahkan dengan skop bidang bahasa Melayu yang meluas, mereka akhirnya tertarik dengan program yang ditawarkan ini, seperti terungkap dalam peribahasa Melayu, tak kenal maka tak cinta.
Sikap meremehkan bahasa Melayu sepatutnya tidak lagi berlaku. Bahasa rasmi negara adalah jati diri negara bangsa. Setiap warganegara seharusnya berbangga dengan bahasa kebangsaan ini, dengan menuturkannya di pentas dunia, dan digunakan sepenuhnya dalam urusan rasmi dan tidak rasmi.
Oleh itu, kenyataan memperlekeh seperti tidak mampu berbahasa Inggeris, sehingga menggunakan bahasa Melayu tidak wajar dkeluarkan. Sebaliknya, semakin ramai pemimpin negara patut menggunakan bahasa Melayu dengan meluas di pentas dunia dengan bangganya.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya