YANG selalu kita dengar bila orang bercakap pasal makan – “Sekarang ini makanlah apa nak makan, jangan sekat-sekat. Nanti sudah tua dan bila dah sakit-sakit, apa pun tak boleh makan.”
Yang jarang-jarang kita dengar orang berkata semasa di meja makan – “Makan berpada-padalah. Nanti belum sempat tua macam-macam penyakit dapat.”
Anda yang mana satu? Atau ada tak yang mengira kalori ketika membeli atau memesan makanan? Yang ini memang payah nak jumpa. Kategori luar biasa agaknya.
Tetapi kalau ikut kawan-kawan ketika makan di luar selalunya akan kata – “Makan sajalah, apa ada hal.” Hilang semua diet dan nasihat doktor. Esoklah sambung diet semula.
Dan saya pasti ramai pun boleh lihat, bila makan di hotel, ada yang mengambil makanan sampai penuh di atas meja. Tak kiralah masa sarapan, makan tengah hari atau malam. Semua diambil dan bila yang boleh masuk ke perut bukanlah banyak mana pun, makanan itu terbuang saja.
Ini diceritakan oleh pekerja hotel di ibu kota kepada saya baru-baru ini. Saat membersihkan meja, timbul rasa sedih. ‘Kasihan’ pula melihat makanan yang tidak diusik atau dimakan separuh sahaja. Kalau di negara yang susah dan bergolak, berebut-rebut makanan ini.
Itu perangai sebahagian rakyat di negara ini. Tak payah nafilah. Saja-saja agaknya ambil lebih untuk jadi hiasan meja. Pembaziran dan pantang tengok makanan, berhenti makan bila rasa dah tak larat bangun, bila ini bergabung, lama-lama jadilah tidak sihat.
Justeru bila baru-baru ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin berkata, Malaysia bukan negara sihat. Saya tidak terkejut.
Ada juga yang mengaitkan kenyataan itu dengan dos penggalak. Hendak suruh ambil vaksin kaitkanlah dengan ramai yang tak sihat di negara ini. Tiba-tiba keluar cerita semua yang tidak sihat sahaja.
Tetapi kalau anda suka dan rajin membaca, bukan baca tajuk saja, sejak dulu lagi sebelum pandemik Covid-19, hal-hal kesihatan dan penyakit dalam Malaysia ini, sentiasa berada dalam tahap membimbangkan.
Sedar atau tidak, setiap kali ada sambutan sama ada mengenai Hari Jantung Sedunia, Hari Diabetes Sedunia atau Hari Buah Pinggang Sedunia di peringkat negara ini, maka akan keluarlah statistik-statistik yang tidak menggembirakan tentang penyakit itu.
Antaranya pada Hari Diabetes, Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan negara ini kekal menjadi negara paling ramai gemuk atau obes di Asia Tenggara sejak 2015.
Pada Hari Jantung Sedunia pula sebanyak 15 peratus daripada 109,164 kematian yang disahkan secara perubatan di negara ini pada 2019 adalah berpunca daripada penyakit jantung.
Sementara itu, pada Hari Buah Pinggang pula, pesakit kegagalan fungsi buah pinggang di Malaysia dijangka mencecah 106,000 orang menjelang tahun 2040.
Itu belum masuk lagi cerita Hari Kanser Sedunia, Hari Hepatitis Sedunia atau Hari Paru-Paru sedunia. Semuanya menunjukkan pertambahan bilangan pesakit. Tiada yang kurang.
Dan adakah statistik ini memberikan keinsafan? Saya agak tidak terutamanya pada perokok. Ceritalah pasal statistik kematian berjuta-juta orang pun akibat kanser paru-paru kerana merokok, perokok tegar tetap steady. Ayat klise – “Tak merokok pun mati juga.”
“Atuk aku di kampung hisap rokok daun, elok saja sihat. Dari dulu sampai sekarang umur panjang.” – Teringat saya akan kata-kata seorang kawan, perokok tegar jugalah. Entah betul, entah tidak. Saya malas hendak periksa. Tapi itulah bila bercakap dengan perokok pasal bahaya merokok, macam-macam perbandingan dan dalil keluar.
Khairy memberitahu, Malaysia dikategorikan bukan negara sihat berdasarkan kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat yang masih berada di tahap rendah.
Sebagai contoh, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat negara ini sudah cukup mengambarkan tahap kesedaran yang masih rendah. Yalah, kalau tidak ada kompaun, rasanya tidak ramai yang dengan rela memakai pelitup muka. Apatah lagi penjarakan fizikal. Takutkan kena kompaun, bukan takutkan virus.
Ayat biasa bila kena pakai pelitup muka – “Ini tak mati pasal Covid, mati pasal sesak nafas, sebab pakai mask ini.”
Dan di restoran atau warung pun sekarang ada yang sudah duduk bersesak-sesak. Peraturan dan peringatan tentang pematuhan SOP memang dah ada. Mungkin pekerja dah malas nak ‘sound’. Kalau ditegur, kena marah pula. Biasalah orang kita ini suka bertekak-tekak dahulu, salah atau betul, menang atau kalah, itu belakang kira. Janji lawan dulu.
Hakikatnya, sihat adalah punca kita boleh bergerak, bekerja, makan, bersiar-siar dan membuat apa saja yang kita suka. Kalau tak sihat, apa pun tak boleh buat walaupun ada duit banyak.
Ramai yang sakit mengimpikan untuk kembali pulih menjalani kehidupan seperti sebelum sakit. Ada yang sembuh, ada yang terpaksa melupakan zaman sihatnya. Kena terima kenyataan, hidup ini tidak seperti dulu lagi. Ini tentu menyedihkan. Betullah, sihat itu mahal.
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia